10 Bekas Pemain Yang Kembali Ke Kelab Sebagai Pengurus

Bukan semua pemain bola sepak yang hebat dan berkelas dunia mampu menjadi pengurus pasukan secemerlang ketika memegang status sebagai pemain dan hanya beberapa kerat sahaja yang mampu.

Kadangkala ada kelab yang memberi peluang kepada bekas pemain yang berstatus legenda untuk menjadi pengurus dengan harapan akan membawa kejayaan walaupun tanpa sebarang pengalaman.

Ia bukan perkara baharu dan contoh terbaik dan terdekat apabila Juventus melantik Andrea Pirlo sebagai pengurus pasukan yang baharu setelah memecat Maurizio Sarri.

Namun demikian, tidak semua bekas pemain mampu menjadi jurulatih yang baik. Ada di kalangan mereka yang berjaya, dan ada juga diantara mereka yang tidak. Dan contoh terbaik juga adalah Pirlo.

Berikut adalah 10 bekas pemain yang kembali menyertai kelab masing-masing sebagai pengurus:

Pep Guardiola

Selepas meninggalkan Barcelona sebagai pemain pada 2001, Guardiola kemudiannya kembali sebagai jurulatih Barcelona B pada 2007. Beliau kemudiannya diberikan peranan sebagai pengurus skuad utama Barcelona setahun kemudian.

Selama empat tahun mengendalikan gergasi Catalan itu, Guardiola membantu Barcelona meraih 14 kejuaraan, termasuk tiga LaLiga dan dua Champions League.

Kejayaan dibawa oleh Pep bersama Barcelona membolehkan kelab catalan itu diiktiraf sebagai kelab terbaik Eropah untuk dua dekad berturut-turut (2000-2010 dan 2011-2020) oleh IFFHS.

Pep Guardiola turut berjaya ketika bersama-sama Bayern Munich dan juga Manchester City, taktikal yang diterapkan beliau kini menjadi rujukan banyak jurulatih.

Zinedine Zidane

Juara Piala Dunia, Zidane adalah sebahagian daripada anggota skuad Galaticos di Real Madrid pada awal 2000, sebelum turut menamatkan karier beliau di Santiago Bernabeu.

Seperti Guardiola, Zidane turut kembali mengendalikan skuad kedua Real Madrid sebelum mengambil peranan bersama skuad utama setelah pemecatan Rafael Benitez pada Januari 2016.

Zidane kemudiannya membantu Los Blancos menjuarai tiga Champions League di tiga musim berturut-turut, sebelum mengundur diri pada Mei 2018.

Beliau kemudiannya kembali 10 bulan kemudian dan kini telah membantu Real Madrid muncul juara LaLiga dan Supercopa de Espana pada 2019-20.

Antonio Conte

Conte bergelar pemain Juventus selama 13 musim dan memenangi hampir semua pertandingan yang dipertandingan – lima kejuaraan luga, Copa Italia, dan UEFA Cup.

Conte kemudian memilih bidang kejurulatihan dan pengurusan selepas dua tahun bersara sebagai pemain dan menyertai Juventus setelah membimbing Arezzo, Bari, Atalanta, dan Siena.

Juventus memenangi tiga kejuaraan Serie A berturut-turut di bawah kendalian Conte – permulaan kepada dominasi Old Lady di pertandingan domestik.

Conte kemudiannya menyertai skuad kebangsaan Itali pada 2014. Pencapaian Conte pasti menjadi KPI kepada Andrea Pirlo yang kini kelihatan semakin sendu.

Conte bukan sahaja bekas pemain yang kembali mengurus kelab malahan kembali sebagai pengurus pasukan kebangsaan Itali.

Roberto Di Matteo

Roberto Di Matteo antara bekas pemain Chelsea yang dikenali ramai dilantik sebagai pengurus Chelsea pada tahun 2012, setelah bergelar pembantu kepada Andre Villa-Boas sebelum itu.

Ketika bergelar seorang pemain untuk Chelea selama 6 musim, Roberto Di Matteo telah berjaya membawa Chelsea menjuarai Piala FA sebanyak dua kali pada musim 1996/97 dan 1999/00.

Roberto Di Matteo telah membantu kelab London itu meraih dua trofi ketika bergelar pengurus dan pencapaiannya lebih cemerlang selaku pengurus.

Salah satunya adalah satu-satunya kejuaraan Champions League apabila Chelsea menewaskan Bayern Munich melalui penentuan sepakan penalti dan satu Piala FA.

Walaupun dengan kejayaan tersebut, Di Matteo tetap dipecat pada permulaan musim berikutnya.

Alan Shearer

Shearer dianggap sebagai salah seorang pemain paling berjaya di Engand. Beliau adalah pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Premier League, dan diangkat sebagai legenda Newcastle United dan penjaring berbisa buat England.

Apabila bersara pada tahun 2006, Alan Shearer memilih untuk menjadi pundit bersama sebuah stesen televisyen sebagai karier masa depan selepas berakhirnya karier bola sepak.

Tetapi apabila Newcastle ‘The Magpies’ United memerlukan khidmatnya untuk menyelamatkan nasib mereka pada 2009, Shearer tidak menolak dan hadir bak wira.

Namun demikian Shearer gagal menyelamatkan Newcastle dari tersingkir ke Championship apabila tewas 1-0 di hari terakhir liga kepada Aston Villa.

Filippo Inzaghi

Menjadikan bekas pemain sebagai pengurus dan jurulatih pasukan selama ini memberikan kesan yang positif kepada AC Milan yang menang pelbagai gelaran dan menjadi pasukan digeruni di Eropah.

Nama Fabio Capello dan Carlo Ancelotti adalah contoh dua bekas pemain yang dianggap berjaya sebagai jurulatih bersama kelab Itali itu dengan sekumpulan pemain yang hebat.

Dan apabila Rossoneri memilih Fillipo Inzaghi pada 2014 setelah mengambil alih dari Clarence Seedorf, ia bukanlah perkara yang mengejutkan.

Namun bekas penyerang yang memenangi lapan kejuaraan utama sepanjang bergelar pemain itu dianggap gagal setelah hanya merekodkan 14 kemenangan daripada 40 perlawanan liga.

Milan menamatkan musim itu di tangga ke-10, kedudukan terburuk dalam sejarah sejak 17 tahun sebelum itu.

Thierry Henry

Thierry Henry mulai mencipta nama bersama Monaco setelah mendapat tempat dalam kesebelasan utama pada 1994. Penyerang itu kemudiannya bergelar juara dunia dan dianggap ikon Arsenal.

Setelah bergelar pelatih kepada skuad remaha The Gunners buat seketika, Henry kemudiannya menyertai Roberto Martinez sebagai pembantu pengurus skuad kebangsaan Belgium.

Henry kemudian menolak peluang untuk bergelar pengurus bersama Bordeaux dan Aston Villa. Tetapi pada Oktober 2018, Henry menerima tawaran kelab asalnya, Monaco.

Malangnya Henry hanya bertahan tiga bulan setelah tewas 11 daripada 20 perlawanan yang dilalui sebelum diganti oleh Leonardo Jardim.

Juan Jose Lopez

Juan Jose Lopez dianggap sebagai pemain paling berjaya di dalam sejarah River Plate setelah memenangi tujuh kejuaraan liga dalam tempoh 11 tahun bersama kelab Argentina itu.

Lopez adalah watak yang popular di kalangan penyokong dan pelantikan sebagai pengurus disambut dengan baik – apatah lagi selepas beliau cemerlang sebagai pengurus interim pada 2010.

Namun demikian keadaan berubah apabila Lopez dan River Plate melalui kempen Liga Clausura yang buruk pada 2011 sehingga memerlukan play-off menentang Belgrano.

River tewas 3-1 dalam perlawanan tersebut, keputusan yang membuatkan kelab Argentina itu tersingkir dari divisyen utama sepanjang sejarah penubuhan, sekaligus menimbulkan rusuhan yang membuat ramai penyokong mengalami kecederaan.

Ole Gunnar Solskjaer

Ole Gunnar Solksjaer bukan sahaja dianggap sebagai legenda, malah turut dilabel sebagai super hero di kalangan penyokong Manchester United dan terkenal sebagai pemain supersub.

Penyerang dari Norway itu adalah wira United di perlawanan akhir Champions League pada 1999, dan dikenali sebagai pemain yang sering tampil dengan gol penting.

Beliau mengambil alih tampuk pengurusan di Old Trafford dari Jose Mourinho pada Disember 2018, dan bermula dengan baik apabila merekodkan 12 perlawanan tanpa kalah.

Walaupun bergelut selepas itu dengan prestasi tidak konsisten pada separuh pertama musim ini, Solksjaer kini dilihat mulai membiasakan diri dan berjaya menstabilkan skuad The Red Devils.

Kadangkala Ole gemar menampilkan elemen kejutan dalam kesebelasan utama dengan alasan tidak masuk akal. Apabila berita pemecatannya berteberan Ole akan kembali power dan tidak terkalahkan.

Frank Lampard

Seperti Ole Gunnar Solksjaer, Frank Lampard turut dianggap sebagai legenda dan wira bersama Chelsea. Karier Lampard di dalam bidang pengurusan boleh dianggap sebagai menarik.

Malah Lampard dianggap berjaya di awal kariernya sebagai pengurus apabila berjaya membimbing Derby County ke perlawanan akhir play-off Championship, sebelum tewas kepada Aston Villa.

Lampard kemudiannya memilih untuk menyertai Chelsea sebagai pengurus dan boleh dianggap cemerlang membawa Chelsea pada musim pertama yang dikenakan sekatan di jendela perpindahan.

Menyandarkan pasukannya kepada pemain muda dan corak permainan menarik, Lampard dilihat sebagai pengurus muda yang mempunyai masa depan yang cerah.

Selepas sekatan tamat, Chelsea telah memborong pemain bagi melepaskan rasa ketagih dan Lampard gagal lalu dipecat dan digantikan dengan Thomas Tuchel.

Penutup

Di atas hanya sebahagian daripada pemain yang kembali sebagai jurulatih. Kita juga memiliki Mikel Arteta bersama Arsenal, dan Gennaro Gattuso yang pernah bergelar pengurus Milan.

Tidak lupa juga kepada Diego Simeone yang telah sedekad membimbing Atletico Madrid selaku pengurus dengan cemerlangnya.

Selain itu jika di dalam arena sepak bola tempatan di liga Malaysia, nama Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan antara bekas pemain yang kembali ke kelab selaku pengurus.

Sebagai pemain, kita semua tahu kemampuan dan kehebatan Andrea Pirlo. Namun cabaran sebagai pengurus pasti berbeza lebih-lebih lagi tanpa pengalaman.

Mampukah Pirlo mengulangi kejayaan Conte yang pernah melatih kelab Turin itu sebelum ini? Tidak.

Atau adakah Pirlo akan menjadi sehebat Guardiola yang dikenali sebagai pakar taktikal? Tidak.

Ia pasti menarik untuk kita lihat selepas ini jika Pirlo tidak dipecat.

BACA:  Pep Guardiola: Haaland Tidak Akan Jadi Pengganti Aguero