10 Pemain Bola Sepak Yang Paling Banyak Memenangi Piala Bersama Kelab

Setiap pemain bola sepak mengimpikan piala dan medal kejuaraan sebanyak yang mungkin. Tanyalah pemain-pemain yang bermain di liga sekompetitif Liga Perdana Inggeris, La Liga atau liga yang lebih kompetitif seperti Liga Malaysia, pasti setiap pemain berharap akan memenangi kejuaraan tak kiralah pasukan manapun yang dia bermain.

Dalam senarai 10 pemain ini, hanya pemain yang memenangi kejuaraan utama seperti liga dan piala domestik atau peringkat serantau, dari Asia, Amerika Selatan sehingga Eropah, disenaraikan.

Pemain yang memenangi piala ciptaan seperti Piala Emirates yang dikuasai Arsenal tanpa gagal setiap tahun tidak akan dikira, apatah lagi piala Dunhill atau Piala Yang Berhormat Adun Bukit Besi.

Tanpa cakap banyak, kau bacalah kisah 10 orang yang paling banyak medal di rumahnya ini.

Spoiler alert : Tiada pemain Chelsea dan Sunderland, apatah lagi Arsenal.

Wael Gomaa – 29 Kejuaraan

Pasti ramai peminat bola sepak yang berkiblatkan bola Eropah tidak mengenali pemain ini, Wael Gomaa, kerana dia hanya bermain di Liga Mesir.

Sepanjang kariernya sebagai seorang pertahanan selama 20 tahun, dia telah berjaya memenangi 29 kejuaraan bersama kelab Al-Mehalla, Al-Ahly dan Al-Siliya. Pada tahun 2006, dia hampir menyertai Blackburn Rovers.

Tak pasti sama ada ‘hampir’ ini bersamaan betapa hampirnya De Gea menyertai Real Madrid dua musim lalu, atau sehampir Safiq Rahim menyertai Cardiff City selepas Piala AFF 2010.

Gerard Pique – 29 Kejuaraan

Barcelona muncul pasukan yang cukup dominan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, terutamanya sejak Pep Guardiola mula menduduki kerusi ketua jurulatih pada tahun 2008.

Gerard Pique, seorang graduan akademi La Masis, telah memenangi banyak kejuaraan dan dia bernasib baik kerana dikelilingi para pemain yang cukup berbakat di sekelilingnya.

Kalau Pique bermain dengan Watford, tak mungkin dia akan mendapat walau satu kejuaraan sekalipun.

Tapi, nak kata Pique ni menumpang pun tak boleh juga kerana dia merupakan tunjang utama di bahagian pertahanan dan sekali sekala menjaringkan gol walaupun tak sebanyak Sergio Ramos.

Pada tahun 2004, Pique meninggalkan Barcelona selama 4 tahun untuk berguru dengan Pak Alex Ferguson dan tiga tahun pertamanya di Old Trafford, dia tidak banyak menyumbang kerana peluang permainan yang terhad. Walaubagaimanapun pada tahun terakhirnya bersama United, pada 2007, dia telah memenangi tiga piala.

Piala teragung yang berjaya dimenanginya pastilah berjaya memikat hati penyanyi Latin sensasi, Shakira Shakira Oh Baby When You Talk Like That.

Andres Iniesta – 29 Kejuaraan

Bila sebut Andres Iniesta, pasti kau akan terbayang seorang pemain yang tidak berapa tinggi dan tidak berapa rendah, bermain untuk pasukan yang memakai jersi biru merah di La Liga, bukan di Liga Super Malaysia.

Hanya ada satu sahaja Iniesta dalam dunia ini dan dia hanya bermain untuk Barcelona. Gerakan kakinya yang lemah gemalai bagaikan Beyonce ketika menari dalam video klip Single Ladies, bola bagaikan melekat di kaki Iniesta.

Dia mungkin tidak menjaringkan gol sebanyak Leo Messi atau Luis Suarez, namun dia sering menjadi watak utama dalam mencipta peluang kepada kedua-dua pemain di atas untuk menjaringkan gol.

Selain memenangi puluhan piala bersama kelab dan negara, Iniesta juga memenangi anugerah individu yang boleh dibanggakan. Memandangkan pemenang Ballon d’Or hanya mampu dimiliki oleh pemain yang menjaringkan gol, maka peluang Iniesta untuk memenanginya seakan-akan sudah tertutup.

Kalau nak kira sepatutnya lah kan, Iniesta sepatutnya menang pemain terbaik dunia pada tahun 2009. Tapi tu lah, anugera ini diberikan kepada makhluk asing yang berasal dari planet Yahdoract, Leo Messi.

Apapun, 29 piala bukanlah jumlah yang sedikit dan Iniesta sudah boleh bersara sebagai seorang lagenda!

Victor Baia – 30 Kejuaraan

Bagi mereka yang membesar pada 1990-an pasti mengenali atau sekurang-kurangnya pernah mendengar nama Victor Baia.

Bermain di posisi penjaga gol, Baia mula bermain bola sepak secara professional bersama Porto pada tahun 1988, sebelum berpindah ke Barcelona dari 1996 sehingga 1998.

Dia kemudian kembali bermain bersama Porto sehingga bersara pada tahun 2007. Bersama Porto, dia telah memenangi 25 kejuaraan, termasuk liga Europa pada tahun 2003 dan liga Juara-juara Eropah pada musim berikutnya.

Bersama Barcelona, Baia menikmati gelaran domestik dan sempat bermain bersama Ronaldo asli pada tahun 1996.

Walaupun wajahnya seiras Jimmy Kimmel, Baia tetap mencintai bola sepak dan tidak menceburkan diri dalam bidang hiburan.

Leo Messi – 30 Kejuaraan

Bercakap pasal kejuaraan tanpa menyebut Leo Messi ibarat makan nasi lemak tiada sambal – rasa tidak kena. Nama ini tidak perlu diperkenalkan lagi apatah lagi dipuji, kerana kalau dipuji pasti akan ada perdebatan Messi vs Ronaldo.

Kehebatan Messi bukanlah satu cerita omong kosong dan makhluk asing dari Planet Yahdoract ini membuka dan menawan hati ramai peminat bola sepak dek aksi yang licik dan lincah.

Cuma satu je nak cakap pasal Messi, dia menjadikan menjaringkan gol sebagai satu hobi yang santai, dan menjaringkan 50 gol semusim bagaikan satu kerja yang mudah. Mungkin Rooney dan Safee Sali perlu berguru dengan pemain Argentina ini untuk mencari lebih banyak gol.

Messi mempunyai satu kejuaraan melebihi Iniesta adalah kerana Messi bermain dalam satu perlawanan Supercopa de Espna pada tahun 2009, di mana Iniesta tidak tersenarai dalam perlawanan tersebut.

Sepatutnya Real Madrid menggunakan isu ini untuk meracuni Iniesta supaya dia bergaduh dengan Messi, barulah kestabilan Barcelona tergugat. Itu pun nak kena ajar.

Zlatan Ibrahimovic – 31 Kejuaraan

Sepeti Messi, Ibrahimovic tidak perlu diperkenalkan lagi. Digelar Dewa Kota Mancheste, dia merupakan seorang pemain yang cukup berkarisma, selain merupakan pemain yang mengalami sindrom ketagihan menjaringkan gol dan apa yang lebih penting, dia telah menguasai hampir keseluruhan eropah.

Kariernya bermula dengan Malmo, kemudian diikuti Ajax, Juventus, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, Paris Saint Germain dan terkini Manchester United.

Dia adalah satu daripada sembilan pemain yang pernah beraksi untuk ketiga-tiga kelab besar Itali – Inter, Milan dan Juventus.

Kalau nak ikutkan, jumlah sebenar piala yang dimenangi Zlatan ialah 33, namun dek skandal Calciopoli, dua Scudetto telah dilucutkan daripada Juventus dan menjadikan jumlah pialanya kepada 31.

Meskipun telah memenangi kesemua piala domestik, rezeki Zlatan di peringkat Eropah agak kurang memberangsangkan. Mujurlah United memenangi Liga Europa tempoh hari, barulah Zlatan dapat merasa piala di peringkat Eropah.

Mungkin selepas ini Zlatan perlu lebih banyak solat dhuha dan berdoa agar dipermudahkan rezekinya untuk memenangi Liga Juara-juara pula nanti.

Kenny Dalglish – 31 Kejuaraan

Kenny Dalglish tidak dipanggil King Kenny tanpa sebab yang tidak munasabah oleh para penyokong Liverpool.

Dia telah memenangi sebanyak 31 kejuaraan sepanjang 21 tahun kariernya sebagai seorang pemain bola sepak dan 22 daripadanya adalah ketika bersama Liverpool, selepas dibeli pada harga £440,000 – rekod perpindahan termahal British pada tahun 1977.

King Kenny telah menjaringkan 336 gol dalam 823 penampilan bersama dua kelab tersebut. Dia juga membuktikan kehebatannya sebagai pengurus dengan membantu Liverpool memenagi Liga Divisyen 1, dan Blackburn Rovers memenangi Liga Perdana Inggeris, di samping membawa Celtic menjulang Liga Scotland.

Disebabkan ke-lejen-annya, dia dianugerahkan pingat MBE – Member of Most Excellent Order of the British Empire, dua tangga di bawah Commander of Most Excellent Order of the British Empire yang membawa gelaran Sir.

Kalau di Britain memang susah nak dapat anugerah MBE, OBE, CBE, KBE dan GBE ni. Pak Alex yang power tu pun dapat CBE sahaja dan jika dia berjaya membawa Liverpool meneruskan dominasi dalam era Liga Perdana Inggeris, pasti dia akan bergelar Sir Kenny.

Tapi itu semua kalau lah.

Dani Alves – 33 Kejuaraan

Daniel Alves Da Silva masih lagi antara pemain bek kanan terbaik di dunia meskipun sudah berusia 34 tahun. Sumbangannya ketika membantu Juventus menewaskan AS Monaco dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara tempoh hari membuktikan kenyataan ini.

Agak pelik juga memikirkan tindakan Barcelona yang membenarkan pemain Brazil ini meninggalkan Catalonia secara percuma dan peluang ini diambil oleh pasukan yang pakar dalam mengambil pemain percuma – Juventus.

Bersama Barcelona dia telah memenangi enam La Liga, dan di Itali, satu Scudetto dan Coppa Italia sudah berada dalam genggaman.

Sekiranya Juventus berjaya menewaskan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara nanti, ini akan menjadikan Dani Alves muncul sebagai pemain yang memenangi trebel bersama dua kelab.

Hebat kan beliau?

Ryan Giggs – 35 Kejuaraan

Satu lagi nama yang tidak perlu diperkenalkan kepada peminat bola sepak. Ryan Giggs adalah pemain yang paling banyak mengumpul medal kejuaraan di Britain, selepas bermain sebanyak 963 perlawanan buat Manchester United.

Kepantasan menjadi aset utamanya ketika muda, namun semakin senja usianya, posisinya beralih kepada pemain tengah dan dia dilihat tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.

Meskipun terpalit skandal bersama isteri adiknya, nama Giggs dilihat begitu suci sehingga skandal ini hanya dihebohkan dalam jangka masa yang pendek.

Dia juga telah dianugerahkan Order of Most Excellent Order of the British Empire (OBE) – satu takuk di atas King Kenny, dan satu di bawah Sir Alex.

Kehebatannya sebagai pengurus masih belum terbukti lagi namun musim depan, dikatakan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris dan Liga Kejuaraan sedang mengintai peluang untuk mendapatkan pemain terbaik di Britain ini.

Apa yang pasti, jika Giggs dilatik sebagai pengurus mana-mana pasukan, pasti Paul Scholes, Nicky Butt, adik beradik Neville akan turut serta.

Tak percaya kau tengok lah nanti.

Maxwell – 37 Kejuaraan

Mungkin ramai yang terkejut kerana pemain yang memenangi kejuaraan terbanyak bukanah Messi, di Stefano, Paolo Maldini atau Nurshahrul Idlan Talaha.

Maxwell adalah bekas pemain Barcelona pada era Ronaldinho dan kini bermain sebagai bek kiri Paris Saint Germain – pada usia 35 tahun.

Pemain Brazil ini mula mengecap kemanisan trofi adalah ketika bersama Cruzeiro pada tahun 2000.

Nak tambah lagi perisa cerita menarik ini, Cristiano Ronaldo hanya memenagi 19 kejuaraan, 18 kurang daripada Maxwell.

Maxwell memulakn karierny bersama Cruzeiro pada tahun 2000, sebelum berpindah ke Ajax, Inter Milan, Barcelona dan PSG – dalam karier sepanjang 17 tahun.

Rekod ini mungkin akan dipecahkan oleh Messi dalam masa beberapa tahun lagi, namun buat masa ini, Maxwell adalah pemain yang paling banyak memenangi kejuaraan.

Bak kata orang putih , enjoy it while it lasts.

Sumber artikel dan gambar statistik medal : Sportskeeda

Baca Juga

Baca Juga