10 Pemain Dengan Mata Tertinggi Dalam Premier League Fantasy Pada 31 Disember 2020

Seperti yang diketahui umum, Premier League Fantasy merupakan platform nombor satu dalam arena fantasi sukan, dimana setiap minggu berjuta peminat bola sepak Inggeris di seluruh dunia dengan gigihnya menjual dan membeli pemain demi mendapatkan mata tertinggi daripada pemain-pemain yang dipilih.

Daripada mata yang berjaya diperoleh, paling tidak pun boleh lah dijadikan modal berlagak dan membahan kawan-kawan di laman sosial.

Itu kalau fantasi sukan lah. Kalau fantasi lain tu, engkorang boleh kongsi di komen nanti.

Memandangkan engkorang maklum dan tahu tentang Fantasy Premier League ini, meh kita tengok 10 pemain dengan mata tertinggi untuk musim 2020/21 ini pada hari terakhir tahun yang penuh suram, 2020.

10. Callum Wilson – 84 mata – £6.5

Callum Wilson menyertai Newcastle United pada awal musim ini selepas kelab lamanya, AFC Bournemouth terjerumus ke lembah Liga Kejuaraan.

Sebaik menyertai kelab Tyneside ini, Wilson terus menjadi tonggak utama pasukan di mana setakat ini dia telah menjaringkan 10 gol dan melakukan 3 assist – terbaik dalam pasukannya.

Prestasinya ini sepatutnya sudah mampu membantu meletakkan Newcastle di kalangan 10 terbaik, tapi itu lah, kau bagus macam mana pun tapi kalau rakan sepasukan biasa-biasa je, macam tu je lah pasukan kau. Kan?

9. Wilfred Zaha – 86 mata – £7.4j

Dulu, cerita dulu lah kan, pemain bernama Wilfred Zaha ni pernah menyertai pasukan Manchester United di bawah kendalian David Moyes. Tapi dikhabarkan bahawa disebabkan pemain ini berskandal dengan anak Moyes, maka dia tidak mendapat tempat di kesebelasan utama dan dijual kembali ke Crystal Palace.

Sejak itu, Zaha sering muncul sebagai pemain terbaik Palace setiap tahun dan berjaya membantu pasukan tersebut menjadi pasukan tangga pertengahan yang stabil, atau dalam Bahasa Inggeris disebut mid-table team.

Setakat 31 Disember ini, Zaha telah berjaya mencatatkan 86 mata dalam FPL, dan berjaya menjaringkan 8 gol – tertinggi dalam pasukannya, di samping 2 bantuan gol.

Crystal Palace dijangka akan kekal menjadi pasukan tangga pertengahan pada musim ini dan pada hujung musim nanti seperti biasa, Zaha akan dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab yang lebih besar.

8. Jack Grealish – 90 mata – £7.7j

Tiada siapa yang dapat menyangkal bahawa Jack Grealish adalah pemain yang paling penting bagi pasukan Aston Villa, sejak 4-5 musim kebelakangan ini.

Bermain di posisi tengah, Grealish begitu lincah mengatur serangan pasukan Midlands ini lantas mengejutkan pihak lawan dan yang paling terkejut pastinya Jurgen Klopp, di mana anak buahnya tercirit melihat Grealish menjaringkan dua gol ketika Villa menewaskan Liverpool 7-2 pada awal musim.

Grealish setakat ini hanya menjaringkan 5 gol, 1 gol kurang berbanding penjaring terbanyak kelab setakat ini, Olie Watkins. Dari segi bantuan gol pula, Grealish telah melakukannya 6 kali pada musim ini – keempat terbanyak secara keseluruhan liga, sekaligus meletakkan Villa di kalangan kluster kayangan Liga Inggeris.

7. Calvert-Lewin – 93 mata – £7.9j

Calvert-Lewin mencipta kejutan pada awal musim di mana dia telah menjaringkan gol dengan sesuka hatinya tanpa menghiraukan perasaan pasukan lain sekaligus meletakkan Everton di tangga teratas liga. Namun prestasinya mula kembali kepada asal – kembali malu-malu di depan gol, selepas pasukannya tewas kepada juara bertahan, Liverpool.

Pada hujung Disember 2020, Everton kini menduduki tangga keempat liga dengan 29 mata, 4 mata di belakang pendahulu liga yang juga merupakan jiran tetangga mereka.

Setakat ini, Calvert-Lewin telah menjaringkan 11 gol, kedua terbanyak dalam liga di belakang penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

6. Patrick Bamford – 99 mata – £6.5j

Leeds United telah lama menghilangkan diri dalam kancah Liga Perdana Inggeris, sebelum kembali muncul pada musim ini. Di bawah kendalian Marcelo Bielsa, Leeds mempamerkan permainan yang sangat cantik dan sentiasa menyerang tanpa mengira siapa pasukan lawan.

Hasilnya, mereka telah berjaya menjaringkan 30 pada musim ini, dan 10 daripadanya disumbangkan oleh penyerang prolifik, Patrick Bamford.

Dari segi bantuan gol pula, Bamford melakukannya sebanyak dua kali setakat ini pada musim ini, namun sudah cukup untuk meletakkannya di antara 10 pemain terbaik setakat ini.

Jika prestasinya ini mampu diteruskan, mungkin Gareth Southgate akan membawanya bersama kem England dalam kejohanan Euro nanti. Selepas cemerlang dalam Euro, Bamford pasti akan disunting kelab-kelab besar yang lain seperti Manchester City, Chelsea, Liverpool atau JDT.

5. Jamie Vardy – 107 mata – £10.2j

Kalau ada yang tak kenal Jamie Vardy, makanya dia bukan peminat bola sepak. Vardy telah membantu Leicester City mencipta sejarah apabila muncul juara liga buat pertama kali dalam sejarah pada beberapa musim yang lalu.

Sejak itu, Vardy terus secara konsisten menjadi penjaring utama pasukannya dan pada musim ini, 11 gol telah direkodkan, di samping 4 bantuan gol – juga terbanyak di kalangan pemain Leicester.

Pada 31 Disember 2020, pasukan The Foxes berada di tangga ketiga liga, 4 mata di belakang Liverpool. Andai pasukan ini terus konsisten, tempat Liga Juara-Juara Eropah pasti menjadi milik mereka.

Tapi itulah, pasukan yang dilatih Brendan Rodgers ni biasanya akan pancut menuju ke penghujung musim. Tengok lah macam mana nanti nasib Leicester ni.

4. Harry Kane – 113 mata – £11j

Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, terus mengekalkan sifat semulajadinya di atas padang  – menjaringkan gol.

Setakat ini dia telah merekodkan 9 jaringan dalam liga, dan menariknya, Kane mendahului carta bantuan gol di mana dia telah melakukannya sebanyak 10 kali.

Pasukannya pernah seketika mendahului carta liga sebelum tewas kepada Liverpool, dan kini telah terjerumus ke tangga ketujuh, dengan 7 mata di belakang pendahulu.

Apapun, liga masih panjang dan mungkin Kane akan berjaya membawa piala buat Tottenham buat pertama kalinya nanti pada musim ini, selepas bertahun kabinet trofi pasukan ini berhabuk.

3. Son Heung-Min – 119 mata – £9.7j

Son Heung-Min baru-baru ini telah mengikut jejak langkah Faiz Subri di mana dia telah memenangi anugerah Puskas, hasil daripada gol cantiknya yang menggelecek 30 pemain West Ham dari kawasan sendiri. Nasib baik tiada pemilik pasukan EPL yang iri hati dengan kejayaan pemain Spurs ini menggondol anugerah gol cantik tersebut.

Seperti musim-musim yang lalu, Son terus menggegar jaring pasukan lawan di mana dia telah menjaringkan 11 gol setakat ini, di samping melakukan 4 bantuan gol.

Andai dia dapat mengelakkan daripada cedera, mungkinkah dia bakal muncul pemain Asia pertama muncul sebagai penjaring terbanyak liga musim ini?

2. Bruno Fernandes – 120 mata – £11.2j

Sudah sekian peminat Manchester United menyembunyikan diri daripada dunia, sehinggalah ketibaan Bruno Fernandes dari Sporting Lisbon pada musim sejuk tahun lalu.

Tidak membuang masa, Bruno dengan sendirinya membantu skuad Ole Gunnar Solskjaer ini menamatkan liga musim lalu di tangga ketiga.

Musim ini, Bruno masih melakukan perkara yang sama di mana dia telah muncul sebagai pemain tengah pertama yang menjaringkan 10 gol, di samping 7 bantuan gol, sekaligus meletakkan pasukannya di tangga kedua liga.

Tapi betul ke orang cakap, kalau Bruno tak main, Manchester United akan macam Batu Dua FC. Betul ke?

1. Mohamed Salah – 13 mata – £12.6j

Seperti biasa, Mohamed Salah terus menerus menghantui pertahanan dan penjaga gol di EPL, kecuali Aston Villa, di mana dia menjadikan jaringkan gol sebagai satu hobi.

Setakat ini, Salah mendahului carta penjaring di EPL dengan 13 gol, 2 gol mengatasi 4 pencabar terdekatnya. Dari segi bantuan gol pula, Salah telah melakukannya sebanyak 3 kali, sekaligus meletakkan pasukannya di puncak liga pada penutup tahun ini.

Tapi ada orang cakap, Salah dah berubah daripada King of Egypt kepada King of Penalty. Rasa macam tak betul, kan?

10 pemain dengan mata tertinggi di FPL

Baca Juga

Baca Juga