10 Pemain Kelas Dunia Yang Bermain di EPL Tetapi Tercirit

Musim perpindahan pada kali ini menyaksikan kelab-kelab utama begitu rancak membeli pemain, terutamanya Manchester United. Setakat artikel ini ditulis, mereka telah membeli Jadon Sancho, Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo dengan jumlah pembelian sekirar £120 juta.

Jiran tetangga, Manchester City dilihat membeli pemain tonggak Aston Villa, Jack Grealish pada harga £100 juta.

Paling rancak rasanya pasukan Arsenal, di mana mereka telah membawa masuk pemain baru seperti Martin Odegaard, Aaron Ramsdale, Benjamin White, Nuno Tavares dan juga Albert Lokonga. Jumlah perbelanjaan pula dianggarkan sekitar £150 juta.

Liverpool dilihat paling zuhud setakat ini selepas hanya membawa masuk Ibrahim Konate pada harga £36 juta.

Daripada ramai-ramai pemain baru tersebut, ada pemain yang bolehb dikatakan berada di tahap kelas dunia seperti Varane dan Ronaldo.

Ronaldo kita sudah ketahui bagaimana dia berjaya membuktikan bahawa EPL sesuai dengan gaya permainannya manakala Varane, ini adalah kali pertama dia merasai bola sepak Inggeris.

Dari segi peraturan, bola sepak Inggeris masih lagi dimainkan sama seperti bola sepak di La Liga, Serie A dan juga liga-liga lain di mana pemain dikehendaki mengawal bola dengan menggunakan kaki dan tidak dibenarkan menggunakan tangan.

Namun isitimewanya liga Inggeris berbanding liga lain adalah perlawanan dimainkan dengan begitu pantas dan lebih fizikal berbanding bola sepak di negara-negara lain. Jadi, ada ramai pemain yang hebat dan gah di liga negara lain, tetapi tercirit apabila beraksi di arena bola sepak Inggeris.

Davor Suker

Davor Suker merupakan satu nama besar dalam kancah bola sepak Eropah sekitar pertengahan dan penghujung 1990-an. Tahun 1998 menjadi tahun yang paling gemilang kepada pemain ini.

Mana tidaknya, dia telah berjaya menjulang La Liga dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama Real Madrid dan dalam kempen Piala Dunia di bumi Perancis, dia telah muncul sebagai penjaring terbanyak, selain diundi pemain kedua terbaik dunia di belakang Zinedine Zidane.

Lebih menarik lagi, edisi Piala Dunia pada tahun tersebut merupakan penyertaan kali pertama negaranya dan mereka mara sehingga ke pusingan separuh akhir sebelum menamatkan saingan sebagai pasukan ketiga terbaik.

Pada tahun 1999, Suker mengambil keputusan untuk berpindah ke Arsenal dan bermain di bawah pengurus Arsene Wenger.

Mungkin zaman kegemilangannya sudah berlalu atau memang dia tidak sesuai bermain di liga Inggeris di mana dia sekadar menjaringkan lapan gol pada musim tersebut, sebelum diambil oleh Harry Redknapp di West Ham di mana dia menjaringkan dua gol.

George Weah

George Weah adalah satu bakat yang sangat luar biasa dari Liberia. Dia mencipta nama ketika bermain untuk kelab Perancis, Paris Saint-Germain dan telah muncul sebagai pemenang Ballon d’Or pada tahun 2005.

Kehebatannya di atas padang telah menambat hati AC Milan dan terus membawa pemain ini ke San Siro pada tahun yang sama. Bersama AC Milan dia telah menjaringkan 58 gol dalam tempoh lima musim.

Ya, jumlah gol dijaringkannya tidak banyak kerana dia tidak berapa prolifik di depan gol, namun kelajuan dan keupayaannya mengawal bola memang tidak tertading pada zaman itu.

Selepas memenangi dua Scudetto, dia berpindah ke Chelsea secara pinjaman pada bulan Januari 2000 dan hanya menjaringkan lima gol.

Selepas tempoh pinjamannya tamat di Chelsea, Milan telah menjual pemain ini ke Manchester City di mana dia hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja.

Deco

Deco boleh dikatakan sebagai pemain tengah yang rare atau jarang ditemui kerana dia sanga kreatif dan sering menjadikan permainan kelihatan sangat mudah.

Dia mula mencipta nama selepas berjaya membantu Porto menjuarai UCL ketika di bawah kendalian Jose Mourinho pada tahun 2004, dan dengan kualiti yang ada padanya, Barcelona terus menyambar pemain ini dan membawanya ke Nou Camp.

Bersama Barcelona, dia sekali lagi memenagi UCL pada tahun 2006 dan sebaik sahaja Pep Guardiola mengambil ailh tugas sebagai pengurus di Barcelona dan memulakan revolusi La Masia, Deco menjadi salah seorang mangsanya.

Tanpa membuang masa, Chelsea terus membawa Deco ke Stamford Bridge dan pada mulanya dia berjaya membuatkan peminat The Blues berasa bahawa bintang Portugal kelahiran Brazil ini akan bersinar selepas dia berjaya menjaringkan gol cantik dalam debut nya dalam perlawanan menentang Portsmouth.

Tetapi panas disangka sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Deco gagal mengekalkan rentak cemerlangnya dan hanya menamatkan musim dengan tiga gol dan dua assist.

Pada musim berikutnya dia sekadar menjadi pemain sambilan di bawah Carlo Ancelotti dalam musim yang menyaksikan Chelsea menjulang kejuaraan liga. Dia kemudiannya berpindah ke Fluminense selepas gagal bersinar seperti yang diharapkan di Stamford Bridge.

Gonzalo Higuain

Mungkin ramai yang akan pertikai kenapa Higuain termasuk dalam senarai pemain kelas dunia. Namun, dengan rekod 76 gol dalam Serie A dari 2015 sehingga 2018, sukar untuk tidak mengatakan bahawa dia merupakan pemain kelas dunia.

Pada bulan Januari 2019, dia telah dipinjamkan ke Chelsea dengan harapan dia mampu menjaringkan jumlah gol yang banyak walaupun sekadar bermain separuh musim.

Higuain diejek gemuk oleh penyokong pasukan lawan. Gambar : 90min

Tapi malang buatnya, apabila dia hanya mampu merekodkan sebanyak lima gol dalam 19 penampilan dan tidak kelihatan benar-benar cergas ketika menyarung jersi pasukan itu.

Malah, penyokong pasukan lawan seringkali mengejeknya sebagai pemian yang gemuk, dek bentuk badan yang menampilkan perut yang agak ke depan.

Maicon

Maicon dikenali dengan dua gelaran – pemain bek kanan terbaik dunia pada tahun 2010, dan juga pemain bek kanan terbaik dunia yang dibuli oleh Gareth Bale.

Pada tahun 2010 dia telah mencipta sejarah bersama Inter Milan apabila telah memenangi tiga kejuaraan utama dalam satu musim – Serie A, Copa de Italia dan juga UCL.

Pada tahun tersebut juga dia telah menjaringkan satu gol ajaib dalam Piala Dunia ketika menentang Korea Utara.

Pada tahun 2012, Maicon mengambil keputusan untuk mencuba angin baru dan berpindah ke England dengan menyertai Manchester City dan pada ketika itu City sedang berada dalam fasa peralihan daripada kelab biasa-biasa kepada kelab gergasi di England.

Walaubagaimanapun, Maicon gagal mengulangi kehebatannya bersama Inter apabila sekadar melakukan sembilan penampilan buat kelab tersebut tanpa sebarang gol atau assist lantas menyebabkannya dijual kepada Roma selepas hanya semusim.

Fernando Morientes

Sebagai seorang penyerang yang sangat konsisten dengan jumlah jaringan gol dua digit di La Liga pada saban musim, Morientes telah menukar haluan dan menyertai Liverpool pada permulaan musim 2004-05 selepas memenangi dua gelaran La Liga dan tiga UCL di Real Madrid.

Pada usia 28 tahun, dia dijangka akan berjaya mendominasi carta jaringan di England memandangkan usia tersebut adalah usia yang matang bagi seorang penyerang.

Walaubagaimanapun, lapan gol dalam tempoh dua musim menunjukkan EPL bukanlah tempat Morientes boleh cari makan.

The Reds akhirnya membenarkan pemain ini berpindah ke Valencia dan ajaibnya, dia telah berjaya menjaringkan 16 gol dalam musim pertamanya bersama kelab La Liga tersebut.

Juan Sebastian Veron

Juan Veron merupakan seorang pemain tengah kidal yang cukup terkenal di Serie A bersama pasukan Lazio. Dia telah memenagi Piala UEFA, Scudetto dan juga Coppa Italia sebanyak dua kali sebelum tiba di England pada tahun 2001 menyarung jersi Manchester United.

Dilabel sebagai seorang pemain yang kreatif, Alex Ferguson terpaksa membayar kelab Rom tersebut sebanyak £28 juta untuk mendapatkannya – satu rekod bola sepak Inggeris pada ketika itu.

Pada awalnya, Veron dilihat sebagai pembelian yang berbaloi apabila dia berjaya menggondol anugerah pemain terbaik bulanan pada bulan September di musim pertamanya.

Tapi tu lah, Veron gagal mengekalkan konsistensi dan terus kehilangan tempat kepada pemain lain di kelab tersebut. Selepas dua musim di Old Trafford, Veron berpindah ke Chelsea dan hanya kekal selama satu musim sahaja sebelum berpindah semula ke Itali dengan menyertai Inter Milan.

Angel Di Maria

Di Maria tiba di Old Trafford dengan reputasi yang cukup besar – juara UCL dan pemain terbaik dalam perlawanan akhir hanya beberapa minggu sebelum menandatangani kontrak sebagai pemain Manchester United.

Bersama United, Di Maria memakai nombor keramat yang dikatakan mempunyai sumpahan – nombor 7. Sepanjang musim, dia telah berjaya meyumbangkan 11 assist – satu jumlah yang boleh dikatakan boleh tahan tetapi memandangkan dia pemegang rekod nilai perpindahan tertinggi United, maka lebih banyak yang diharapkan daripada pemain ini.

Malang buat Di Maria, rumahnya telah dirompak ketika pertengahan musim lantas membuatkan isterinya terus meninggalkan bandaraya Manchester dan akibatnya, permainan Di Maria mula terumbang-ambing.

Selepas semusim, Di Maria berpindah meninggalkan kelab tersebut dan menyertai Paris Saint-Germain dan kekal sehingga ke hari ini.

Radamel Falcao

Radamel Falcao merupakan penyerang yang paling digeruni di benua Eropah suatu ketika dahulu dan dia berada di kemuncak kariernya bersama Atletico Madrid dan juga AS Monaco pada awal 2010-an.

Pada permulaan musim 2014-15, Falcao mengambil keputusan untuk mencuba nasib di England dan menyertai Manchester United secara pinjaman.

Dengan reputasi yang menggerunkan, Falcao gagal menterjemahkan ketahajamannya di depan gol buat kelab tersebut dan hanya mampu menjaringkan empat gol dalam 26 perlawanan liga.

Tidak berputus asa, Falcao kembali ke liga Inggeris pada musim berikutnya dengan menyertai Chelsea, juga secara pinjaman dan hasilnya, dia mengharungi musim yang lebih buruk selepas hanya menjaringkan satu gol dalam kesemua pertandingan.

Andriy Shevchenko

Sebagai penyerang AC Milan, Shevchenko merupakan seorang penyerang yang sangat digeruni dan dek kehebatannya, dia telah angkat sebagai pemenang Ballon d’Or pada tahun 2004.

Pada musim panas 2006, selepas lama dikejar oleh Roman Abramovich, Shevchenko akhirnya menerima lamaran Chelsea.

Dalam temoh setahun setengah, Sheva sekadar berjaya menjaringkan sembilan gol dalam 47 perlawanan liga dan akibatnya dia menyertai semula AC Milan secara pinjaman sehingga tamat musim tersebut.

Ada yang mengatakan bahawa sebenarnya Sheva menyertai kelab The Blues hanya kerana hubungan baiknya dengan pemilik kelab, bukan di atas permintaan pengurus ketika itu.

Sumber : 90min

BACA:  Senarai 10 Pakar Sepakan Percuma Terbaik Sepanjang Zaman