10 Pemain Tua Yang Masih Beraksi di Peringkat Tertinggi

Zlatan Ibrahimovic telah membuktikan usia bukan penghalang apabila setakat ini telah bermain dalam 30 perlawanan buat Manchester United dan menjaringkan 17 gol. Beberapa rahsia kecergasan dan ketajaman Zlatan telah dibongkar dan diketahui umum.

Selain Zlatan, ada ramai lagi pemain yang masih bermain musim ini walaupun usia sudah lanjut dan berikut adalah 10 pemain yang masih bersaing di peringkat tertinggi.

Francesco Totti

Dek sakit urat, Totti sekadar mampu memberikan ‘like’.

Kelab : AS Roma

Usia : 41 tahun

Posisi : Tengah/Penyerang

Siapa yang tidak kenal Signore Totti, berbadan sasa, menjaringkan gol dan bermain untuk AS Roma sejak tahun 1992! Walaupun terdapat desas desus mengatakan Roma tidak akan menyambung kontraknya pada musim lepas, Totti membuktikan dia masih berbisa dengan sumbangannya kepada Roma musim ini, meskipun banyak beraksi sebagai pemain gantian.

Jaringannya pada musim ini ketika menentang Sampdoria pada 11 September 2016 melengkapkan rekodnya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam 23 musim Serie A berturut-turut. Totti bakal bersara bila musim 2016-17 berakhir dan sudah menandatangani kontrak sebagai pengarah teknikal Roma selama enam tahun akan datang.

Gianluigi Buffon

Buffon telah menyertai seminar perniagaan anjuran Dr. Azizan Osman (PhD, Gordon University) sebagai persediaan selepas pencen nanti

Kelab : Juventus

Usia : 39 tahun

Posisi : Penjaga gol

Dalam dunia ini ada satu sahaja Gianluigi Buffon dan dia bermain untuk Juventus dan Itali. Buffon memulakan karier professionalnya pada tahun 1995 – Marcus Rashford belum lahir lagi – bersama Parma sebelum dibeli Juventus pada 2001 pada harga rekod dunia bagi penjaga gok dengan nilai €50 juta.

Buffon pernah menjadi penjaga gol termuda Itali pada usia 19 tahun 9 bulan, ketika menggantikan menggantikan Gianluca Pagliuca dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Russia pada tahun 1997. Kini rekod penjaga termuda Itali dipegang permata yang bakal bersinar dari AC Milan, Gianluigi Donnarumma.

Dengan prestasi yang masih ganteng pada hari ini, mungkin Buffon akan kekal bermain sehingga usianya 50 tahun.

Gareth McAuley

Kelab : West Bromwich Albion

Usia : 37 tahun

Posisi : Pertahanan

Pemain kebangsaan Ireland Utara ini kekal mendapat tempat di kesebelasan utama West Brom di bawah kendalian Tony Pulis dengan 21 penampilan setakat ini pada musim 2016-17. Pemain tinggi lampai ini memulakan karier pada usia 17 tahun mewakili pasukan Linfield, kelab semi-pro di Ireland pada tahun 1996.

Sejak itu kariernya terus meningkat naik dan menyertai West Bromwich Albion selepas kelab itu berjaya melayakkan diri ke Liga Perdana. Sejak dari itu, dia tidak lagi memandang ke belakang dan kekal menjadi tonggak pertahanan The Baggies sehingga ke musim ini.

Tiago Mendes

Mungkin baru lepas hisap Surya ni

Kelab : Atletico Madrid

Usia : 36 tahun

Posisi : Pertahanan

Pemain berbangsa Portugal ini memulakan karier bersama Braga dan telah berhijrah ke Benfica, Chelsea, Lyon, Juventus sebelum menemui cinta di Atletico Madrid pada 2011. Walaupun boleh dikategorikan sebagai berusia, Tiago tetap menjadi pilihan utama jurulatih Atletico, Diego Simeone untuk mengemudi barisan pertahanan Atleti sebelum kakinya patah pada musim lalu.

Musim ini meskipun telah sembuh dari patah kaki, kecederaan hamstring pula mengganggu dengan Tiago sekadar bermain sebanyak 12 perlawanan setakat ini.

Michael Carrick

Tak jumpa gambar kontroversi Carrick. Orang tua baik ni.

Kelab : Manchester United

Usia : 36 tahun

Posisi : Tengah

Michael Carrick dibeli oleh Alex Ferguson pada tahun 2006 untuk menggantikan Roy Keane yang dipecat dari kelab dek mulut celupar, dan sejak itu Carrick terus menempatkan dirinya sebagai pemain pilihan utama di jentera tengah Manchester United.

Ketepatan hantarannya menjadi kunci utama penggerak serangan United dan Carrick pernah digelar sebagai ‘penghantar paling tepat di eropah’. Musim ini pada usia menganjak 36 tahun, Carrick tidak lagi mampu untuk bergerak dari kotak ke kotak seperti zaman mudanya namun dengan pengalaman yang dimiliki, dia masih mampu untuk mengawal zon tengah pasukan Syaitan Merah Durjana itu untuk memudahkan kerja Paul Pogba dan Ander Harerra.

John Terry

Terry : Bro, sorry. Kosong-kosong k? | Bridge : Sorry abah kau.

Kelab : Chelsea

Usia : 37 tahun

Posisi : Pertahanan

John Terry boleh dikatakan antara pemain yang bermain untuk satu kelab yang terakhir wujud pada hari ini, selain Francesco Totti. Terry mula menyertai akademi remaja Chelsea pada tahun 1995 dan membuat penampilan pertama dalam skuad senior Chelsea pada tahun 1998, ketika usianya 18 tahun dalam perlawanan Piala Liga menentang Aston Villa.

Terry mula menjadi pemain utam Chelsea pada tahun 2000 dan digandingkan dengan kapten ketika itu Marcel Desailly. Setelah Desailly bersara, ketibaan jurulatih baharu Jose Mourinho telah menaikkan Terry sebagai kapten dan jawatan tersebut kekal tanpa bertanding sehingga artikel ini ditulis.

Sebagai kapten Chelsea, Terry telah memenangi pelbagai piala termasuk Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga, Liga Europa, Liga Juara-juara Eropah dan juga isteri Wayne Bridge – pencapaian terbaik seorang kapten dalam sejarah kelab London ini.

Andrea Barzagli

Barzagli masih mampu tackle walaupun tua

Kelab : Juventus

Usia : 36 tahun

Posisi : Pertahanan

Pemain kelahiran Tuscany ini memulakan karier bersama Rondinella, kelan Serie C, pada tahun 1998. Sejak detik itu karier Barzagli terus maju apabila menyertai kelab Jerman, VFL Wolfsburg, dan memenangi Bundesliga pada musim 2008-09. Lebih manis lagi, Barzagli bermain setiap minit perlawanan liga.

Musim berikutnya Barzagli melakukan penampilan pertama dalam Liga Juara-juara Eropah menentang CSKA Moscow, sebelum menyertai gergasi Turin, Juventus pada tahun 2011. Bersama ‘Old Lady’, Barzagli telah bermain dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah pada bulan Mei 2015 menggantikan Giorgio Chiellini yang cedera, tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila pasukannya tewas 1-3 kepada Barcelona.

Pada musim berikutnya Barzagli bergelut dengan kecederaan yang menyebabkannya kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Aritz Aduriz

Sekali imbas macam Totti pun ada

Kelab : Atletic Bilbao

Usia : 36 tahun

Posisi : Penyerang

Nama Aduritz mungkin tidak segah Fernando Torres atau David Villa namun pemain berbangsa Basque ini merupakan penjaring gol yang konsisten di kelab-kelab yang disertainya. Karier bola sepaknya yang berusia 18 tahun hanya berkisar di Sepanyol namun sentiasa bermain di divisyen utama Sepanyol, La Liga.

Bersama skuad kebangsaan Sepanyol pula, dia hanya mampu membuat 11 penampilan dan menjaringkan tiga gol. Walaupun sudah berusia, Aduritz masih lagi mampu menjaringkan gol dan terbaru, dia telah menjaringkan satu gol ketika Bilbao menewaskan Barcelona – pertemuan antara dua kelab dari dua negeri yang mendambakan kemerdekaan daripada Sepanyol – dalam pusingan pertama Copa Del Rey.

Patrice Evra

Evra suka bergurau dengan kawan baiknya, Luis Suarez, di atas padang.

Kelab : Juventus

Usia : 36 tahun

Posisi : Pertahanan

Nama Patrice Evra mungkin lebih diingati ketika dia menabur khidmat bersama Manchester United di mana dia telah memenangi banyak trofi kejuaraan. Berbadan agak rendah berbanding pemain eropah lain, Evra menguasai posisi pertahana kiri United untuk tempoh yang lama sebelum Louis Van Gaal menjualnya ke Juventus.

Bersama Perancis, dia telah melakukan 81 penampilan dan lebih menarik, dia telah bermain kesemua tujuh perlawanan Perancis ketika kejohanan Eropah musim panas yang lalu, sebelum tewas kepada Portugal dalam perlawanan akhir.

Gareth Barry

“I don’t care, who you are, where you’re from, what you did….” Kau teka lah lagu apa Nick Barry ni nyanyi

Kelab : Everton

Usia : 36 tahun

Posisi : Tengah

Gareth Barry, pemain tengah bertahan, memulakan karier professionalnya bersama Aston Villa dan memegang rekod pemain termuda beraksi dalam 300 perlawanan liga. Sepanjang 10 tahun bersama Aston Villa, dia berjaya menjadi tunjang utama dalam menjadikan Villa sebagai pasukan tetap Liga Perdana.

Namun demi keinginan beraksi di Liga Juara-juara Eropah, Barry menyertai Manchester City pada tahun 2009 sebelum melangkah ke Merseyside dengan menyertai Everton pada 2013 dan telah membuat 116 penampilan liga setakat ini. Pada 17 September 2016, Barry menjadi pemain ketiga selepas Ryan Giggs dan Frank Lampard untuk membuat 600 penampilan dalam Liga Perdana.

Baca Juga

Baca Juga