10 Perpindahan Paling Gagal Dalam Sejarah Peradaban Bola Sepak

Seperti semua sedia maklum, penyerang utama Chelsea, Romelu Lukaku akan kembali menyertai Inter Milan secara pinjaman selepas 12 bulan meninggalkan Itali untuk menyertai revolusi Thomas Tuchel di Stamdord Bridge.

Sesungguhnya perpindahan Lukaku ke Chelsea tahun lepas wajar diangkat sebagai antara perpindahan terburuk dalam sejarah bola sepak Inggeris dan dunia. Namun begitu, Lukaku tidak keseorangan kerana terdapat lagi beberapa nama besar yang gagal melakukan impak seperti yang diharapkan kelab baru yang mereka sertai.

Duit amat penting dalam industri bola sepak hari ini tetapi berbelanja besar tidak menjanjikan kejayaan dan piala. Berikut disenaraikan 10 perpindahan paling gagal dalam sejarah bola sepak berdasarkan nilai yuran perpindahan. Adakah pemain-pemain ini wajar digelar ‘scammer’ ? Sama-sama anda nilaikan sendiri.

1. Zlatan Ibrahimovic: Inter –  Barcelona (2009)

Cakap elok-elok sikit Brahim. Aku cucuk hidung tu kan

Sudah tentu anda sudah biasa mendengar kata-kata pujangga Zlatan yang sentiasa menyanjung dirinya sendiri. Walaupun Zlatan adalah legenda bola sepak, perpindahan beliau ke Nou Camp lebih sedekad lalu boleh dianggap sebagai antara perjanjian paling buruk pada ketika itu.

Barcelona membayar £59 juta (pound sterling!) untuk mendapatkan Ibrahimovic dari Inter Milan pada ketika itu. Bukan sahaja duit, Barcelona juga berkenan menghantar Samuel Eto’o sebagai pemain tukaran kepada Inter Milan yang dibimbing Jose Mourinho. Bagi anda yang sudah lupa, Mourinho berjaya menyingkirkan Barcelona dari saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan bantuan Eto’o yang sanggup berkorban bermain di bahagian sayap kiri semata-mata untuk menjayakan taktikal Mourinho.

Ibrahimovic bermain selama semusim sahaja di bawah Pep Guardiola dimana beliau dipinjamkan ke AC Milan kerana tidak sebulu dengan pengurusnya itu. Sampai sekarang dua makhluk ini masih lagi tidak berbaik.

2. Kepa Arrizabalaga: Athletic Bilbao – Chelsea (2018)

Kepa si manager cilik

Berikutan pemergian Thibout Courtois ke Real Madrid, The Blue bertindak cepat dengan mendapatkan pemain prospek Sepanyol, Kepa dari  kelab yang berpengkalan di Basque, Sepanyol.

Chelsea membayar £72 juta tetapi segalanya serba tidak menjadi buat Kepa sepanjang bergelar pemain Chelsea. Penjaga gol termahal dunia itu kini hanya memanaskan bangku simpanan berikutan persembahan cemerlang Eduouard Mendy yang dibeli Chelsea pada harga yang jauh lebih murah dari Kepa.

Masa Kepa di Stamford Bridge dilihat semakin hampir ke penghujung dimana beliau dijangka berpindah keluar pada jendela perpindahan musim panas ini.

3. Nicholas Pepe: Lille –  Arsenal (2019)

Pepe the scammer

Dicanang sebagai pemain yang akan memacu Arsenal kembali ke Liga Juara-Juara Eropah, Pepe jelas bergelut untuk menunjukkan prestasi yang meyakinkan Arsenal untuk memecahkan rekod pembelian kelab terhadapnya.

Arsenal membayar £72 juta untuk mendapatkan Pepe dari Lille pada tahun 2019 dan ada suatu ketika pada penghujung musim 2020/2021 dimana beliau seperti sudah menemui rentak, mempamerkan persembahan yang cukup baik di hadapan gol.

Namun begitu, ianya hanya harapan palsu.  Tempat Pepe dalam kesebelasan utama telah lama hilang berikutan aksi tidak konsisten dimana Mikel Arteta lebih berminat untuk menggunakan pemain yang lebih muda, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli di bahagian sayap Arsenal.

Pepe mempunyai kontrak 2 tahun lagi bersama Arsenal tetapi terdapat laporan menyebut Arteta sudah tidak memerlukan beliau dan sedang berusaha untuk menjual pemain antarabangsa Ivory Coast ini.

4. James Rodriguez: Monaco – Real Madrid (2014)

James yang kita kenal

Siapa yang tidak jatuh cinta dengan aksi yang dipamerkan James Rodriguez ketika edisi Piala Dunia 2014 Brazil. James berjaya memacu negaranya mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas tipis di tangan tuan rumah, Brazil.

Tidak lama kemudian, Presiden Real Madrid, Florentino Perez bertindak cepat dengan membelanjakan £68 juta bagi mendapatkan James. James menjadi pemain ‘Galacticos’ terbaru yang dibawa masuk Perez. Musim pertama beliau di Sepanyol, James beraksi cemerlang dimana beliau menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan.

Langit tidak selalu cerah buat James. Pelantikan Zidane sebagai pengurus baru jelas memberi kesan negatif pada karier James. Beliau jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Los Blancos yang dipenuhi bintang-bintang ternama dan akhirnya beliau dipinjamkan ke Bayern Munich selama 2 musim.

Kontrak beliau tidak disambung dan James meninggalkan Santiago Bernabeu secara percuma untuk menyertai Everton. Pengakhiran menyedihkan bagi pemenang kasut emas Piala Dunia 2014.

5. Romelu Lukaku: Inter Milan – Chelsea (2021)

Inter Milan, I love you

Lukaku, sesungguhnya hati mu selembut tisu. Romelu Lukaku pernah beritahu beliau masih mempunyai perkara yang belum diselesaikan di Stamford Bridge ketika hendak menyertai Chelsea tahun lepas. Tapi itu semua dusta semata-mata.

Chelsea membelanjakan £97.5 juta bagi mendapatkan Lukaku buat kali kedua tetapi pemain ini jelas bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Thomas Tuchel. Lukaku masih mampu menjaringkan 15 dari 44 penampilannya musim lepas namun penyokong Chelsea sudah tentu tidak dapat memaafkan Lukaku berikutan kenyataannya secara terbuka yang ingin pulang ke Inter Milan.

Dalam temuramah tersebut, Lukaku secara terang memberitahu beliau ingin kembali ke Itali dan turut mengkritik Tuchel kerana tidak pandai menggunakan beliau dengan betul.

6. Harry Maguire: Leicester – Manchester United (2019)

Lord Maguire. Pujaan pasukan lawan, mimpi ngeri Setan Merah

Harry Maguire atau Lord Maguire sebenarnya adalah pemain pertahanan yang bagus. Beliau membuktikannya ketika bermain untuk Leicester suatu ketika dahulu sehingga Pep Guardiola pernah menyatakan minat untuk memancing Maguire ke Etihad pada tahun 2019.

Maguire beritahu beliau memilih Manchester United dan menolak Manchester City. Tetapi sebenarnya Guardiola enggan membayar harga terlalu tinggi kerana beranggapan pemain macam Maguire ini bukan pemain pertahanan termahal dunia. Dan sesungguhnya tindakan Manchester City amat tepat.

Manchester United meleburkan rekod dunia untuk pemain pertahanan apabila membelanjakan £80 juta untuk mendapatkan pemain antarabangsa England tersebut. Tindakan kelab yang melantik Maguire menjadi kapten turut dipertikai peminat yang mendakwa pemain itu tidak layak menyarung lilitan kapten kerana prestasi longlai sepanjang mengemudi barisan pertahanan United.

Sejak Maguire menyertai United 3 tahun lepas, ‘Red Devils’ kempunan sebarang piala dan Maguire menjadi mangsa ejekan peminat pasukan lawan mahupun sendiri.

7. Eden Hazard: Chelsea – Real Madrid (2019)

Resepi Ayam Budak Gemok

Sudah lama sebenarnya Real Madrid menjejaki Hazard dan akhirnya, Hazard berpindah ke Santiago Bernabeu €100 juta pada tahun 2019 dengan yuran perpindahan yang mampu mencecah €146.1 juta bergantung kepada keadaan tertentu.

Sebenarnya sudah ramai yang menjangka Hazard akan bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya sebaik sahaja beliau kembali untuk latihan pra-musim dalam keadaan terlebih berat. Beliau juga bergelut dengan masalah kecederaan yang berlarutan dan akibatnya, tempat Hazard dalam kesebelasan utama Real Madrid kini diambil alih Vinicius Junior yang semakin hari semakin mantap perminannya.

Beliau berjaya menjuarai beberapa piala, termasuk Liga Juara-Juara Eropah tetapi beliau bukanlah watak utama dan hanya menjadi penumpang dalam pasukan Real Madrid yang cemerlang pada musim lepas.

8. Paul Pogba: Juventus – Manchester United (2016)

Dab Nation

Kes yang hampir sama dengan Romelu Lukaku tetapi lebih berat agaknya. Pemain yang pulang ke pangkuan kelab lama untuk membuktikan sesuatu tetapi berakhir dengan penuh kegagalan.

Pemain jurusan tari-menari ini keluar dari akademi Manchester United untuk menyertai Juventus pada tahun 2012 secara percuma. 10 tahun kemudian, perkara sama berulang dimana Paul Pogba sekali lagi menyertai Juventus secara percuma selepas kontraknya tamat.

Pogba dibeli Manchester United pada harga £89.5 juta dari Juventus pada tahun 2016, rekod dunia pada ketika itu. Namun selepas 6 musim ,1 piala Kerbau,1 Piala Europa League dan beberapa tarian keraian menjaringkan gol,  Pogba meninggalkan Old Trafford dalam keadaan mengecewakan.

9. Antoine Griezmann: Atletico Madrid – Barcelona (2019)

Berat ke rambut

Apalah yang difikirkan pengurusan tertinggi Barcelona ketika mereka menandatangani Griezmann suatu ketika dahulu. Peminat Barcelona pernah membenci Griezmann kerana menolak Barcelona secara terangan-terangan pada tahun 2018 dalam satu dokumentari.

Namun begitu tiada angin tiada ribut Presiden Barcelona pada ketika itu, Josep Maria Bartomeu melakukan perkara yang tidak terjangka apabila membayar €120 juta bagi mengaktifkan klausa pelepasan pemain tersebut pada tahun 2019.

Sesungguhnya waktu Griezmann di Nou Camp penuh dengan kekecewaan dimana beliau bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaiknya. Akhirnya beliau kembali ke Atletico Madrid pada 2021 secara pinjaman, dan dijangka berpindah secara tetap ke kelab tersebut tidak lama lagi.

10. Philippe Coutinho: Liverpool – Barcelona (2018)

Ia merupakan antara perpindahan paling penting dalam sejarah Liverpool tetapi perpindahan paling buruk buat Barcelona. Mana tidaknya Liverpool menerima €120 juta dengan add-on €40 juta menjadikan ia perpindahan ke-3 termahal dunia sehingga ke hari ini.

Liverpool menggunakan duit tersebut untuk membeli Virgil van Dijk dan Alisson dan hasilnya anda dapat lihat hari ini dimana mereka mempunyai skuad yang cukup mantap dalam segenap aspek.

Di pihak Barcelona pula, sesungguhnya mereka telah membeli pemain yang sebenarnya mereka tidak perlukan. Josep Maria Bartomeu melakukan satu lagi kesilapan apabila menandatangani Countinho pada harga tersebut. Akibat dari perpindahan ini, Barcelona mengalami masalah kewangan yang serius sehingga terpaksa melepaskan Lionel Messi pada tahun lepas.

Sumbangan Countiho yang paling diingati adalah pemain Brazil itu berjaya menjaringkan 2 gol buat Bayern Munich (pinjaman) ketika menentang Barcelona 2 tahun lepas.

Sumber – Goal.com

BACA:  Romeo Lavia Dan Moises Caicedo, Pemain NO6 Yang Sama Tetapi Tidak Serupa