10 Tokoh Yang Hampir Menjadi Pemain Bola Sepak Professional

Setiap orang pasti mempunyai cita-cita ketika kecil, contohnya admin Encik Bakri ketika darjah satu beliau mahu menjadi askar dan polis.

Namun setelah dewasa beliau sedar bahawa seseorang individu tidak boleh dan tidak dibenarkan menjadi askar dan polis serentak lalu beliau memilih jalan yang benar dengan menjadi admin The Sukan.

Itu adalah contoh polis dan askar. Dalam bola sepak, ramai kanak-kanak yang memasang impian untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang hebat.

Antaranya ialah Jeremy Lynch dan Billy Wingrove – dua jejaka yang sempat menuntut masing-masing di akademi Arsenal dan Tottenham Hotspur – gagal menjadi pemain bola sepak professional, sebaliknya mereka menjadi bintang bola sepak gaya bebas.

Setiap manusia ini telah diaturkan jalan-jalan yang indah oleh sang pencipta dan berikut adalah contoh sepuluh manusia yang cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi mempunyai impian yang sama ketika kecil – menjadi pemain bola sepak.

Alain Prost (Lagenda Formula 1)

Selain Arsene Wenger, ada seorang lagi lelaki Perancis yang digelar sebagai ‘Le Professeur’ iaitu Alain Prost. Alain Prost dan Morten Frost Hansen bukanlah orang yang sama.

Prost merupakan seorang pelumba Formula 1 yang sangat cekap mengendalikan jentera dan boleh dikatakan penghuni tetap podium selepas perlumbaan.

Ketika usia awal remajanya, Prost lebih berminat untuk bermain bola sepak sehinggalah usianya 15 tahun, bapanya memperkenalkan kepadanya go-kart ketika percutian keluarga.

Sejak itu, Prost kekal fokus sehingga memenangi empat Kejuaraan Dunia dan 51 kemenangan Grand Prix, selain menampilkan pertarungan hebat tahun demi tahun dengan seorang lagi lagenda sukan Formula 1, Ayrton Senna.

Simen Agdestein (Chess Grandmaster – Mahaguru kepada Mahaguru Catur)

Mungkin tidak ramai rakyat Malaysia yang mengenali nama ini namun kita ambil ibrah kisah hidupnya. Agdestein, berasal dari Norway, merupakan sorang yang sangat istimewa kerana telah mewakili Norway dalam catur dan juga bola sepak.

Ketika usianya 15 tahun, dia telah memenangi kejuaraan catur kebangsaan Norway, dan ketika usianya 18 tahun, dia berjaya bergelar Chess Grandmaster!

Dalam sukan bola sepak, dia telah beraksi cemerlang bersama kelab Lyn Oslo dan hasilnya, dia dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan Norway dan mempunyai 8 caps dan 1 gol.

Namun sayang, kecederaan anterior cruciate ligament pada usia awal 20-an telah menutup peluangnya untuk mara lebih jauh dalam bidang  bola sepak, dan dari situ, dia memberikan fokus sepenuhnya terhadap catur.

Hasilnya?

Tujuh kali gelaran Chess Grandmaster telah menjadi miliknya.

Luciano Pavarotti (Penyanyi Opera)

Peminat muzik opera pasti mengenali Pavorotti – penyanyi yang bersuara lantang. Kalau melihat fizikalnya, pasti ramai yang tidak pecaya bahawa Pavorotti sebenarnya adalah seorang pemain bola sepak ketika usia mudanya.

Pavarotti adalah seorang peminat setia Juventus dan telah bermain sebagai penjaga gol untuk pasukan remaja Modena.

Peningkatan dalam permainannya telah mendorong ketua jurulatih pasukan senior Modena untuk memberikan peluang kepadanya menjalani ujian dan latihan bersama skuad senior.

Namun segalanya tidak menjadi buatnya dan dia gagal menjadi pemain bola sepak, lantas atas galakan ibu tersayang, Pavarotti telah menceburi bidang perguruan muzik dan mencipta nama sebagai penyanyi opera.

Pada Piala Dunia 1990, suara lantangnya menggamatkan stadium  ketika dia menyanyikan Nesun Dorma, yang bermaksud ‘Tiada Siapa Boleh Tidur’. Bagus untuk didengar selepas waktu makan tengah hari di pejabat.

Pada tahun 2006, Pavarotti telah meninggal dunia akibat kanser pankreas.

Sean Connery (Pelakon)

Anak-anak muda zaman sekarang pasti kurang mengenali Sean Connery – James Bond pertama. Ketika muda, Connery bersama kumpulan muzikal South Pacific dan diberi peeluang untuk beraksi di Old Trafford dalam satu acara.

Pengurus lagenda United, Sir Matt Busby terpegun dengan gaya permainannya ketika itu dan telah menawarkan kontrak kepada Connery untuk mewakili Manchester United.

Tetapi, memikirkan usianya yang sudah berusia 20-an, Connery menolak dengan sopan tawaran £25 seminggu di Old Trafford dan meneruskan impiannya dalam bidang lakonan.

Bayangkan kalau Sean Connery berganding dengan George Best, pasti stadium Old Trafford hanya dipenuhi wanita!

Nicky Byrne (Penyanyi Westlife)

Kalau di pentas, Nicky tampak ala-ala metro dan sukar untuk dipercayai bahawa dia sebenarnya hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi pemain bola sepak professional.

Ketika remaja, Nicky merupakan pemain muda di akademi Leeds United dan pada 1997, Nicky telah membantu pasukan remaja Leeds memenangi Piala FA Belia. Boleh tahan bukan?

Kalau anda peminat Westlife, yang mana satu Nicky?

Akan tetapi, memandangkan bola sepak Inggeris amat mementingkan fizikal, Nicky tidak diberikan kontrak professional kerana terlalu pendek, lalu dia telah bermain di beberapa kelab di sekitar kampung halamannya, Ireland.

Bakatnya dikesan Louis Walsh dan dia digabungkan dengan lagi empat pemuda dan membentuk…… WESTLIFE!

Overseas from coast to coast..
To find the place I love the most..
Where the fields are green..
See you once again..
My love!

Steve Waugh (Lagenda kriket Australia)

Waugh merupakan bekas kapten kriket Australia dan ketika mudanya, dia boleh dikatakan sebagai seorang yang genius sukan. Bersama kembarnya, Mark, mereka berdua bermain untuk pasukan New South Wales, sebelum bertukar kelab ke Sydney Croatia.

Namun disebabkan minat yang lebih mendalam terhadap kriket, kedua-dua kembar ini telah mengubah haluan hidup dan mula menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kriket lagipun ketika itu bola sepak bukanlah satu sukan yang boleh cari makan di negara Kangaroo itu.

Bersama pasukan kriket Australia, Waugh telah memenangi Piala Dunia pada 1999.

Secara peribadi, Waugh merupakan salah seorang daripada 12 pemain kriket yang pernah melakukan lebih 10,000 larian Test.

Albert Camus (Ahli falsafah)

Satu lagi nama yang tidak dikenali oleh orang kebanyakan. Secara ringkasnya, Camus merupakan seorang ahli falsafah Gallic dan fokus ke arah ‘absurdism’. Apa itu ‘absurdism’?

Itu engkorang kena cari sendiri. Cerita panjang di sini nanti ramai yang terpesong akidah. Engkorang dah la iman tak kuat. Kaki Tumblr lagi.

Berasal dari Perancis, Camus telah bermain untuk kelab remaja Racing Universitaire Algerois dan dia bermain sebagai penjaga gol.

Harapannya untuk bermain secara professional terbantut setelah dijangkiti tuberculosis secara berulang kali.

Dia telah memenangi anugerah Nobel dalam bidang Kesasteraan dan antara kata-katanya yang sangat terkenal ialah,

”All that I know most surely about morality and obligations, I owe to football.

“Semua yang tahu mengenai moral dan tanggungjawab, saya berterima kasih kepada bola sepak.”

Julio Iglesias (Penyanyi)

Anak kesayangan Madrid atau Madridista ini bermain sebagai penjaga gol buat pasukan remaja Real Madrid, Castilla, ketika muda dan bintangnya tampak bakal bersinar cerah.

Namun, segalanya berubah apabila dia terlibat dalam satu kemalangan kereta yang menyebabkannya cedera parah dan tidak mampu berjalan selama dua tahun. Ini kerana kecederaannya telah merebak ke bahagian saraf.

Ketika sesi pemulihan di hospital, seorang jururawat telah menghadiahkannya sebuah gitar sebagai salah satu fisioterapi Igelsias untuk menyembuhkan kecederaan tangannya.

Sejak itu, Igelsias jatuh cinta dengan muzik dan mula serius dalam bidang ini. Hasilnya, dia telah menjual 300juta salinan album di seluruh dunia!

Kalah Aiman Tino bakal Juara Lagu 2017!

Rod Stewart (Penyanyi)

Sebelum bergelar bintang rock dunia, Rod Stewart merupakan pemain akademi Brentford ketika remaja. Namun, mengikut tradisi di England dahulu kala, pemain muda atau dipanggil perantis, perlu membasuh but dan jaket pemain senior – termasuklah Stewart.

Disebabkan itu, Stewart mula mencipta jurang dan beralih arah menjadi penggali kubur.

Tidak dapat dipastikan berapa lama dia bergelumang bersama Tok Adi versi British namun ketika ditanya wartawan kenapa dia berhenti daripada mengejar impian menjadi pemain bola sepak, Stewart menjawab,

“Menjadi ahli muzik adalah lebih senang, dan aku boleh mabuk setiap masa!”

Karol Jozef Wojtyla (Pope John Paul II)

Dilahirkan di bandar Wadowice, Poland, Wojtyla dibesarkan dalam komuniti majmuk bangsa Poland dan Yahudi dan ketika meningkat remaja, dia sangat aktif bersukan.

Sudah menjadi tradisi bandarnya perlawanan persahabatan diadakan antara bangsa Poland dan Yahudi setiap tahun dan Wojtyla bermain memilih untuk bermain untuk bangsa yahudi.

Ketiaka di univerisiti di Krakow, Wojtyla bermain untuk pasukan kampusnya sebagai penjaga gol. Namun setelah meningkat dewasa, Wotjyla memilih jalan keagamaan.

Walaubagaimanapun, sehingga ke akhir hayatnya dia tetap menujukkan minat yang mendalam terhadap sukan ini dan pernah ‘memberkati’ penjaga gol Ireland, Shay Given ketika pernikahannya.

Najib Razak

Ketika muda, Najib Razak agak aktif bermain bola sepak namun setelah bapanya, Tun Abdul Razak meninggal dunia, Najib yang ketika itu berusia 23 tahun, memilih untuk meneruskan perjuangan bapanya dalam berbakti kepada bangsa, agama dan negara sehingga hari ini.

Baca Juga

Baca Juga