12 Undang-undang Hooligan Yang Digunapakai di Bulgaria

Bagi mereka yang pernah menonton filem Fight Club, pasti pernah ketemu dengan skrip ini.

“The first rule of Fight Club is: You do not talk about Fight Club. The second rule of Fight Club is: You do not talk about Fight Club..”

“Peraturan pertama Kelab Gaduh ialah jangan bercakap pasal Kelab Gaduh. Peraturan kedua ialah jangan sekali bercakap pasal Kelab Gaduh…”

…sehinggalah peraturan Fight Club yang kelapan, seperti yang diterangkan oleh Tyler Durden.

Bulgaria – sebuah negara di Eropah Timur merupakan sebuah bekas negara Soviet yang mana rakyat mereka cukup meminati sukan bola sepak dan menyokong pelbagai kelab seperti CSKA Sofia, Levski Sofia, Slavia Sofia dan juga Jane Sofia.

Hampir setiap kelab di sana mempunyai kelompok kumpulan yang gelarkan diri mereka sebagai hooligan atau dalam bahasa mudahnya, pengganas bola sepak. Biasanya kita akan lihat hooligan memukul orang secara tiba-tiba bagaikan kerasukan.

Tetapi di Bulgaria, kumpulan-kumpulan hooligan atau juga dipanggil sebagai firm mempunyai
peraturan mereka sendiri.

Larangan Menggunakan Sebarang Senjata Ketika Bergaduh Dengan Penyokong Lain.

Hooligan di Bulgaria akan bertempur dengan tangan kosong, tanpa menggunakan sebarang senjata seperti kayu besbol, parang, kerambit atau buku lima, atau seperti kata Mat Saleh – fist to fist.

Impak fist to fist ini sebenarnya lebih seronok daripada menggunakan senjata. Kalau tak percaya, kau tumbuk orang sebelah kau yang pakai baju kuning tu. Mesti kau rasa puas.

Jangan Gaduh Ramai lawan Sorang/Sikit

Para hooligan di Bulgaria perlu berlawan dengan jumlah kekuatan anggota yang lebih kurang sama, tetapi sebelum bergasak, mereka tidak perlu berkawad ke kanan lurus untuk mengira berapa jumlah keseluruhan mereka. Kalau ada di kalangan mereka yang bergaduh ramai vs sedikit/seorang.

Maka yang menyerang tersebut bakal diakikahkan oleh pihak yang mereka serang, tanpa bantahan daripada firm mereka sendiri.

Contoh hooligan bergaduh tiga lawan satu. Ganazzz.

Jangan Usik Lawan Yang Tak Sedarkan Diri

Kalau lawan dibelasah, lalu terjatuh dan tak sedarkan diri atau berada dalam keadaan tidak mampu untuk berlawan lagi, maka lawan tersebut tidak boleh disentuh lagi dan orang yang menyerangnya perlu mencari pasangan berlawan yang baru.

Tapi kalau terajang tiang yang tak bergerak di penjuru padang tu tiada masalah. Tendang lah berpuluh kali pun. Kalau jatuh, kau buat-buat muka bengis. Nanti orang takut sikit.

Tidak Boleh Menyerang Wanita, Kanak-kanak atau Penyokong Biasa

Wanita, Kanak-kanak dan penyokong biasa tidak boleh diserang, dan jika mereka ini diserang, maka balasan yang dahsyat akan dikenakan. Berbeza sekali orang Bulgaria ni dengan hooligan Malaysia.

Hooligan Malaysia membelasah penyokong biasa Vietnam, tak kira lelaki atau perempuan.

Adakah ini bermaksud hooligan Malaysia tiada telur?

Ini contoh hooligan Malaysia.

Dah la pakai sweater siap topeng muka pukul 12 tengah hari, di bawah panas terik matahari. Mungkin hooligan di Malaysia ni bukan setakat tiada telur, otak mereka juga mungkin terjatuh di mana-mana.

Jangan Serang Lawan di Tempat Kerja, Rumah atau Ketika Mereka Bersama Keluarga

Ternyata golongan hooligan Bulgaria ini mempunyai pemikiran yang jauh. Mereka tidak mahu mencemarkan maruah lawan mereka, atau menyusahkan hidup lawan mereka. Tak kira lah lawan tersebut bekerja di mana-mana sekalipun, di Airport Subang ke, di kedai makan ke, atau tingkat 50 di KLCC.

Mereka tidak mahu kerana firm, kerja lawan mereka tergadai dan mengakibatkan anak dan isteri lari – sekaligus menyebabkan lawan hidup dalam tekanan dan terpaksa mengamalkan gaya hidup yang sihat. 

Kalau lawan mereka mengamalkan gaya hidup sihat, mereka bakal kehilangan lawan pula. Bosanlah hidup mereka itu nanti.

Tidak Boleh Bergaduh Pada Hari Cuti Kebangsaan

Ini adalah salah satu tanda menghormati negara di mana mereka tidak akan berentap pada hari cuti kebangsaan. Bagi mereka lebih elok cuti ini dihabiskan bersama keluarga atau membaca buku di perpustakaan, selain menyusun stem yang baru dibeli di dalam album.

Kalau di Malaysia, terlalu banyak cuti kebangsaan – Hari Merdeka, Hari Malaysia, Hari Raya Puasa dua hari, Hari Raya Cina dua hari dengan kata lain memang banyak lah.

Mungkin sebab itu kita jarang dapat lihat hooligan-hooligan di Malaysia beraksi.

Jangan Ambil Barang Peribadi Lawan

Para hooligan di Bulgaria dilarang daripada mengambil barang peribadi milik lawan, sama ada barang individu atau kumpulan lawan. Ini dinamakan mencuri.

Peraturan ini juga membantu hooligan di sana untuk fokus bergaduh sahaja, tanpa terpesona dengan godaan telefon bimbit Samsung Corby milik lawan.

Tidak Melaporkan Kepada Polis

Peraturan ini juga menunjukkan betapa keringnya hati hooligan di sana. Kalau bergaduh sampai mata terkeluar, usus tersumbat atau betis tercabut labu sekalipun.

mereka tidak boleh melaporkan kejadian tersebut kepada polis, kecuali, ketika mereka sedang bergaduh, kereta polis sampai sambil membunyikan siren.

Pakaian hooligan Malaysia di bawah panas mentari

Situasi ini cukup berbeza dengan segelintir ‘hooligan’ yang menghentam dan memukul lawan, lalu menaiki bas rombongan dan menyorok di dalam balai polis.

Firm Boleh Menghukum Ahli yang Tidak Mengikut Peraturan

Peraturan ini walaupun tiada dalam perlembagaan negara, wajib diikuti oleh setiap insan yang menceburkan diri dalam bidang kehooliganan, tak kiralah sama ada insan tersebut hooligan sejati
atau acah-acah semata.

Barangsiapa yang tidak mengikut peraturan ini, mereka akan dihukum oleh firm mereka.

Tidak diketahui apakah bentuk hukuman ini, yang pastinya bukan sekadar berdiri di atas kerusi atau hisap rokok yang diletakkan serpihan ubat nyamuk di dalamnya.

Hentikan Promosi Penggunaan Senjata

Penggunaan senjata sememangnya dilarang seperti dalam peraturan 1(1). Maka sebarang jenis promosi untuk menggunakan senjata, sama ada dalam bentuk poster, tulisan di baju, grafiti atau FB Ads amatlah dilarang.

Sesiapa yang didapati melakukan sebarang promosi seperti ini akan didenda oleh cif hooligan kumpulan masing-masing.

Contoh poster di baju

Promosikan Pergaduhan Bersih (Clean Fight)

Untuk mengelakkan sebarang penggunaan senjata ketika bergaduh, setiap firm digalakkan untuk mempromosikan pergaduhan yang bersih dengan menggunakan stiker, tulisan di baju, poster, bunting, papan iklan di jalan raya ke lapangan terbang atau apa sahaja medium.

Melalui promosi atau kempen-kempen ini, kesemua hooligan akan sedar kepentingan pergaduhan bersih tanpa senjata.

Kalau hooligan tersebut mendapat bantuan kewangan daripada pemilik kelab, mereka boleh belanjakan sedikit wang untuk kempen melalui radio, televisyen atau FB Ads.

Kalau promosi melalui FB Ads berjaya, mereka sudah boleh anjurkan seminar dengan mengenakan bayaran selepas diskaun, RM100, untuk 50 peserta terawal.

Jangan Buang Grafiti Pihak Lawan

Grafiti merupakan antara medium yang paling mudah untuk menonjolkan kewujudan setiap kumpulan hooligan ini, selain memberi kata-kata semangat kepada pemain kelab yang mereka sokong.

Antara punca kegagalan Sime Darby FC di Liga Malaysia ialah ketiadaan grafiti dihasilkan oleh penyokong mereka.

Contoh grafiti penyokong di Warsaw, Poland.

Grafiti yang dilukis di kawasan lawan, tidak boleh diusik apatah lagi dibuang, kerana kos untuk membeli spray pun agak mahal, ditambah dengan GST lagi. Jadi, tak eloklah kalau buang hasil seni orang macam tu je kan.

Sebaliknya jika hooligan tersebut mahu berselfie di gratiti tersebut sambil menghembus asap vape, itu dibenarkan.

Tetapi sekiranya grafiti lawan tersebut dibuat di bukan kawasan mereka, maka grafiti tersebut boleh diusik dan dibuang tanpa amaran.

Sebarang surat menyurat tidak akan dilayan.

Kesimpulan

Semoga apa yang ditulis di atas dapat memberikan sedikit idea kepada hooligan-hooligan yang ada di Malaysia, tak kiralah hooligan dari Keramat, Padang Jawa, Lubuk Tupah atau Rumah Tumpangan Sabul.

Ingat, kalau nak jadi hooligan, jadilah hooligan yang berkhidmat kepada bangsa, agama dan negara. Akhir sekali, jangan sesekali tertinggal otak di mana-mana, sentiasa bawa otak tu bersama walau tak nak guna sekalipun.

Tapi lagi bagus kalau kita tak ikut perangai orang barat yang menyembah kelab bola sepak mereka tu. Kita ni orang ada agama, ada adab dan adat, maka eloklah buat apa yang baik sahaja.

Lagipun bola sepak ni adalah sukan untuk menyatupadukan hati manusia, bukan saling bergaduh dan bertekak sesama bangsa.

Kecualilah kalau kau penyokong Arsenal. Memang wajib ditaji sampai mendap golongan penyokong ini.

Artikel ditulis selepas terpengaruh dengan tulisan di Dreamteam FC

Baca Juga

Baca Juga