3 Bintang Man United Yang Tak Gembira Dengan Kehadiran Ronaldo Di Bumi Old Trafford

Cristiano Ronaldo mencetuskan sensasi di internet selepas beliau mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim panas ini.

Ronaldo telah memberitahu pihak kelab yang beliau mahu meninggalkan Old Trafford andai ada kelab lain yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Walau bagaimanapun, selepas kecoh isu berkait Ronaldo mahu meninggalkan kelab dan tak gembira dengan situasi kelab pada ketika ini, telah tular pula isu yang mendakwa ada pemain yang tak gembira dengan kewujudan bintang Portugal itu di Old Trafford.

Terdapat tiga pemain dari skuad utama Manchester United dilaporkan tidak gembira sama sekali dengan kehadiran Cristiano Ronaldo di bumi Old Trafford.

Pemain penyerang kebangsaan Uruguay, Edinson Cavani dikatakan merupakan salah seorang dari tiga pemain yang tak gembira dengan kehadiran Ronaldo.

Cavani sebelum ini dianggap sebagai penyerang pilihan utama pengurus United pada ketika itu, Ole Gunnar Solskjaer.

Walau bagaimanapun, selepas kehadiran Cristiano Ronaldo, tempat Cavani sepertinya sudah terancam dengan beliau kemudiannya menjadi pilihan kedua sahaja di belakang bintang Portugal itu.

Bukan itu sahaja, jersi bernombor tujuh miliknya juga terpaksa dikembalikan kepada Ronaldo dengan Cavani terpaksa memilih nombor baru untuk beraksi pada musim berikutnya.

Cavani pada musim lalu hanya membuat 20 penampilan sahaja dari semua pertandingan dengan beliau juga hanya mampu menjaringkan dua gol sahaja sepanjang tempoh tersebut.

Masalah kecederaan juga merupakan punca utama mengapa beliau tidak dapat minit permainan yang mencukupi pada musim lalu.

Pemain kebangsaan Perancis, Anthony Martial juga dikatakan sangat tidak gembira dengan kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke bumi Old Trafford.

Laporan sama turut mendakwa yang mood Martial terus berubah selepas Ronaldo tiba dan hal itu menjadi punca mengapa persembahan beliau merosot.

Beliau kemudiannya telah meninggalkan Manchester United untuk menyertai kelab dari saingan La Liga, Sevilla sebagai pemain pinjaman.

Martial walau bagaimanapun gagal untuk menyerlah bersama Sevilla dengan beliau hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja sepanjang kariernya di Sepanyol itu.

Terakhir sekali, ketua pasukan Man Utd, Harry Maguire, turut dikatakan antara individu yang tidak gembira dengan kepulangan semula Cristiano Ronaldo.

Pemain kebangsaan England itu dikatakan merasa terancam dan tidak dihormati sebagai ketua pasukan selepas kehadiran Ronaldo.

Ketiga-tiga pemain ini dikatakan antara mereka yang tidak gembira dengan kepulangan semula Cristiano Ronaldo di bumi Old Trafford.

Bekas bintang Man Utd, Gary Neville turut pernah mendedahkan yang Ronaldo telah mencipta masalah selepas kembalinya beliau menyertai skuad setan merah.

Bercakap ketika dalam rancangan The Overlap pada awal tahun baru-baru ini, Neville mendedahkan bahawa:

“Saya rasa pada awal mulanya musim ini, dia terus mencipta masalah dengan Cavani.”

“Cavani dirayu supaya kekal dan mengetuai jentera serangan selama setahun lagi, tapi ketika mereka menandatangani Ronaldo, Cavani diketepikan dan dipinggirkan. Ia mengganggu dinamik dalam bilik persalinan untuk Bruno.”

Gary Neville kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Saya fikir Bruno melihat dia seperti godfather di Portugal, jadi ia menyebabkan dia rasa lebih rendah diri berbanding siapa dia sebelum ini. ia turut membuat Maguire turut rasa tergugat sebagai ketua pasukan, tapi itu sebenarnya tak ada kaitan dengan Ronaldo.”

“Hanya kehadiran dia sendiri sahaja sudah cukup untuk membuatkan semua orang melihat Ronaldo sedang menstabilkan diri dia untuk menjadi ketua pasukan Manchester United.”

Tidak pasti sejauh mana kebenaran berita ini, namun menurut kajian dari laporan-laporan media UK, ketiga-tiga mereka sememangnya tidak gembira dengan kehadiran Ronaldo.

Selepas hanya satu musim sahaja bersama Man Utd, Ronaldo akhirnya memilih untuk meninggalkan kelab, namun sehingga kini beliau masih kekal di Old Trafford dan masih belum ada mana-mana kelab yang tampil menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

Sumber: SPORTbibble

BACA:  Bekas Jurulatih Dedah Punca Cristiano Ronaldo Hilang Sokongan Di Bilik Persalinan Man United