3 Pasukan Yang Layak ke Liga Perdana Inggeris Musim Depan

Persaingan untuk merebut tempat ke Liga Perdana Inggeris telah pun diketahui dengan pasukan terakhir dari Liga Kejuaraan berjaya memenangi perlawanan play-off dengan dua pasukan juara dan naib juara liga sudah pun menempah tiket lebih awal.

Newcastle United

Newcastle United kembali layak ke Liga Perdana Inggeris apabila berjaya menjadi juara Liga Kejuaraan pada hari terakhir musim 2016/2017. Pasukan kendalian bekas pengurus Liverpool ketika “Kebangkitan Istanbul” iaitu Rafael Benitez berjaya beraksi cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka telah menjaringkan kesuluruhan 85 gol untuk sepanjang musim.

Sumber:
“Cium sikit”, kata Benitez kepada pemainnya.

Penjaring terbanyak mereka pada musim ini ialah bekas penyerang Crystal Palace, Dwight Gayle yang berjaya menjaringkan 23 gol menjadikan beliau pemain pertama menjaringkan lebih daripada 20 gol sejak kali terakhir dilakukan oleh Alan Shearer pada musim 2002/2003.

The Magpies tersingkir dari Liga Perdana Inggeris pada musim lepas apabila sekadar menduduki tangga ke-17 dalam Liga Perdana Inggeris. Benitez mula membimbing Newcastle United apabila menggantikan Steve McLaren yang dipecat. Ketika itu liga cuma berbaki 10 perlawanan dan tiada apa yang mampu dibuat oleh Benitez untuk mengelakkan Newcastle daripada tersingkir.

Musim ini berkat usaha para pemain secara istiqamah ditambah pula dengan sentuhan magis Benitez, Newcastle berjaya kembali semula ke Liga Perdana Inggeris.

Brighton & Hove Albion

Brighton merupakan pasukan pertama yang menempah tiket ke Liga Perdana Inggeris musim depan setelah mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Wigan pada 17 April yang lalu. Namun, akibat terlalu gembira dibuai kejayaan layak ke Liga Perdana Inggeris mereka terpaksa berpuas hati di tangga kedua liga apabila disailang oleh Newcastle United pada saat-saat akhir.

Pemain Brighton & Hove Albion Meraikan Kejayaan Layak Ke EPL. Sumber Gambar (The Argus)

Kelab yang diberi gelaran The Seagulls atau Burung Camar Laut ini bakal membuat kemunculan pertama dalam Liga Perdana Inggeris selepas 34 tahun. Kelab ini sebenarnya pernah menjadi finalis Piala FA pada tahun 1983 namun tewas kepada kelab paling handal di dunia, Manchester United pada perlawanan ulangan setelah seri 2-2 dalam perlawanan pertama. Mereka tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris juga pada musim tersebut.

Setelah bertarung dalam liga kedua dan ketiga England, mereka akan kembali ke liga tertinggi musim depan. Mampukah burung camar ini terbang tinggi  atau sekadar di pinggiran musim depan. Sama-sama kita tunggu.

Huddersfield Town

Huddesfield merupakan pasukan terakhir layak ke Liga Perdana Inggeris setelah berjaya menewaskan pasukan kendalian Jaap Stam, Reading 4-3 melalui penentuan sepakan penalti dramatik ketika perlawanan play-off semalam. Kali terakhir mereka bermain di liga utama ialah pada tahun 1972.

Pemain Huddersfield Berpesta Semalam. Sumber Gambar (Liverpool Echo)

Menurut ketua jurulatih Huddersfield, David Wagner kejayaan ini ibarat sebuah kisah dongeng.

“Saya sangat gembira dan berbangga dengan para pemain, seluruh penduduk kota dan juga semua staf di kelab.”

Walaupun menamatkan cabaran liga di tempat kelima, pasukan Huddersfield berjaya menewaskan pasukan yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi di dalam liga iaitu Sheffield Wednesday dan Reading.

Kesimpulan

Mungkin ada peminat bola sepak yang baru sahaja mendengar nama dua kelab ini buat kali pertama tapi usah khuatir, tiada istilah terlambat dalam menyokong pasukan bola sepak. Penyokong di Malaysia boleh mula menubuhkan Kelab Penyokong Brighton & Hove Albion Malaysia dan juga Kelab Penyokong Huddersfield Town Malaysia. Mana tahu keajaiban Leicester City berulang lagi.

Baca Juga

Baca Juga