Manchester United berjaya menjuarai Piala EFL malam semalam dengan kemenangan 3-2 ke atas Souhampton di Wembley. Kejayaan tersebut membuat ramai peminat bola sepak Manchester United terkinja-kinja dan melompat-lompat keriangan walaupun riak wajah mereka kelihatan resah dan gelisah sepanjang perlawanan. Zlatan Ibrahimovic muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir permainan. Namun Manchester United sebenarnya masih belum boleh berbangga dengan kejayaan menjulang piala kecil dan entah apa-apa ini.
Taraf Piala EFL
Piala EFL pada asalnya dikenali dengan nama Football League Cup sebelum namanya bertukar-tukar mengikut nama penaja seperti Carling Cup dan Capitol One Cup. Dengar khabar untuk musim depan, namanya akan ditukar kepada Carabao Cup sempena nama sebuah syarikat minuman tenaga dari Thailand.
Kejohanan ini disertai oleh 92 kelab dari Liga Perdana, Liga Kejuaraan, Liga 1 dan Liga 2 dalam bola sepak Inggeris. Idea asal piala ini diwujudkan oleh Stanley Rous dengan tujuan sebagai piala saguhati kepada kelab yang telah tersingkir daripada Piala FA. Nampak? Idea asal pun untuk kelab-kelab yang dah kalah. Antara tujuan lain ialah supaya kelab-kelab liga bawahan yang lain dapat bersaing dan membuktikan kemampuan dengan kelab-kelab di Liga Perdana.
Selain itu, kebanyakan kelab-kelab besar hanya menggunakan kejohanan Piala EFL ini untuk menurunkan pemain-pemain simpanan dan juga memberi pendedahan awal kepada pemain-pemain muda. Sebab itu Chelsea, Spurs, Manchester City dan Arsenal hanya memberi laluan kepada kelab-kelab lain dalam kejohanan ini. Selain Manchester United, satu lagi kelab lemah yang beriya-iya dalam Piala EFL ialah pasukan Liverpool malangnya mereka ditewaskan oleh Souhampton di separuh akhir. Siapa lagi lemah? Manchester United ke Liverpool?
Kemarau Kejuaraan Liga Perdana Inggeris
Sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan Manchester United pada musim 2012/2013 selepas mengecapi kegemilangan selama 27 tahun, Manchester United masih lagi gagal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris walaupun telah menggunakan tiga khidmat pengurus berbeza selepas era Sir Alex iaitu David Moyes, Louis Van Gaal dan juga musim ini, Jose Mourinho. Mereka hanya boleh bersorak dengan kejayaan memenangi dua Piala Perisai Komuniti, satu Piala FA dan terbaru Piala EFL sepanjang 3 musim ini.
Dengan Chelsea sedang mendahului carta liga dengan perbezaan 15 mata dari pasukan tempat keenam, peminat-peminat Manchester United mungkin terpaksa menunggu musim hadapan untuk melihat United menjadi juara liga. Itupun kalau menang. Kalau tak menang tunggulah tahun-tahun lain macam Liverpool.
Bukan Lagi Ancaman Besar Di Eropah
Setelah menyepikan diri dari kejohanan Eropah selama satu musim dan hanya menonton televisyen di rumah, Manchester United telah membuat comeback dengan harapan dan impian yang menggunung pada musim 2015/2016. Malangnya, Manchester United telah tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah apabila sekadar menduduki tangga ketiga dalam kumpulan B di belakang Wolfsburg dan PSV Eindhoven dan terpaksa bersaing di Liga Europa. Namun perjuangan mereka di Liga Europa terkandas di Pusingan 16 pasukan apabila tewas kepada satu lagi kelab lemah, Liverpool.
Pada musim ini mereka sekali lagi hanya mampu bermain di Liga Europa berjaya layak ke Pusingan 16 Liga Europa dan akan menentang kelab Rusia, Rostov. Manchester United dilihat sebagai salah satu pilihan untuk muncul juara. Itupun kalau menang.
Memandangkan Manchester United masih lagi kekal di tangga ke-6 liga setakat ini, mereka perlu bekerja keras untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Cukuplah tiga point ini dulu. Tulis banyak-banyak ni siapa nak baca?
Glory-glory Man United.