3 Sebab Napoli Pasukan Paling Menarik Untuk Ditonton Ketika Ini

Dibawah kendalian Maurizio Sarri, Napoli telah berkembang untuk menjadi pasukan paling menarik untuk ditonton dalam dunia ketika ini. Tetapi apakah yang berlaku sehingga mereka mampu mencatatkan kemenangan bersih 8 perlawanan berturut-turut di Serie A ?

Dunia luar menganggap Bandar Naples sebagai kotor, tidak selamat dan kelam kabut. Boleh dikatakan Naples adalah bandar tipikal mafia yang selalu anda tonton dalam rancangan television.

Reputasi ini kekal terpalit sehingga berkurun lamanya sehingga bandar paling utama di selatan Itali ini dibiarkan berseorangan dan tidak disayangi kebanyakan rakyat Itali luar Naples.

Jadi tidak hairan warga tempatan Naples memanggil diri mereka sebagai ‘Neapolitans’ dan mengelakkan penggunaan ‘Italians’ untuk merujuk diri mereka.

Lagenda Napoli, Diego Maradona. Getty Images)

Walaubagaimanapun, semua anggapan negatif yang dilemparkan terhadap Bandar Naples sebenarnya tidak benar sama sekali. Bandar ini sebenarnya mempunyai warisan dunia yang indah dan mungkin juga pizza paling sedap di atas dunia.

Satu perkara yang paling disayangi dan dipelihara setiap ‘Neopolitans’ adalah pasukan bolasepak mereka. Pasukan yang mewakili Bandar Naples, S.S.C Napoli kini selesa mendahului Serie A selepas memenangi kesemua perlawanan mereka musim ini.

Jadi tidak hairanlah umum mengatakan Napoli adalah pasukan paling seronok untuk ditonoton ketika ini.

Mereka bakal bertandang ke England Selasa nanti untuk bertemu Manchester City dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara. Kedua-dua pasukan merupakan pendahulu liga masing-masing dan pastinya menjanjikan bolasepak yang enak untuk dilayan.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata beliau menggunakan cuti aksi antarabangsa lalu dengan mengkaji permainan Napoli dan mengatakan pasukan dari Itali ini adalah antara pasukan terbaik dunia ketika ini.

“Napoli adalah Naples dan Naples adalah Napoli.” Itulah azimat yang dipegang setiap ‘Neopolitans’ dan pemain Napoli.

Kata-kata ini juga menjadi pencetus semangat ketika legenda bolasepak dunia, Diego Maradona memimpin pasukan Napoli menjadi juara Serie A pada tahun 1987, salah satu dari dua kejuaraan liga yang pernah dimenangi mereka.

Jadi apakah punca utama mereka beraksi begitu cemerlang musim ini ? Artikel ini bakal menyenaraikan 3 perkara yang telah memberi kesan yang mendalam kepada pasukan bolasepak Napoli ketika ini.

Pasukan Lagi Penting Dari Individu

Di Bandar Naples, tiada pemain yang akan menggantikan figura Maradona. Walaupun Maradona dilanda pelbagai masalah seperti ketagihan arak dan dadah, beliau masih dianggap ‘Dewa’ kepada bandar ini.

Musim ini menyaksikan pasukan Napoli tidak bergantung kepada seseorang individu sahaja. Banyak faktor dalam dan luar padang yang menyumbang kepada kejayaan mereka. Mereka berjaya menjaringkan 26 gol dari 8 perlawanan setakat ini dengan purata 3.25 gol setiap perlawanan.

Walaupun pesaing utama mereka, Juventus telah berjaya memenangi Serie A enam musim berturut-turut sebelum ini, ramai peminat Napoli yakin tahun ini merupakan tahun dimana mereka memecahkan dominasi Juventus dalam Serie A.

Napoli pernah mengalami zaman kegalapan selepas memenagi pelbagai kejuaraan 3 dekad yang lalu. Pelbagai masalah melanda pasukan dari segi bolasepak dan kewangan. Napoii merudum sehingga turun ke divisyen 3 Itali dan kelab turut diisyhtiharkan sebagai muflis dan tidak boleh memakai nama Napoli selama dua tahun kesan daripadanya.

Pasukan yang bermain dalam satu unit. Imej : Shutterstock

Akhirnya, Napoli bangkit kembali di bawah penerbit filem terkenal, Aurelio De Laurentiis. Pada tahun 2006, De Laurentiis mengembalikan nama asal Napoli, iaitu dari Napoli Soccer kepada Societa Sportiva Calcio Napoli (S.S.C Napoli). Setahun kemudian, mereka kembali ke kancah Serie A.

Perlantikan Walter Mazzari merupakan titik penting kebangkitan Napoli dalam peringkat domestik dan Eropah. Rafa Benitez mengambil tempat Mazzari beberapa tahun kemudian dan mengekalkan status Napoli sebagai sebuah pasukan yang digeruni.

Sepanjang itu juga, mereka telah melahirkan beberapa penyerang ternam dunia seperti Edinson Cavani, Ezequiel Lavezzi dan Gonzalo Higuain. Walaubagaimanapun, Higuain mengambil keputusan untuk menyertai Juventus dan tindakan pemain Argentina ini dianggap pengkhianatan terbesar oleh peminat Napoli.

Menariknya, pemergian Higuain telah membuka ruang untuk pemain seperti Mertens dan Insigne untuk menyerlah. Tanpa Higuain, Napoli berjaya mencatatkan rekod jumlah jaringan gol semusim dalam sejarah penubuhan kelab.

Maurizio Sarri, Jelmaan Legenda Sacchi

Arrigo Sacchi merupakan jurulatih paling berjaya dalam sejarah bolasepak Itali dengan mendominasi saingan domestik dan Eropah ketika mengendalikan AC Milan lewat 80-an. Jurulatih Napoli sekarang, Maurizio Sarri dikatakan mempunyai karisma yang hampir serupa dengan Sacchi.

Pada usia 43 tahun, Sarri masih lagi seorang pegaiwai bank tetapi masih mengekalkan minat beliau dalam bolasepak dengan menjadi jurulatih kelab-kelab amatur.

Selepas bertahun-tahun melatih kelab kecil, bakat pengurusan beliau akhirnya dikesan Empoli dan beliau berjaya membimbing Empoli naik ke Seria A pada tahun 2014. Pada usia 55 tahun, impian beliau untuk menguruskan sebuah pasukan di Serie A akhirnya tercapai.

Arrigo Sacchi lagenda Italy.

Empoli bermain cemerlang di bawah kendalian Sarri. Akhirnya, presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mengambil keputusan untuk membawa masuk Sarri untuk menguruskan Napoli pada tahun 2015. Selepas pemergian Benitez, pengurusan Napoli tidak mahu mencari nama luar untuk mengisi kekosongan tersebut.

Sebaliknya mereka mencari anak jati Bandar Naples untuk menguruskan satu-satunya pasukan di bandar tersebut dan Sarri merupakan calon paling sempurna untuk menggantikan tempat Benitez. Satu lagi impian Sarri tercapai.

Nombor 9: Dries Mertens

Musim lepas menyaksikan Napoli mengharungi permulaan musim yang lembap. Mereka kalah 3 daripada 5 perlawanan. Apa yang terjadi selepas itu adalah anugerah buat Napoli.

Dengan penyerang mereka ketika itu, Manolo Gabbiadini bergelut untuk menjaringkan gol, Sarri akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan pemain yang hanya berketinggian 158 cm, Dries Mertens sebagai penyerang utama mereka.

Mertens dilihat sebagai seorang pemain ‘False 9’, yang mana tugas utamanya adalah mencipta dan membuka ruang untuk pemain seperti Jose Callejon, Marek Hamsik dan Lorenzo Insigne.

Masuk bulan Disember 2016, Mertens sudah biasa dengan posisi tersebut. Bulan tersebut juga menyaksikan Mertens menjaringkan 7 gol dari 2 perlawanan.

Mertens berbisa dan tajam seperti musim lalu. Getty Images)

Apabila musim lepas selesai, Mertens bukan lagi dikenali sebagai ‘false 9’. Beliau kini dikenali sebagai ‘The 9’. Mertens berjaya menjaringkan 25 gol dari 22 perlawanan terakhir liga, dan 34 gol dalam semua pertandingan.

Jika Napoli melambangkan Naples, maka Mertens melambangkan Napoli. Akhirnya Napoli melahirkan seorang lagi ikon dan pada satu ketika telah dibandingkan dengan pemain kesayangan Napoli, Diego Maradona.

Pasukan ini berani untuk mengambil risiko. Mereka akan memulakan serangan dari penjaga gol, dan bertukar-tukar hantaran dalam kawasan mereka sebelum melancarkan serangan. Mereka berani mengambil risiko dan sebab itulah pasukan ini menarik untuk disaksikan peminat neutral.

Napoli juga merupakan pasukan paling banyak menguasai bola dalam Serie A musim in dan apa yang menjadikan mereka bagus adalah bagaimana mereka menggunakan bola ketika berada di kaki pemain mereka.

Napoli hari ini tidak memiliki nama-nama besar bolasepak tetapi apa yang mereka miliki adalah satu identiti dan pemain mereka dilatih untuk menjadi lebih bagus.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga