Bola sepak merupakan sukan yang paling popular di dunia. Acara sukan yang disertai oleh 22 orang pemain yang masing-masing berusaha merebut sebiji bola untuk dimasukkan ke dalam gawang gol. Kegembiraan dan silih berganti dalam permainan bola sepak. Apakah pengajaran yang boleh kita perolehi dari permainan bola sepak dan apa kaitannya dalam kehidupan kita?
Berusaha Keras Untuk Kemenangan
Satu-satu perlawanan bola sepak berlangsung selama 90 minit dan boleh dilanjutkan sehingga 120 minit jika berlaku masa tambahan. Jika tiada pemenang, perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti. Itu sahaja masa yang perlu dimanfaatkan oleh pemain untuk bermain bersungguh-sungguh demi mencapat kemenangan. Kelalaian beberapa saat akan menyebabkan pasukan kita tewas. Begitulah kita diibaratkan di dunia yang sementara ini. Masa yang dipinjamkan oleh Tuhan untuk kita berusaha sehabis baik demi kemenangan abadi di sana nanti.
Kerjasama Berpasukan
Bekas pemain lagenda Belanda, Johan Cruyff pernah berkata “Jika anda memilih pemain terbaik untuk setiap posisi, anda akan dapat 11 pemain kuat. Bukan satu pasukan yang kuat”. Dalam kehidupan, kita tidak akan mampu untuk hidup seorang diri. Kita perlu bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain tak kira sama ada dalam organisasi, perniagaan, kejiranan dan sebagainya. Apabila sudah berada dalam satu pasukan pula, sifat ego dan tidak mahu menerima teguran juga tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Semangat Tidak Mudah Putus Asa
Tokoh Revolusi Cuba, Che Guevara juga pernah memberi pendapatnya tentang bola sepak. “Bola sepak bukan hanya satu permainan mudah, bola sepak adalah senjata revolusi”. Revolusi yang mungkin kita boleh terapkan ialah perubahan ke arah lebih baik dalam kehidupan. Perubahan yang memerlukan semangat yang tinggi dan sifat tidak putus asa sekiranya gagal. Ramai pemain bola sepak yang terkenal pada masa kini lahir dari keluarga yang miskin dan serba kekurangan. Malah ada dalam kalangan mereka merupakan keluarga pelarian dari negara-negara yang bergolak. Namun mereka tidak mudah berputus asa dan berusaha untuk merubah nasib diri dan keluarga.
Manusia Penuh Dengan Kekhilafan
Akhir sekali, bola sepak mengajar kita bahawa manusia adalah makhluk yang lemah dan tidak terlepas dari kekhilafan dan kecuaian. Contohnya kesilapan pengadil memberikan keputusan dalam satu-satu perlawanan, kekasaran yang menyebabkan pergaduhan, bertelagah sesama rakan pasukan dan sebagainya. Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Masing-masing ada kelemahan yang tersendiri.
Semoga kita mendapat ibrah daripada permainan bola sepak dan bukan sekadar menonton semata-mata. Majulah bola sepak untuk negara!