5 Bintang Yang Pernah Bermain Untuk Real Madrid dan Barcelona

21 Ogos 2016 menyaksikan permulaan liga terbaik di eropah, La Liga. Semestinya Real Madrid dan Barcelona segera menjengah ingatan apabila liga bola sepak tertinggi Sepanyol ini disebut.

Perseteruan kedua-dua kelab gergasi ini bukanlah bermula dari 2013, atau 2009 malah lebih lama dari itu. Pada tahun 1930-an, Barcelona menjelmakan diri sebagai satu kelab yang mencabar pasukan ibu kota Sepanyol, ditambah pula presiden kelab Barcelona ketika itu Josep Punyol telah ditangkap dan dihukum tanpa perbicaraan oleh kerajaan Sepanyol di bawah diktator pemerintahan tentera Francisco Franco kerana Josep merupakan pemimpin parti Republikan yang memperjuangkan demokrasi.

Keadaan politik Sepanyol bertambah parah apabila Franco yang memimpin bersama sahabatnya Miguel Primo di Rivera telah mengharamkan kesemua bahasa dan budaya setempat seperti di Catalan, Seville dan kesemua wilayah di Sepanyol dan mereka perlu menyerap dan mengamalkan budaya Madrid atau Castille.

Disebabkan itu juga Barcelona mula menggunakan moto Mes Que Un Club – Lebih Dari Sebuah Kelab – untuk menaikkan semangat rakyat Catalan menentang penjajahan Madrid.

Semangat melawan ini terus dibawa di dalam bola sepak dan kekal hingga ke hari ini sehinggakan jarang ada pemain yang akan berpindah di antara kedua-dua kelab sama ada secara terus atau melalui kelab lain.

Menurut rekod, hanya 33 pemain sepanjang zaman yang pernah bermain untuk kedua-dua kelab dan lima senarai pemain kelas dunia dalam bola sepak moden adalah seperti di bawah.

Michael Laudrup

Michael Laudrup | Gambar : livesoccertv.com
Michael Laudrup | Gambar : livesoccertv.com

Barcelona 1989-94, Real Madrid 1994-96

Bekas pengurus Swansea City ini ialah antara pemain bola sepak terbaik yang pernah Denmark lahirkan. Menyertai Barcelona dari Juventus, Laudrup cemerlang di bawah tunjuk ajar Johan Cruyff di Catalan. Bersama Barca, dia memenangi gelaran La Liga dari sebanyak empat kali berturut-turut sehingga 1994, sebelum menyertai Real Madrid selepas Piala Dunia USA.

Laudrup dikatakan bergaduh dengan Cruyff lalu menyertai musuh utama Barca namun dinafikannya. Di Madrid, Laudrup cemerlang membantu Real memenangi La Liga pada musim pertamanya, menjadikannya satu-satunya pemain yang memenangi La Liga lima kali berturut-turut. Lebih pedih buat penyokong Barca, Laudrup cemerlang membantu Real membelasah Barca 5-0 pada musim tersebut.

Ronald Luiz Nazario de Lima

Ronaldo |
Ronaldo | Gambar : livesoccertv.com

Barcelona 1996-1997, Real Madrid 2002-2007

Mungkin tak ramai yang mengenali nama di atas, melainkan kalau sebut Ronaldo gemuk. Ya, bintang Brazil berambut pelik pada Piala Dunia 2002. Ronaldo menyertai Barcelona pada usia 20 tahun dari PSV Eindhoven dan telah menjaringkan 47 gol dari 49 perlawanan dalam satu musim! Satu rekod yang hanya dipecahkan Luis Suarez pada musim lalu.

Jodoh bersama Barcelona hanya bertahan semusim dek konflik berkenaan kontrak baru Ronaldo memandangkan dia telah memenangi Ballon d’Or, lalu Internazionale membawanya dengan memecahkan rekod dunia perpindahan pemain dengan harga USD 27juta ke Itali. Pada tahun 2002, Ronaldo menyertai Real Madrid, sekali lagi dengan rekod dunia 45juta euro. Pasti ramai yang mengingati aksinya yang menjaringkan hatrik ketika tewas kepada Manchester United di Old Trafford dalam suku akhir UEFA Champions League pada tahun 2002.

Samuel Etoo

etoo-ambas
Samuel Etoo | Gambar : livesoccertv.com

Real Madrid 1997-2000, Barcelona 2004-2009

Etoo menyertai Real Madrid ketika berusia 15 tahun dan hanya bermain sekali untuk gergasi Madrid itu sebelum dipinjamkan ke Mallorca pada tahun 2000. Pada tahun yang sama juga Mallorca telah membelinya secara tetap dan ketika bertemu Real Madrid, Etoo dengan mudah memporak perandakan benteng pertahanan Real Madrid membuatkan para penyokong mahukannya kembali namun ditolak Etoo.

Pada tahun 2004, Etoo menyarung jersi Barcelona dan menjadi pemain kesayangan peminat. Bersama Barca, Etoo telah memenangi La Liga beberapa kali dan juga UCL sebanyak dua kali, pada 2007 dan 2009, kedua-duanya menewaskan Manchester United.

Luis Enrique

luiz enrique
Luis Enrique | Gambar : livesoccertv.com

Real Madrid 1991-1996, Barcelona 1996-2004

Jurulatih Barcelona ketika ini pernah mencetuskan kontroversi besar kerana berpindah dari Real Madrid ke Barcelona secara terus. Dibeli Real Madrid dari Sporting Gijon, Enrique menjaringkan satu gol ketika membantu Real membelasah Barcelona pada 1994-95. Berikutan rundingan kontrak yang gagal, Enrique menyertai Barcelona secara percuma dan ketika itu, kemarahan penyokong Barca masih meruap-ruap, sebagaimana rakyat Malaysia memarahi akhbar Kosmo! yang memperlekeh usaha Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying memenangi pingat perak.

Untuk mengambil hati penyokong Barca, Enrique menyatakan bahawa ‘dia tidak dihargai oleh penyokong Real Madrid dan tidak mempunyai kenangan indah di sana.’

Enrique bermain untuk Barca selama 8 tahun dan turut menjadi kapten kelab itu sebelum Carles Puyol. Enrique telah menjaringkan beberapa gol menentang Real Madrid, dan sambutannya? Dia mencium logo Barca di hadapan penyokong Real. Ambik kau.

Luis Figo

figo
Luis Figo | Gambar : livesoccertv.com

Barcelona 1995-2000, Real Madrid 2000-2005

Luis Figo dibeli dari kelab Portugal, Sporting Lisbon , Figo muncul sebagai pemain yang disayangi di Barcelona lebih dari Pep Guardiola ketika itu. Pada musim 1996-97, Figo membentuk gandingan mantap bersama Ronaldo, bakal rakan sepasukan di Real Madrid, Rivaldo dan Patrick Kluivert sehinggakan mereka memenangi gelaran La Liga dan UEFA Cup Winner’s Cup.

Pada tahun 2000, Figo mengejutkan dunia bola sepak apabila diumumkan menyertai Real Madrid dengan nilai 62juta euro. Prestasinya yang cemerlang di Barca menyebabkannya cukup dibenci di kalangan penyokong Madrid sehinggakan tiada sehelai pun jersinya terjual pada hari pertama jualan dibuka, berbeza sekali dengan Ronaldo.

Di Real Madrid, ketika pertama kali beraksi menentang Barca di Nou Camp, penyokong telah melontar kepala babi terhadapnya ketika dia mengambil satu sepakan penjuru. Walaubagaimanapun itu tidak mematahkan semangatnya yang terus cemerlang menuju kejayaan bersama Real memenangi La Liga, Copa Del Rey dan UEFA Champions League.

Baca Juga : Fakta Menarik dan Hambar Tentang El-Classico

Pemain lain yang pernah bermain untuk kedua-dua pasukan

Javier Saviola

Bernd Shcuster

Georghe Hagi

Robert Prosinecki

Dani Garcia

Baca Juga

Baca Juga