Manchester City mengalami satu lagi episod mengecewakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 0-1 kepada Nottingham Forest. Kekalahan itu bukan sahaja menggugat peluang mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan tetapi juga mendedahkan pelbagai kelemahan dalam pasukan kendalian Pep Guardiola.
City sepatutnya mampu melonjak ke tempat ke-3 jika menang di City Ground, namun mereka kini berada 4 mata di belakang Forest dengan hanya 10 perlawanan berbaki. Malah Chelsea, Newcastle dan Bournemouth juga berpotensi memintas mereka. Walaupun masih ada harapan untuk bangkit, masalah yang terserlah dalam perlawanan itu tidak boleh dipandang remeh.
Berikut adalah 5 kelemahan City dalam perlawanan tersebut.
1. Masalah Di Posisi Penjaga Gol
Ederson, yang sebelum ini dianggap sebagai tonggak utama kejayaan City, kini menunjukkan prestasi tidak menentu. Pemain antarabangsa Brazil itu sudah beberapa kali melakukan kesilapan yang membawa padah.
Bekas penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel pernah menekankan betapa pentingnya Ederson dalam sistem permainan City kerana kemampuannya membaca permainan dan menghalang ancaman serangan balas. Namun, pada musim ini dia kerap kelihatan kurang yakin termasuk dalam perlawanan menentang Forest apabila dia gagal menangani rembatan Callum Hudson-Odoi di near post.
Lebih membimbangkan, penjaga gol kedua, Stefan Ortega yang sebelum ini dianggap sebagai pengganti berkualiti turut mengalami kemerosotan prestasi terutama ketika kalah 1-5 kepada Arsenal bulan lepas.
2. Kelemahan Di Posisi Bek Kanan
Keputusan City untuk melepaskan Kyle Walker ke AC Milan pada Januari lalu dilihat sebagai satu langkah yang betul tetapi ketiadaan pemain berpengalaman itu kini memberi kesan negatif.
Matheus Nunes yang dipaksa bermain di posisi bek kanan jelas tidak cukup bagus dalam peranan tersebut. Rico Lewis pula masih belum cukup matang untuk mengisi kekosongan itu secara konsisten. Lebih teruk lagi, kecederaan jangka panjang yang melanda beberapa pemain bek tengah menyebabkan Guardiola sukar mencari alternatif lain untuk menampung kelemahan di bahagian kanan pertahanan.
Keadaan itu membuatkan pasukan lawan lebih mudah mengeksploitasi bahagian tersebut, seperti yang dilakukan oleh Forest dalam perlawanan terbaru mereka.
3. Isu Di Posisi Pemain Tengah Bertahan
Ketiadaan Rodri dalam beberapa perlawanan musim ini telah mendedahkan betapa pentingnya pemain itu dalam sistem Guardiola. Walaupun City telah menandatangani Nico Gonzalez sebagai pengganti, pemain muda Sepanyol itu masih belum cukup konsisten.
Gonzalez digelar sebagai “Mini-Rodri” oleh Guardiola selepas aksi cemerlangnya menentang Newcastle bulan lalu, tetapi sejak itu, prestasinya menurun. Dalam perlawanan menentang Forest, dia terpaksa dikeluarkan selepas menerima kad kuning. Mateo Kovacic yang menggantikannya pula sering membuka ruang yang boleh dieksploitasi lawan, menjadikan bahagian tengah City lebih rapuh.
Kelemahan itu memberi impak besar kerana City bergantung kepada kawalan tengah yang kukuh untuk mengawal permainan dan menekan lawan.
4. Kekurangan Kreativiti Di Bahagian Tengah
Kejatuhan prestasi Kevin De Bruyne menjadi satu lagi punca kebimbangan buat City. Bintang Belgium itu sudah tidak lagi menjadi penggerak utama pasukan seperti dahulu. Ia menyebabkan Guardiola terpaksa mencari penyelesaian baru.
Phil Foden sepatutnya menjadi pengganti semula jadi untuk peranan itu tetapi dia juga sedang berdepan kemerosotan prestasi. Bernardo Silva yang sepatutnya menjadi sumber kreativiti lain juga gagal memberikan impak dalam beberapa perlawanan terakhir.
Pemain baharu, Omar Marmoush menunjukkan potensi besar apabila menjaringkan hatrik menentang Newcastle, tetapi secara keseluruhan dia masih belum cukup konsisten. Tanpa sumber kreativiti yang stabil, serangan City semakin tumpul dan mudah dikawal oleh pasukan lawan.
5. Masalah Di Posisi Pemain Sayap
Salah satu isu terbesar City musim ini adalah ketidakstabilan pemain sayap mereka. Dengan Jack Grealish masih belum cergas sepenuhnya, tanggungjawab di bahagian sayap jatuh kepada Jeremy Doku dan Savinho.
Kedua-dua pemain ini mempunyai keupayaan menggelecek yang luar biasa tetapi masalahnya ialah mereka jarang membuat keputusan yang betul di kawasan bahaya. Ini terbukti dalam perlawanan menentang Liverpool, di mana Doku berjaya melepasi pertahanan lawan sebanyak 15 kali, tetapi tidak menghasilkan sebarang ancaman sebenar ke gawang.
Keadaan ini juga menyukarkan Erling Haaland sebagai penyerang utama kerana dia tidak mendapat hantaran berkualiti dari bahagian sayap. Akibatnya, City sering gagal memanfaatkan peluang yang ada walaupun mereka mendominasi penguasaan bola.
Kesimpulan: Di Mana Arah Tuju Manchester City?
Walaupun situasi City kelihatan membimbangkan, mereka masih berada dalam kedudukan yang baik untuk menamatkan saingan di kelompok 4 atau 5 teratas dan layak ke Liga Juara-Juara.
Perubahan taktikal dan peningkatan prestasi individu sangat diperlukan jika mereka mahu kembali menjadi pasukan yang digeruni. Pemain baharu seperti Abdukodir Khusanov telah memberi impak positif di bahagian pertahanan tetapi masalah di posisi penjaga gol, bek kanan, pemain tengah bertahan, kreativiti tengah dan pemain sayap masih perlu diselesaikan.
Manchester City tidak perlu menjadi sempurna untuk layak ke Liga Juara-Juara, tetapi jika mereka tidak segera memperbaiki kelemahan ini, kedudukan mereka dalam liga mungkin semakin tergugat.