5 Pemain Bintang Yang Perlu Dibeli Oleh Liverpool Untuk Menjuarai Liga Perdana Inggeris

Kali terakhir Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris ialah pada musim 1989/1990 iaitu kira-kira 27 tahun yang lalu. Ketika itu, Liverpool dibimbing oleh Kenny Dalglish. Sejak kemenangan yang menjadi sejarah yang sering dibangga-banggakan sehingga kini itu, pasukan Liverpool telah menggunakan khidmat lapan orang pengurus iaitu Graeme Souness, Roy Evans, Gerard Houllier, Rafael Benitez, Roy Hogson, Kenny Dalglish sekali lagi, Brendan Rodgers dan yang terkini Jurgen Klopp. Malangnya, Liverpool cuma berjaya hampir menjadi juara dalam beberapa musim sebelum ini sebelum dipintas di selekoh terakhir.

Setelah tiga tahun Liverpool tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool bakal membuat kemunculan semula musim depan namun mereka perlu melepasi pusingan kelayakan terlebih dahulu. Berikut merupakan pemain-pemain yang mungkin perlu dibeli oleh Liverpool untuk musim depan supaya ayat keramat “This Is Our Year” menjadi realiti dan bukannya fantasi.

Jan Oblak

Gambar: YouTube

Penjaga gol antarabangsa Slovenia ini merupakan tulang belakang barisan pertahanan Atletico Madrid musim ini. Persembahan kurang konsisten kedua-dua penjaga gol Liverpool iaitu Loris Karius dan Simon Mignolet pada musim ini menyebabkan mereka sering menjadi mangsa kritikan di media sosial oleh penyokong-penyokong Liverpool yang dahagakan kejayaan. Dengan usia yang baru mencecah 24 tahun, kehadiran Oblak ke Liverpool mungkin dapat membantu pasukan Liverpool mengukuhkan benteng terakhir mereka untuk tahun-tahun akan datang.

Alex Sandro

Ketiadaan pertahanan kiri yang boleh diharap di kem Liverpool menyaksikan James Milner terpaksa menjadi pilihan utama Klopp di posisi tersebut sepanjang musim lepas. Dengan persembahan Alberto Moreno yang kurang meyakinkan, Liverpool perlu mencari seorang pertahanan kiri pada musim depan. Calon yang paling sesuai untuk mengisi kekosongan hati Liverpool ini ialah pemain Juventus, Alex Sandro yang menunjukkan prestasi yang konsisten musim ini dan berjaya membantu Juventus dalam Serie A dan Liga Juara-Juara Eropah.

James Rodriguez

Gambar: Pinterest

Bintang Colombia yang bergemerlapan pada Piala Dunia 2014 satu ketika dahulu kini hanya tinggal kenangan apabila bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid. James Rodriguez telah meluahkan rasa kecewa dan bercadang untuk berhijrah ke pasukan lain pada musim depan. Jika Liverpool berjaya layak untuk Liga Juara-Juara Eropah musim depan, pembelian Rodriguez untuk bergandingan dengan Coutinho dan Henderson di bahagian tengah bakal membantu jentera serangan Liverpool.

Marquinhos

Gambar: SportLobster

Pemain pertahanan muda Paris Saint Germain ini menjadi calon paling berpotensi untuk mengukuhkan barisan pertahanan tengah Liverpool dengan kebolehan bertahan, kelajuan dan work rate yang tinggi. Persembahan Dejan Lovren dan Ragnar Klavan masih lagi jauh dari standard Liverpool sebagai pasukan calon juara Liga Perdana Inggeris. Mereka sering membuat kesilapan-kesilapan mudah dan membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol. Gandingan Marquinhos dan Joel Matip mungkin boleh menjadi satu gandingan yang terkuat umpama gandigan Sami Hypia dan Stephane Henchoz.

Alvaro Morata

Gambar: Goal.Com

Penyerang muda Sepanyol ini lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan Real Madrid di belakang Karim Benzema walaupun dia lebih banyak menjaringkan gol berbanding Benzema. Selepas pemergian Luis Suarez, Liverpool sukar untuk mendapatkan penyerang prolifik sepertinya walaupun mempunyai hobi pelik seperti menggigit pemain lawan dan suka menerbangkan badan. Pemain berbakat seperti Morata perlu diberi peluang bermain lebih-lebih lagi untuk kelab yang mempunyai cita-cita untuk menjadi juara seperti Liverpool.

Sumber dan olahan artikel: Sportskeeda

Nota Penulis

Sebagai peminat setia Liverpool, kau orang nak Liverpool beli siapa pula untuk musim depan? Kongsikan kepada kami untuk kami khabarkan kepada pihak pengurusan Liverpool.

Baca Juga

Baca Juga