5 Pemain Kelas Dunia Yang Gagal Bersinar di Bawah Pep Guardiola

Setiap peminat bola sepak pasti kenal akan Joseph Guardiola atau nama manjanya Pep, seorang jejaka Sepanyol berkepala botak bersinar dan mempunyai rekod yang cukup cemerlang sebagai seorang pengurus bola sepak.

Setakat ini Pep telah memenangi lebih 30 trofi bersama tiga kelab – Barcelona, Bayern Munich dan juga Manchester City. Antara trofi yang pernah dimenanginya sebagai seorang pengurus adalah La Liga, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan juga Kejuaraan Kelab Dunia.

Terkenal dengan gaya permaian tiki-taka, Guardiola dilihat berjaya meningkatkan prestasi pemain yang bermain di bawah tunjuk ajarnya. Pun begitu, dalam ramai-ramai pemain, pasti ada yang boleh dipanggil sebagai kambing hitam dalam skuadnya.

Berikut adalah 5 pemain bintang yang gagal bersinar di bawah Pep.

Joe Hart

Lagenda Manchester City, Joe Hart adalah watak penting dalam pasuknnya ketika berjaya memenangi gelaran Liga Perdana buat pertama kali pada musim 2011/12, di mana ia merupakan kejuaraan pertama City sejak tahun 1968.

Rekod Hart yang berjaya melindungi gol daripada dibolosi sebanyak 17 kali telah membolehkannya memenangi anugerah Sarung Tangan Emas. Hart telah berjaya membantu pasukannya memenangi satu lagi gelaran liga sekali lagi sebelum kedatangan Pep Guardiola ke Manchester.

Selepas melakukan 347 penampilan bersama skuad yang pasukan yang diwakilinya sejak berusia 19 tahun itu, Hart sekadar mampu bermain sekali sahaja di bawah Guardiola. Bekas penjaga gol kebangsaan England itu serta merta menjadi penghuni bangku simpanan selepas Pep membawa masuk penjaga gol dari Barcelona, Claudio Bravo, yang lebih berfungsi sebagai ‘keeper-sweeper’.

Malah dalam jendela perpindahan pertama Pep sebagai pengurus City, dia telah melakukan pembelian besar-besaran dengan pemain era Pellegrini telah dilelong keluar.

Joe Hart telah Pep hantar ke Torino dengan kontrak pinjaman, diikuti dengan perpindahan ke West Ham, sebelum dijual sepenuhnya kepada Burnley, selepas lebih sedekad menabur bakti untuk The Citizens.

Keadaan ini membuatkan keyakinan Hart goyang lantas hilang tempatnya di dalam skuad kebangsaan England.

Benjamin Mendy

Kedatangan Pep ke Ettihad diiringi dengan perbelanjaan sebanyak GBP 300 juta untuk pertahanan sahaja.

Benjamin Mendy adalah salah seorang daripada pertahanan sisi yang dibeli pada jendela perpindahan 2017, tetapi nasib tidak baik buat pemain Perancis itu di mana dia kerap cedera dan hanya melakukan sebanyak 23 penampilan dalam 2 musim pertamanya di Ettihad.

Keadaan bertambah buruk selepas dia mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament dan pembedahan telah meghalangnya daripada beraksi dalam sebahagian besar saingan dalam tempoh tersebut.

Selepas kembali daripada kecederaan,, Mendy sekadar melakukan 30 penampilan pada musim 2019-20 tapi masih gagal untuk menambat hati Pep untuk kekal dalam barisan kesebelasan utama pasukan, dan hilang tempatnya kepada Oleksandr Zinchenko.

Yaya Toure

Yaya Toure adalah satu nama besar dalam arena bola sepak di mana pemain Ivory Coast ini cukup sinonim sebagai seorang pemain tengah yang berbahaya. Sebagai rekod, Toure telah menjaringkan 79 gol dan melakukan 50 bantuan gol sepanjang 316 perlawanan liganya bersama City.

Walaubagaimanapun, Toure sebenarnya tidak mempunyai kenangan atau pun rekod yang baik sepanjang bermain di bawah Pep, sepanjang kariernya bersama City mahupun Barcelona.

Pelantikan Pep sebagai pengurus Barcelona pada tahun 2008 telah membawa kepada era cemerlang kelab yang digelar Blaugrana, tetapi bagi Toure, itu bukanlah satu rahmat buatnya.

Selepas kedatangannya ke Nou Camp pada tahun 2007, pemenang anugerah Pemain Terbaik Afrika sebanyak empat kali itu hanya mampu bertahan selama dua musim sahaja di bawah Pep sebelum diganti sepenuhnya oleh pemain tengah yang lebih muda, Sergio Busquets.

Selepas itu, Toure telah mengangkat kaki dan berpindah ke Ettihad di mana dia telah meletakkan dirinya sebagai lagenda kelab atau Hall of Fame, selepas beraksi cemerlang membawa pulang dua Liga Perdana ke City dalam tempoh tiga tahun.

Pun begitu, apabila Pep tiba di Manchester, skrip Toure di Barcelona kembali berulang dan dia jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Bagai menambah asam limau ke luka,  ejen Toure, Dimitri Seluk telah bergaduh dengan Pep secara umum sekaligus membawa kepada pemecatan Toure daripada skuad City.

Walaubagaimanapun, keadaan kembali reda selepas Toure meminta maaf kepada Pep, mewakili ejennya dan dia terus kembali ke pasukan utama pasukan. Tapi tu lah, luka yang berdarah telah membuatkan Pep bagaikan tiada hati untuk menurunkn Toure dan adik kepada Kolo tersebut sekadar bermain sebanyak 48 perlawanan dalam tempoh 2 musim, sekaligus membawa kepada pengakhiran kisah cinta 8 tahun Toure dan City.

Mario Gotze

Pada tahun 2014, Mario Gotze menjadi tumpuan dunia selepas dia menjaringkan gol kemenangan Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2014, menewaskan Argentina.

Gotze juga adalah watak penting dalam pasukan Borussia Dortmund yang pada satu ketika mampu menumbangkan Bayern Munich daripada menguasai bola sepak domestik Jerman, bersama-sama dengan Robert Lewandowski dan Marco Reus.

Selepas kejayaan di Signal Iduna Park, Gotze telah menyertai kem Pep Guardiola di Bayern.

Pada mulanya dia memulakan kariernya di Bayern dengan cukup cemerlang dengan 10 gol dan 9 bantuan gol dalam 27 perlawanan Bundesliga pada musim pertamanya di negeri Bavaria.

Sekalipun sering dilanda kecederaan, Gotze masih mampu merekodkan 36 gol dan 24 bantuan gol dalam 114 perlawanan buat jaguh Jerman tersebut dalam tempoh 3 musim.

Berbanding dengan di Barcelona di mana Pep lebih banyak menggunakan sistem false nine dengan Leo Messi mengisi posisi tersebut, Robert Lewandowski menjadi pilihannya di Bayern dan beroperasi sebagai penyerang tradisional, sekaligus mengenepikan Gotze daripada kesebelasan utama.

Kini pemain yang baru berusia 28 itu bermain untuk PSV Eindhoven dan dilihat seakan sudah menemukan rentak cemerlangnya semula dia telah menjaringkan 6 gol adn melakukan 7 bantuan gol dalam 25 perlawanan untuk kelab Belanda tersebut.

Zlatan Ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic adalah antara satu nama yang gah dalam era bola sepak moden ini dan dia telah memenangi sebanyak 32 kejuaraan bersama kelab-kelab terkemuka di Eropah.

Zlatan telah berpindah ke Nou Camp selepas tiga  tahun yang cemerlang bersama kelab Itali, Inter Milan. Bersama Barcelona, Zlatan memulakan kariernya dengan agak cemerlang dengan 7 jaringan gol dalam 7 penampilan.

Jika Gotze tersingkir daripada kesebelasan utama kerana Pep mahu menggunakan penyerang tradisional, Zlatan pula tersingkir kerana Pep mahu menggunakan pemain berusia 22 tahun ketika itu, Leo Messi untuk beraksi sebagai penyerang tengah dan menolak Zlatan ke posisi penyerang sisi.

Walaupun bermain di posisi yang dia tidak biasa, Zlatan masih mampu menjaringkan 16 gol dan melakukan 7 bantuan gol dalam 29 perlawanan pada musim 2019-20 La Liga.

Akan tetapi, dek rasa tidak puas hati, hubungan Zlatan dan Pep akhirnya menjadi semakin sendu dan dia telah berpindah ke Itali semula pada musim berikutnya.

Sumber : Sportskeeda

Baca Juga

Baca Juga