5 Pemain Manchester United Yang Berkemungkinan Besar Sertai Mourinho di Roma

Pengurus bola sepak yang penuh warna warni, Jose Mourinho, seperti yang diketahui ramai sudah menandatangani kontrak bersama pasukan baru, AS Roma. Bila mana satu-satu pasukan tu memilih Jose, atau lebih suka dipanggil sebagai Papa Mou oleh penyokong pasukan Manchester United, pastinya sasaran pasukan tersebut adalah piala dan kejuaraan.

Ini terbukti kerana setiap pasukan yang dikendalikan Jose pasti akan menjulang sekurang-kurangnya dua piala – kecuali Tottenham Hotspur. Entah apa la tangkal yang diorang pakai sampai susah nak menang.

Pada musim ini, AS Roma dikendalikan oleh Paulo Fonseca dan mereka sekadar menduduki tangga ketujuh liga dan pastinya Mourinho berhadapan dengan tugas besar untuk kembali meletakkan Roma sebagai satu pencabar dalam kancah bola sepak Itali dan Eropah.

Jadi, untuk mencapai sasarannya, Jose pasti perlu membeli pemain baharu dan dia dikatakan sedang berkira-kira untuk menyerbu bekas kelabnya, Manchester United dan dikaitkan dengan 5 orang pemain.

Kalau nak ikutkan, Serie A sememangnya sudah menjadi tempat berkumpulnya alumni United dan mereka mampu beraksi cemerlang pula tu.

Alumni United adalah seperti di bawah :

Inter Milan – Romelu Lukaku, Ashley Young, Alexis Sanchez, Matteo Darmian

AC Milan – Diogo Dalot

AS Roma – Henrikh Mkhitaryan, Chris Smalling

Nemanja Matic

Nemanja Matic, 32 tahun, boleh dikatakan sebagai anak ikan Mourinho kerana pengurus ini telah membelinya sebanyak dua kali – di Chelsea dan United.

Pemain tengah ini sangat sesuai untuk bermain di Serie A kerana rentak permainan di liga tersebut lebih perlahan. Tambahan pula, Matic adalah seorang pemain yang genius dan tenang mengawal bola dan melindung barisan pertahanan.

Matic dijangka dijual pada harga 10 juta Euro dan harga in dilihat agak menguntungkan United dan duit tersebut boleh ditambah untuk membeli pemain tengah bertahan yang lebih muda.

Phil Jones

Ya, Phil Jones masih lagi merupakan staff Manchester United meskipun sudah lama tidak dilihat beraksi di atas padang. Jika Jose membeli pemain ini, kita bakal menyaksikan semula gandingan lagenda bersama Smalling, gandingan pertahanan yang pernah mengangkat United ke persada liga.

Kalau Smalling mampu muncul sebagai bintang pertahanan di Itali, Jones juga pasti dapat melakukan perkara yang sama, kan?

Lagi pula Jones mungkin memang berada dalam senarai pemain yang akan dilepaskan oleh United.

David De Gea

Penjaga gol pasukan kebangsaan Sepanyol ini pernah menjadi penjaga gol terbaik dunia dan telah menjadi pemain terbaik United selama beberapa musim lepas.

Akan tetapi musim ini, dia dilihat kehilangan tempatnya sebagai penjaga gol nombor satu pasukan Syaitan Merah kepada pemain hasil produk akademi mereka, Dean Henderson.

Bersama United, De Gea merupakan antara penerima gaji yang tertinggi dan tidak pasti sama ada Roma sanggup berbelanja besar untuk gaji seorang pemain.

Tapi kalau dah ambil Jose, pasti kelab tu sedia untuk belanja besar, kan?

Ye lah, kalau nak berjaya mana boleh kedekut.

Jesse Lingard

Jesse Lingard mencuri tumpuan dunia bermula bulan Januari tempoh hari selepas menyertai West Ham dan tampil sangat cemerlang, sekaligus menjadikan dunia bagai berhenti berputar.

Tidak seperti di United di mana dia sering dibekukan daripada beraksi, Lingard dilihat garang di depan gol dan mencipta peluang kepada rakan sepasukan untuk menjaring juga di kelab London tersebut.

Walaupun cemerlang, Ole dijangka tidak akan mengekalkan Lingard dalam barisan pasukannya dan pemain akademi United ini mungkin boleh mula melebarkan sayapnya ke luar England dan sertai semula bekas pengurusnya di Roma.

Juan Mata

Ahli sihir kecil ini adalah seorang pemain yang kreatif dan mampu mencipta bahaya kepada pihak lawan. Berusia 33 tahun, Mata tidak lagi mendapat tempat di dalam kesebelasan utama United, ditambah pula dengan kehadiran pemain yang lebih gah di posisinya – Bruno Fernandes.

Lagipun, kontrak Mata bersama United bakal tamat pada musim panas ini dan daripada situasi semasa, boleh dikatakan mustahil untuk United tawarkan kontrak baru.

Dahtu nak ke mana si Mata tu? Ke Roma lah!

Rentak perlahan Serie A juga pasti sesuai buat Mata kerana dia pun tak berapa nak laju.

Andai kata kelima-lima perpindahan ini menjadi realiti, lompong juga pasukan Manchester United, kan?

Baca Juga

Baca Juga