5 Pemain Yang Anda Tidak Sangka Berasal Dari Manchester City

Pemilik Manchester City, Sheikh Mansour telah membelanjakan berbillion pound sterling untuk membina sebuah pasukan bertaraf dunia di Manchester City sejak mengambil alih kelab tersebut pada tahun 2008 dari pegangan Thaksin Shinawatra.

Pelbagai pemain ternama telah dibawa masuk semata-mata untuk mengejar kejayaan segera dan hasilnya mereka telah berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris dua kali semenjak mendapat suntikan ‘Duit Arab’

Selain pembelian pemain, pemilik Manchester City juga membangunkan sebuah kompleks sukan yang dinamakan Etihad Campus di sekitar Stadium Etihad. Kompleks ini dibina bagi membantu usaha mereka menjadi sebuah kelab gergasi Eropah dan dunia pada masa yang akan datang.

Etihad Campus mempunyai akademi bolasepak berkelas dunia untuk melatih bakat-bakat muda tempatan selain menarik pemain remaja terbaik dari seluruh dunia untuk digilap bakat mereka di Manchester City.

Sheikh Mansour pemilik City. Gambar – Manchester Evening News

Seperti kebanyakan kelab besar Eropah, terdapat pemain muda yang terpaksa berpindah keluar dari kelab untuk mengembangkan karier mereka. Ada yang terus tenggelam dan ada juga yang menggegar dunia seperti yang kita lihat berlaku di Manchester United dalam kes Paul Pogba.

Bakat Pogba sebenarnya sudah disedari oleh kebanyakan pemain senior tetapi keengganan Sir Alex Ferguson untuk memberi peluang kepada beliau memaksanya keluar mencari angin baru di Juventus.

Penghijrahan Pogba ke Serie A membuahkan hasil dan seperti semua sedia maklum, Manchester United terpaksa membayar nilai yang tinggi untuk membawa kembali bekas pemain akademi mereka ke Old Trafford.

Tetapi itu kisah jiran dan musuh ketat mereka. Artikel ini pula bakal mengupas beberapa produk akademi yang dilepaskan Manchester City dan telah mencipta nama bersama kelab luar.

1. Daniel Sturridge (Penganggur)

Kelab selepas City: Chelsea, Bolton (Pinjaman), Liverpool, West Bromwich Albion (Pinjaman), Trabzonspor.
Penampilan: 239 (99 gol)

Juara Liga Perdana Inggeris pada tahun pertama beliau bersama Chelsea di bawah kendalian Carlo Ancelotti. Musim terbaik Sturridge bersama Chelsea hadir pada musim 2011/2012 dimana beliau membuat sebanyak 43 penampilan dan menjaringkan 13 gol. Tahun tersebut juga beliau berjaya membantu Chelsea memenangi Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.

Gambar – Getty

Sturridge menyertai Liverpool pada Januari 2013 dan hampir membantu Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama pada musim berikutnya. Gandingan beliau dan Luis Suarez merupakan nadi utama ketika itu tetapi prestasi Liverpool yang menurun pada penghujung musim mengakibatkan mereka kehilangan kejuaraan kepada Manchester City pada saat akhir.

Kini dibawah kendalian Jurgen Klopp, Sturridge dilihat masih bergelut dengan masalah kecederaan yang berulang dan kurang cergas. Masa depannya dilihat tidak menentu dengan Klopp lebih gemar memilih Roberto Firmino memimpin barisan hadapan mereka.

Daniel Sturridge telah dipinjamkan ke West Bromwich Albion sebelum ke Trabzonspor namun selepas 6 perlawanan dan 7 gol Sturridge telah ditamatkan kontrak dan digantung 7 bulan kerana kantoi berjudi.

2. Kasper Schmeichel (Leicester City)

Kelab selepas City: Notts County, Leeds United, Leicester City
Penampilan: 352

Anak kepada legenda Manchester United, Peter Schmeichel, beliau dicanang bakal menjadi penjaga gol utama Manchester City untuk masa hadapan. Walaubagaimanapun, kemunculan Joe Hart yang dibeli dari Shrewsbury Town membantut peluang beliau untuk beraksi dalam pasukan utama.

Gambar – EPA

Schmeichel dihantar berkelana secara pinjaman kepada beberapa buah kelab sebelum menyertai Notts County pada tahun 2009 secara tetap. Beliau membina kembali kariernya disana dan selepas membantu pasukannya meraih promosi, beliau menyertai Leeds United.

Selepas Leeds, Leicester City akhirnya menyambar khidmat beliau pada tahun 2011. Beliau terus konsisten bersama The Foxes dan berjaya meraih promosi ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2014.

Pada musim 2015/2016, Leicester City melakukan satu keajaiban yang luar biasa pada era moden dengan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Schmeichel merupakan tonggak utama skuad Leicester dan beraksi cemerlang dalam musim tersebut.

3. Denis Suarez (Celta Vigo)

Kelab selepas City: Barcelona (B), Sevilla (Loan), Villareal, Barcelona, Celta Vigo
Penampilan: 171 (23 gol)

Ditandatangani Manchester City pada 2011 dari Celta Vigo, Denis Suarez mungkin pemain yang sesuai dengan taktikal Pep Guardiola jika beliau masih bersama The Citizens. Suarez bermain bersama City selama 2 tahun dan hanya sempat membuat 2 penampilan.

Gambar – Getty Images

Beliau kembali ke Sepanyol untuk menyertai Barcelona B sebelum dihantar ke Sevilla secara pinjaman. Suarez betul-betul menyerlah ketika bermain bersama Villareal. Mujur Barcelona meletakkan klausa pembelian balik apabila menjual pemain ini kepada Villareal.

Suarez dibeli kembali Barcelona pada awal musim lepas dan kerap digunakan dari bangku simpanan apabila diperlukan. Suarez lebih kerap bermain ketika di bawah pengurus baru, Ernesto Valverde.

Namun langit tidak selalu cerah Vlaverde dipecat dan Suarez dipinjamkan ke Arsenal sebelum menyertai Celta Vigo pada 2019 dan kekal hingga kini.

4. Adrien Rabiot (Juventus)

Kelab selepas City: Paris Saint Germain, Toulouse (pinjaman), Juventus
Penampilan: 178 (20 gol)

Sama seperti Denis Suarez, Manchester City mungkin menyesal dengan tindakan mereka melepaskan pemain Perancis ini selepas cemerlang bersama PSG dan kini telah menyertai Juventus.

Gambar – Maxi Foot

Rabiot muncul pemain utama di bahagian tengah PSG, menggantikan tempat Biase Matuidi yang berpindah ke Juventus. Beliau membentuk trio tengah yang cemerlang bersama Marco Verratti dan Thiago Motta.

Rabiot hanya sempat menghabiskan semusim bersama akademi Manchester City sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke Perancis. Rabiot kini dianggap antara bakat muda paling hangat di Eropah, dan beraksi di Serie A.

5. Adam Clayton (Birmingham City)

Kelab selepas City: Leeds United, Peterborough United (pinjaman), MK Dons (pinjaman), Huddersfield Town, Middlesbrough, Birmingham City
Penampilan: 338 (22 gol)

Adam Clayton mungkin tidak sepopular Sturridge atau Rabiot tetapi pemain ini merupakan tonggak penting ketika membantu Middlesbrough meraih promosi pada musim 2015/2016.

Gambar – EMPICS Sport

Pemain ini banyak berkelana bersama kelab bawahan England sebelum menjadi pemain penting ketika bersama Middlesbrough. Adam Clayton menjadi buah mulut peminat bolasepak kerana fesyen janggutnya yang menarik ketika bersama Huddersfield.

Beliau masih kekal bersama Middlesbrough selepas relegasi dari Liga Perdana Inggeris sehingga penghujung 2019 dan kini telah menyertai Birmingham City.

BACA:  Erling Haaland Dinasihatkan Boikot Ballon d'Or Jika Messi Menang Lagi