5 Pemain yang Harganya Meningkat Mendadak Sejak Januari 2016

Musim bola sepak di Eropah telah lama tamat dan sekarang ada masa untuk kelab-kelab di sana membeli belah pemain baharu. Ketika ini pihak media di eropah tanpa segan silu menyemarakkan perpindahan pemain dengan berkongsi khabar angin dan cerita betul tanpa rasa takut untuk disaman.

Contohnya cerita Arsene Wenger yang berminat untuk mendapatkan pertahanan tengah Manchester United, Chris Smalling.

Bila bercakap mengenai perpindahan pemain, maka sudah pasti sejumlah wang akan dibelanjakan oleh pasukan demi mendapatkan pemain yang disukai mereka.

Jika seseorang pemain hanya mampu menahan bola seperti budak sekolah rendah, maka sudah pastilah nilainya di pasaran adalah rendah. Sebaliknya jika seseorang pemain tersebut cukup cemerlang sepanjang musim, maka nilainya sudah pasti akan mencanak naik.

Berikut adalah 5 pemain yang nilainya meningkat secara mendadak sejak Januari 2016.

Harry Kane (Januari 2016 : €40 juta, Sekarang : €65 juta)

Peminat La Liga atau Liga Portugis mungkin tidak kenal penyerang Tottenham Hotspur ini. Harry Kane telah membuktikan bahawa dia adalah masa depan England selepas muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali berturut-turut.

Pada musim 2015-16, Kane hanya mula dikenali selepas menggantikan Roberto Soldado yang hanya tahu menjaringkan gol melalui tendangan penalti dan sejak itu, Kane digelar sebagai pemain yang ketagih menjaringkan gol.

Pada Januari 2016, Kane dinilai pada harga €40 juta, dan nilainya pada hari ini meningkat kepada €65 juta, terutamanya selepas Manchester United dan Real Madrid menunjukkan tanda-tanda berminat untuk membeli pemain ini.

Penyerang yang berkualiti pada hari ini memang sukar untuk ditemui dan sekiranya Kane berjaya meneruskan prestasi cemerlangnya, tidak mustahil nilainya akan meningkat ke €100 juta.

Lebih mahal daripada sebaris rumah banglo di Bangsar.

Antoine Griezmann (Jan 2016 : €55 juta, Sekarang : €82 juta)

Bagi pendukung mazhab raver, Griezmann mungkin lebih dikenali dek sambutan golnya yang terjoget-joget di tepi garisan padang.

Namun sebenarnya kemampuan penyerang kecil molek dari Peranis ini lebih daripada itu. Dia kini merupakan salah seorang daripada penyerang terbaik dunia dan pada musim lalu dia merupakan antara calon yang kuat untuk memenangi Ballon d’Or.

Persembahan cemerlangnya dalam Euro 2016 juga menaikkan lagi sahamnya, meskipun Perancis kurang bernasib baik selepas tewas kepada Potugal dalam perlawanan akhir.

Manchester United digosipkan dengan pemain ini dan kemungkinan nilainya kini sudah mencecah €82 juta.

Memandangkan Atletico Madrid kini sedang menjalani denda embargo dalam perpindahan pemain, maka peluang untuk melihat Griezmann menyarung jersi pasukan lain adalah ibarat jauh panggang dari api.

Namun segalanya mungkin berubah dalam tempoh enam bulan lagi apabila hukuman ke atas Atletico tamat nanti. Tapi macam pelik pula kalau pemain bintang berpindah pada bulan Januari.

Dengan kata lain, Griezmann akan berpindah kelab pada musim panas tahun depan. Harap sabar menanti ya peminat Manchester United sekalian.

Paulo Dybala (Jan 2016 : €45 juta, Sekaran : €85 juta)

Kidal, berasal dari Argentina dan dia bukan Leo Messi. Dybala menjadi salah seorang calon pemain yang dijangka bakal melepasi nilai yuran perpindahan sebanyak 100 juta pada masa hadapan.

Usianya baru sahaja mencecah 23 tahun dia sudah pun muncul sebagai antara pemain terbaik di Serie A. Kelicikannya menggelecek dan ketajamannya di hadapan gol telah membangkitkan nafsu Chelsea, Real Madrid, Barcelona dan Manchester United (lagi) untuk membelinya.

Aksi cemerlangnya dalam perawanan menentang Barcelona dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-juara membuka mata lebih banyak pihak ke atas pemain ini.

Leo Messi pula dikatakan sedang memujuk Dybala untuk menyertainya di Catalan, dan musim panas ini bakal menyaksikan Juventus bakal berhadapan masalah besar untuk mengekalkan Zorro Argentina ini.

Ousmane Dembele (Jan 2016: €5 juta, Sekarang : €55 juta)

Tidak ramai yang mengenali seorang lagi pemain yang berasal dari keluarga Dembele sebelum ini, tambahan pula pada Januari 2016, Dembele hanya bermain beberapa perlawanan untuk pasukan Rennes di Ligue 1.

Setahun setengah kemudian, Dembeli muncul sebagai antara prospek muda yang paling panas dalam pasaran bola sepak.

Berusia 20 tahun, Dembele menterbeliakkan mata para pemerhati melalui kepantasan, sentuhan pertama yang kemas dan kepintarannya menggelecek.

Ketika di Rennes, walaupun sekadar bermain beberapa perlawanan, tumpuan terhadapnya meningkat dengan begitu cepat, secepat naiknnya Melaka United dari Liga FAM ke Liga Super.

Meskipun mendapat tawaran beberapa kelab terkemuka lain, Dembele memilih untuk menyertai Tomas Tuchel di Borussia Dortmund dan ternyata pilihan yang dibuat cukup tepat.

Dembele kini boleh dikatakan sebagai pemain yang tetap dalam skuad kebangsaan Perancis dan Barcelona dikatakan mahu membida pemain ini  untuk memanaskan bangku simpanan di Nou Camp.

Kylian Mbappe (Jan 2016: €3 juta, Sekarang : €75 juta)

Seperti Dembele, Mbappe hanya dikenali oleh peminat standard bola sepak Malaysia pada musim ini, selepas Monaco menewaskan Manchester City dan perlawanan Liga Juara-juara.

Mbappe baru berusia 18 tahun dan Real Madrid dan Arsenal dikatakan bersaing untuk membawa Mbappe ke kelab masing-masing.

Kelebihan utama Mbappe ialah kepantasan, kemampuan menggelecek dan ketenangan di hadapan gol.

Seperi Dembele. Mbappe kini merupakan antara pemain tumpuan dalam pasukan bola sepak kebangsaan Perancis. Jika Mbappe mampu untuk mengekalkan prestasi cemerlangnya ke musim-musim hadapan, tidak mustahil dia bakal memenangi Ballon d’Or nanti.

Artikel diolah dari sumber : Sportskeeda

Baca Juga

Baca Juga