Juara Champions League dua kali berturut-turut, Real Madrid mengalami kemerosotan teruk pada musim ini. Los Blancos gagal untuk memenangi tiga perlawanan pertama musim ini di Santiago Bernabeu buat pertama kali sejak 1995.
Dalam saingan La Liga Real Madrid telah tewas kepada Girona yang merupakan pendatang baru La Liga sekaligus ketinggalan 8 mata di belakang pendahulu liga Barcelona hanya selepas 10 perlawanan.
Di saingan Eropah semalam, Real Madrid telah tewas penuh bergaya kepada kelab dari London, Tottenham Hotspurs.
Apa yang berlaku dengan Real Madrid? Adakah prestasi buruk mereka akan berterusan hingga ke akhir musim? Apa kejadahnya?
Kita terjah dan hayati 5 sebab kenapa Real Madrid menjadi ketum musim ini.
Bangku Simpanan Yang Lemah
Musim lalu Real Madrid mempunyai skuad depth yang begitu mengancam dan mampu menggalas peranan skuad utama pada bila-bila masa di mana saja berada di desa juga di kota tak kira siang atau malam.
Musim ini muka baru seperti Theo Hernandez, Borja Mayoral, dan Dani Ceballos yang masih muda dan kurang pengalaman menjadi pemain di bangku simpanan.
Musim lalu juga, Zidane boleh merehatkan 9 pemain utama dan pemain simpanan mampu untuk menjalankan tugas skuad utama dengan jayanya. Skuad bangku simpanan ini bukan sahaja boleh memberi kemenangan tetapi kadang kala bermain lebih baik dari skuad utama.
Pada jendela perpindahan musim panas, Real Madrid telah melepaskan pemain simpanan berbisa mereka yang menjadi idaman pasukan Eropah yang lain. Alvaro Morata dilepaskan ke Chelsea, James Rodriguez dipinjamkan ke Bayern Munich, Pepe di biar pergi ke Besiktas, Mariano ke Lyon dan Danilo ke Manchester City.
Bersama Los Blancos musim lalu Hamis Rodriguez dan Morata sahaja telah menjaringkan 23 gol di La Liga. Setakat musim baru ini Ronaldo dan Benzema hanya menjaringkan dua gol di liga manakala Morata dan Mariano bersama kelab baru telah menjaringkan sejumlah 14 gol.
Pertahanan Yang Rapuh
Kerapuhan benteng pertahanan Real Madrid bukan isu baru, musim lalu juga menyaksikan pertahanan Madrid gemar untuk melakukan kesilapan yang mengundang duka nestapa kerana ibunya batu. Maka minumlah ubat batuk cap ibu dan anak.
Dengan ketiadaan Carjaval kini yang mengalami masalah jantung pada kebiasaannya akan digantikan dengan Danilo yang kini telah selamat bersama Manchester City telah memaksa Zidane untuk menggunakan pemain akademi yang berusia 18 tahun, Achraf Hakimi.
Dengan pemain tengah bertahan yang hebat seperti Casemiro, Real Madrid sepatutnya mampu untuk bertahan dengan lebih baik tetapi sebaliknya berlaku. Selepas 10 perlawanan liga, Real Madrid telah bolos 9 gol dalam 10 perlawanan.
Selain sering melakukan kesilapan pertahanan Los Blancos juga gagal untuk menjaringkan gol seperti musim-musim yang lepas setakat ini. Ramos terkenal dengan gol kemenangan minit akhir telah menjaringkan 7 gol musim lalu.
Gabungan Marcelo dan Carvajal sahaja sudah mempunyai 14 gol liga. Semoga pemain pertahanan Real Madrid kembali insaf seperti mana Pepe di Besiktas serta kembali menemui jaring.
Kecederaan dan Penggantungan
Pemain kebangsaan dan kebanggaan Wales, Gareth Bale telah menyertai Real Madrid pada tahun 2013 dengan rekod perpindahan dunia sebanyak £85 juta dari Tottenham Hotspurs dan kini menjadi Raja Kecederaan.
Sepanjang kariernya Bale sentiasa dibelenggu irama kecederaan dan isu ini dibawa bersama semasa perpindahan ke Real Madrid. Untuk rekod Bale hanya bermain sebanyak 57 peratus sahaja dari 16,396 minit permainan.
Ini bermakna Bale telah terlepas sebanyak 7,050 minit permainan yang disebabkan oleh kecederaan yang pelbagai dialami oleh Bale. Ini menjadikan Bale pemain yang mempunyai minit permainan paling sikit dalam gandingan trio BBC.
Pada ketika ini Gareth Bale, Mateo Kovacic, Raphael Varane dan Dani Carvajal tidak dapat bermain kerana kecederaan. Musim yang baru bermula ini juga menyaksikan Karim Benzema, Marcelo, Theo Hernandez, Keylor Navas dan Jesus Vallejo telah pun mengambil cuti sakit.
Pada awal musim ini juga menyaksikan Ronaldo digantung 5 perlawanan selepas menolak pengadil dalam perlawanan El Clasico. Ramos dan Marcelo juga telah mengalami penggantungan kerana kad merah.
Dalam 10 perlawanan pertama Real Madrid perlu menghadapi krisis kecederaan dan penggantungan sekaligus menyukarkan mereka mendapat rentak kerana kesebelasan utama yang sentiasa bersilih ganti.
Ketumpulan Serangan
Punca utama yang membawa kepada situasi yang berlaku kepada Real Madrid ketika ini adalah ketumpulan bahagian serangan ini kerana masalah kebocoran pertahanan adalah kelemahan dari musim lalu. Penggantungan dan kecederaan juga lumrah dalam bola sepak.
Sebelum ini ketajaman bahagian serangan mampu untuk menutup kelompangan barisan pertahanan dengan jaringan gol. Berdasarkan statistik Real Madrid mencipta peluang dan membuat percubaan yang lebih baik musim ini berbanding musim lalu tetapi penyudah ke laut.
Jika mengikut perkiraan dan ramalan ahli nujum, Real sepatutnya telah menjaringkan 27 gol di La Liga tetapi mereka hanya mampu menyumbat 19 gol. Lebih padu Ronaldo yang terlepas 4 perlawanan awal liga telah melakukan 40 percubaan dalam 6 perlawanan dan hanya menjaringakan satu gol.
Kekalahan kepada Real Betis di Bernabeu menyaksikan Los Blancos gagal menjaringkan gol di laman sendiri dalam 73 perlawanan. Apa yang memilukan dan mengharukan mereka gagal menemui gawang dalam 27 percubaan.
Zidane semestinya merindui Morata dan Hamis musim ini kerana dua pemain ini boleh mengubah perlawanan dari bangku simpanan. Secara keseluruhan Morata telah menjaringkan 20 gol lebih satu gol daripada Benzema walaupun kerap di bangku simpanan.
Kebanyakkan gol Morata adalah gol kemenangan saat akhir, Hamis pula telah menemui jaring sebanyak 12 kali dan melakukan 8 bantuan gol walaupun jarang-jarang mendapat tempat.
Zidane Masih Mencari Corak Permainan Sebenar
Zinedine Zidane telah memenangi 7 trofi bersama Real Madrid sejak mengambil alih tugas dari Rafa Benitez pada Januari 2016 dan gelaran juara Champions League secara back-to-back adalah kejayaan terbesar.
Setakat ini Zidane masih lagi bergantung harap kepada individu untuk memenangi perlawanan. Zidane mampu untuk membawa Real bermain dengan lebih baik keranan mempunyai barisan pemain tengah yang berkualiti tinggi.
Tiada gaya, corak dan falsafah sebenar yang di pamerkan Zidane yang genius dan masih lagi menjadi pasukan yang bermain dengan corak serangan balas pantas. Kerana itulah apabila berdepan dengan pasukan yang bertahan dengan tabah Real berdepan masalah.
Dengan menggunakan kualiti yang ada pada barisan tengah sepenuhnya Real akan menjadi lebih efektif dan terus mara untuk rakyat Sepanyol. Bersatu kita bersatu, dengan setia berganding bahu, jiwa teguh berpadu kita rumpun Madrid.
Bersama kita bersama, mendukung hasrat semua, berjasa pada bangsa agama dan negara. Lambang kita yang gagah, dipandang mulia dan indah, bersatu, bersetia, berkhidmat cogan katanya, Madrid terus mara untuk rakyat Sepanyol.
Sumber
1. FourFourTwo
2. Goal