5 Tahun Jadi ‘Kayu Mati’ Di Stamford Bridge, Chelsea Akhirnya Bakal Melepaskan Bintang Ini

Pemain midfield Chelsea, Tiemoue Bakayoko sepertinya bakal memutuskan untuk meninggalkan Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas ini.

Selepas melalui lima tahun yang sia-sia, beliau akhirnya memilih untuk meninggalkan kelab dan memulakan karier barunya bersama pasukan lain.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah ditandatangani oleh The Blues dari Monaco pada tahun 2017 yang lalu dengan yuran perpindahan bernilai £40 juta.

Ramai yang menjangkakan bahawa Bakayoko pada ketika itu akan menjadi pemain terpenting kelab dan beliau sendiri turut berjanji bakal memberikan segalanya kepada The Blues.

Pada musim pertamanya bersama kelab, beliau sempat membuat 43 penampilan dari semua pertandingan dan turut berjaya menjaringkan tiga gol sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut berjaya membantu Chelsea pada ketika itu untuk memenangi gelaran FA Cup dengan Bakayoko dianggap antara nadi penting skuad pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, segala yang dirancang tidak berjalan seperti apa yang diharapkan dengan beliau gagal untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad.

Beliau bahkan sudah tidak membuat sebarang kemunculan bersama skuad Chelsea sejak musim 2017/18 lagi dan beliau turut dihantar beraksi sebagai pemain pinjaman kepada beberapa pasukan berbeza.

Pemain midfield itu telah dipinjamkan ke AC Milan, Monaco, Napoli dan kemudian kembali ke Milan yang mana beliau pada musim lalu berjaya membantu skuad menjuarai saingan Serie A.

Selepas menghabiskan masa beberapa musim sebagai pemain pinjaman, pemain berusia 27 tahun itu pada ketika ini sudah semakin hampir pasti untuk meninggalkan kelab.

Menurut sumber laporan dari media Perancis, Foot Mercato, Bakayoko sepertinya sangat berpotensi untuk menyertai gergasi Ligue 1, Marseille selepas pihak kelab bersetuju dengan segala syarat peribadi yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, laporan sama turut menyatakan yang pengurus Marseille, Igor Tudor masih lagi belum memberi lampu hijau untuk urusan perpindahan itu dimuktamadkan.

Beliau masih perlu diyakinkan oleh pimpinan kelab sebelum memutuskan untuk menerima atau tidak Bakayoko ke dalam skuadnya.

Selain Marseille, Bakayoko turut berjaya menarik minat kelab dari saingan La Liga, Valencia yang ketika ini sedang memantau perkembangan kariernya.

Valencia pada ketika ini berpotensi untuk sailang rundingan tersebut sebelum Marseille menamatkan rundingan tersebut.

Walau bagaimanapun, satu hal yang pasti, selepas lima tahun, pemain yang dianggap antara bintang termahal kelab dan juga pemain yang gagal itu akan meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Beberapa pemain sudah sah meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas ini dengan Antonio Rudiger dan Andreas Christensen turut pergi sebagai pemain bebas ejen.

Kontrak kedua pemain pertahanan itu telah tamat pada penghujung musim lalu dan kedua-dua mereka memilih saingan La Liga sebagai destinasi terbaru dalam karier masing-masing.

Romelu Lukaku juga turut sudah kembali ke Inter Milan menerusi perjanjian perpindahan sebagai pemain pinjaman pada musim baharu ini nanti.

Beliau menyertai Chelsea dari Inter Milan dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £97.5 juta.

Dari segi pemain yang datang, Chelsea setakat ini sudah mendapatkan dua pemain berprofil tinggi, Raheem Sterling dan pemain pertahanan, Kalidou Koulibaly.

Masih ramai lagi pemain yang dijangka akan ditandatangani oleh Chelsea dalam masa terdekat ini.

Chelsea pada ketika ini dilaporkan sedang berunding dengan Paris Saint Germain berkait urusan perpindahan pemain pertahanan, Presnel Kimpembe.

Sementara itu, Chelsea pada ketika ini sedang menyertai sesi jelajah US dengan mereka berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 menewaskan kelab dari Amerika selepas Mason Mount meledak gol di minit-minit akhir permainan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2019/20: Bayern Munich 4-1 Chelsea (Agg. 7-1)