5 Tahun Lalu Gajinya Sekadar £280 Sebulan, Kini Menjadi Penyerang Berbisa di Euro

Lima tahun lalu, ketika Wales menggoncang benua Eropah apabila layak sehingga ke peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah di Perancis, Kieffer Moore, baru sahaja menamatkan musim liga bersama kelab semi-pro, Forest Green Rovers.

“Kitorang ada satu hostel di mana semua pemain tinggal dan Kieffer pun masuk situ,” kata Jon Parkin, rakan sepasukan Moore di Forest Green pada tahun 2015.

“Dia macam bangunan pejabat, ada dalam 12 bilik. Bila kau main di Conference (liga divisyen 5 di England), pemain tak mamp nak pindah dan beli rumah dengan kontrak setahun.

“Seronok duduk situ. Aku rasa macam pelajar yang berusia 34-tahun.”

Perjalanan karier Moore daripada liga bawahan sehingga menjadi penjaring gol buat Wales di peringkat tertinggi Eropah adalah satu lagi cerita motivasi, cerita kebangkitan  dan kerja keras seseorang untuk mencapai impiannya.

Pada tahun 2012, ketika Moore berusia 20 tahun, dia bermain untuk kelab Paignton Saints di Liga Divisyen Dua Devon Selatan – divisyen ke-14 dalam piramid bola sepak England, dan ketika dia berpindah dari Truro City ke Dorchester Town setahun kemudian, tak ada sebarang rundingan perpindahan pun.

“Kami bayar dia ciput je, aku ingat dalam £50-70 je seminggu,” kata Lee Hodges, pemain merangkap pengurus di Truro City, yang bermain di Conference Selatan.

“Tapi disebabkan kami tak ada duit, maka kami tak ikat dia dengan apa-apa kontrak macam orang lain, dan sebab inilah dia akhirnya menyertai Dorchester yang cakap kat dia, ‘Kami letak notis tujuh hari untuk kau dan kami tawarkan sekitar £300 seminggu’, lepas tu dia blah.”

Pada waktu itu juga Moore menyara hidupnya dengan menjadi pengawal keselamatan, tetapi pada hari Sabtu lalu di Baku, Moore menjadi penyelamat dalam bidang yang lain pula.

Bola hantaran lintang daripada Joe Morrel disambut Moore dengan satu lompatan tinggi dan menanduk masuk ke gawang Switzerland, sekaligus menyelamatkan Wales daripada tewas dan memberikan mereka mata pertama kejohanan Euro tahun ini.

Gol tersebut merupakan gol keenam yang dijaringkannya buat pasukan kebangsaan sejak diberikan debut oleh Ryan Giggs pada September 2019.

Keraian Moore juga disulam dengan sedikit emosi, memandangkan ini adalah pencapaian peribadinya yang tertinggi setakat ini, selepas apa yang dia lalui selama ini.

Naiknya Moore ke pentas ini tidaklah semudah sesetengah pemain lain.

Selepas tampil menakjubkan di Dorchester, Moore berpindah pula ke Yeovil Town di Liga Kejuaraan pada tahun 2013 dan mengalami fasa perubahan yang mendadak memandangkan dia melompat empat divisyen sekaligus.

Pada musim pertamanya, segalanya seakan tidak menjadi dan Yeovil menamatkan musim di tangga terbawah sekaligus menyebabkan mereka tersingkir ke liga divisyen 3, dan kemudiannya Moore dilepaskan selepas kontraknya tamat pada tahun 2015.

Moore ketika di Yeovil. Gambar : Dorset

“Aku tak rasa ramai pemain yang bertaraf seperti di Dorchester, lepas tu terus keLiga Kejuaraan dan cemerlang setiap minggu,” ujar Darren Way – seorang jurulatih di bawah pengurus Gary Johnson di Yeovil.

Untuk mendapatkan Moore, Yeovil telah membayar Dorchester sebanyak £30,000 – sesuatu yang sangat jarang dilakukan kelab di selatan England tersebut selalunya akan membawa masuk pemain sama ada secara percuma atau pinjaman.

Lagipun, sebenarnya mereka mencipta kejutan dengan berjaya naik ke liga divisyen 2 tersebut selepas memenangi perlawanan play-off untuk kenaikan liga. Sejujurnya, mereka belum bersedia untuk bertanding di peringkat tersebut terutamanya dari segi kewangan.

“Kami bukanlah satu pasukan yang menang setiap minggu, dia pun jadi tertekan.

“Dia ambil masa sikit untuk sesuaikan diri, malah dia terpaksa biasakan diri untuk bermain bola dan berlatih setiap hari,” kata Way lagi.

“Dia berhadapan dengan pemain bertaraf Liga Kejuaraan, sesetengahnya pula bekas pemain Liga Perdana. Mereka lebih rakus ketika merampas bola daripadanya.

“Jadi cara dia pegang bola, walaupun di Dorchester dia sangat bagus, tapi dia berhadapan dengan pemain yang lebih kuat.

“Tapi ada ketikanya kau akan nampak yang dia ni akan jadi aset kepada seseorang. Dia ada ancaman untuk bola tinggi. Jadi kelab ambil masa sikit dan bagi dia ruang untuk berkembang.

“Itu yang dia buat.”

Selepas kontraknya tamat di Yeovil, Moore mengembara ke negara Viking di Norway,  sebelum menyertai Forest Green dan kemudiannya tampil cemerlang ketika dipinjamkan ke Torquay United di Liga Conference di mana dia telah menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan, dan dari situ dia berjaya menambat hati satu lagi kelab Liga Kejuaraan – Ipswich Town.

Ketika itu, pengurus Ipswich, Mick McCarthy sedang mempertimbangkan sama ada untuk membeli Moore atau penyerang Dagenham & Redbridge, Oli Hawkins pada harga £500,000.

Memandangkan nilai Moore ketika itu hanya £10,000, maka  McCarthy memilih penyerang Torquay tersebut. Bersama Ipswich, Moore masih gagal untuk membuktikannya sebagai seorang penyerang berbisa, lantas dia dipinjamkan ke kelab divisyen 3, Rotherham United dan di sinilah bermulanya episod Moore yang baru.

Bersama Rotherham, Moore berjaya menjaringkan 13 gol dalam 22 perlawanan liga, dan pada bulan Januari 2018, Moore dijual kepada Barnsley pada harga £750,000 dan di sinilah Moore mula dipandang Wales.

Walaupun lahir dan membesar di England, Moore layak mewakili negara Tiga Singa tersebut menerusi datuk di sebelah ibunya yang dilahirkan di Llanrug, Wales. Proses pendaftarannya sebagai pemain Wales agak memakan masa kerana keluarganya tidak dapat menemukan sijil lahir datuknya.

“Mak aku cari merata-rata, dah sepahkan loteng sekali,” ujar Moore, mengenang kembali detik tersebut.

“Apabila kami jumpa sijil tu, rasa lega sangat. Makan setahun juga la nak cari tu.”

Pada Boxing Day 2018, Ryan Giggs telah turun padang melihat Moore beraksi, tetapi sekali lagi masalah timbul.

Pada pagi hari perlawanan, Moore diserang mingraine dan terpaksa menarik diri pada saat akhir daripada perlawanan tersebut. Namun selepas diperhatikan dalam dua perlawanan selepas itu, Giggs yakin bahawa Moore adalah jawapan kepada masalah posisi penyerang buat pasukan Wales yang dikendalikannya.

Dia agak mentah dari segi pengalaman, tetapi dengan ketinggian 6 kaki 5 inci (1.98m), Moore dlihat boleh menjadi titik fokus kepada serangan pasukan dan menjadi ancaman kepada pertahanan pasukan kebangsaan yang lain.

Perlawanan persahabatan menentang Belarus menjadi cukup bermakna buat Moore di mana dia akhirnya menjadi pemain kebangsaan – sesuatu yang tidak pernah dijangka ketika dia bermain untuk kelab semi-pro.

Debut kompetitifnya ketika menentang Slovakia menyaksikan Moore menjaringkan gol pertama di peringkat antarabangsa, menerusi satu tandukan padu, sekaligus memberikan mata berharga buat Wales dalam kempen kelayakan Euro 2020.

Sejak itu, Moore menjadi pemain penting buat negara jiran England tersebut dan sering tampil dengan prestasi yang tidak mengecewakan.

Pada usia 28 tahun, Moore masih lagi boleh meningkat naik. Pada musim lalu, bersama Cardiff City, Moore telah muncul pemain pertama kelab tersebut yang menjaringkan 20 gol semusim dalam liga selepas kali terakhir dilakukan oleh mendiang Peter Whittingham pada tahun 2010.

Kejayaannya menjaringkan ketika menentang Switzerland pula menaikkan lagi saham penyerang tinggi lampai ini.

Andai Moore mampu teruskan rentak cemerlangnya di kempen Euro tahun ini dan bersama kelabnya pada musim baru nanti, mungkin kita akan dapat lihat aksinya di dalam Liga Perdana Inggeris pula.

Kisah Moore ini membuktikan bahawa selagimana kita konsisten berusaha dan percayakan diri, kejayaan pasti akan datang akhirnya.

Cerita diambil dari : TheAthletic

BACA:  Belgium Dianggap Pasukan Paling Bernilai Euro 2016