6 Pemain Yang Mungkir Janji Untuk Kekal dan Berpindah Keluar

Setia adalah perkataan paling sedap untuk didengar peminat. Tambah lagi jika ia keluar dari mulut pemain kesayangan mereka. Kesetiaan patut ada dalam jiwa setiap pemain tetapi masa depan pemain di sesebuah kelab tidak bergantung kepada pemain itu sahaja, tetapi juga pada kelab yang membayar gaji mereka.

Sudah menjadi tanggungjawab setiap kelab untuk memastikan ia berjalan dengan sihat dari segi kewangan dan prestasi semasa pasukan. Bagi kelab kaya dan mempunyai sugar daddy di belakang mungkin tidak sukar untuk berkata tidak kepada kelab luar yang berminat untuk mendapatkan pemain terbaik mereka.

Bagi kelab kecil atau sederhana, apabila tawaran besar datang, mereka harus mengkajinya sebaik mungkin.

Dalam situasi ini, kerap kali peminat akan menghamburkan kejian terhadap bekas pemain kesayangan mereka dahulu yang dikatakan tidak setia dan gilakan kemewahan, tetapi sebenarnya banyak lagi perkara di sebalik tabir yang tidak diketahui peminat berlaku.

Apabila pemain kesayangan mereka berpindah, peminat tidak harus cepat untuk menuding jari kepada pemain tetapi perlu juga melihat dari aspek kewangan kelab mereka sendiri.

Artikel ini akan menyenaraikan 6 pemain terkenal yang pernah mengeluarkan kenyataan untuk terus kekal tetapi akhirnya dijual oleh kelab mereka sendiri.

1. Luis Figo (Barcelona ke Real Madrid)

Yakinlah ku kan menjemputmu.

Ini adalah kenyataan yang keluar dari mulut legenda Portugal, Luis Figo ketika ditanya adakah beliau akan berpindah keluar dari Barcelona dengan Real Madrid dikatakan berminat untuk mendapatkan beliau ketika itu.

“Saya mahu memberitahu peminat yang bahawa saya, Luis Figo, dengan penuh yakin, akan berada di Nou Camp pada 24 Julai untuk memulakan musim bersama Barcelona.”

Sebelum itu, Figo menjadi pemain pujaan peminat di Bacelona selepas aksi cemerlang yang ditunjukkan beliau sehingga dilantik sebagai kapten kelab. Dan apabila gosip perpindahan ke Real Madrid semakin menjadi-jadi, Figo meyakinkan peminat Barcelona yang beliau akan terus kekal di Nou Camp.

Akhirnya, Figo keluar. Kebencian dan kemarahan terhadap Figo memuncak sehingga beliau dibaling dengan kepala babi ketika beliau kembali bermain di Nou Camp dalam baju Real Madrid.

2. Cesc Fabregas (Arsenal ke Barcelona)

Hati membeku mengingatkan kata janji manismu.

Kenyataan dari Fabregas di atas jelas menggambarkan beliau mahu kekal di Arsenal tetapi apabila Barcelona datang memanggil, beliau tidak berdaya untuk menolaknya. Sebelum perpindahan itu, peminat Arsenal sering mendengar pujuk rayu pemain Barcelona terhadap Fabregas supaya kembali ke ‘rumah’ beliau iaitu di Catalan.

“Saya amat gembira untuk terus berada di Arsenal. Apa yang keluar dari mulut saya selain mahu terus kekal di Arsenal adalah tipu belaka. Saya adalah pemain Arsenal. Kami mempunyai pasukan yang bagus dan jurulatih yang hebat.”

Fabregas kerap memberitahu peminat Arsenal supaya tidak risau tentang prospek kehilangannya kerana beliau komited kepada Arsenal. Walaubagaimanapun, pada musim panas 2011, Fabregas mula membuat onar untuk memaksa kelab menjualnya kepada Barcelona.

Akhirnya, Wenger mengalah dan Fabregas dibenarkan menyertai Barcelona walaupun kontrak Fabregas bersama Arsenal ketika itu masih lagi panjang.

3. Luis Suarez (Liverpool ke Barcelona)

Kata-katamu hanya mimpi di siang hari.

Luis Suarez telah menandatangani kontrak lumayan pada pertengahan musim 2013/2014 ketika beliau sedang sibuk beraksi cemerlang di mana pada musim tersebut Liverpool sangat hampir untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (format baru) buat pertama kali.

“Saya menandatangani kontrak baru di sini kerana saya sayangkan segala-galanya di Liverpool. Saya amat gembira disini. Saya tidak akan menandatangani kontrak baru jika saya tidak gembira.”

Suarez telah dikaitkan dengan perpindahan mega ke Sepanyol selepas persembahan cemerlang yang ditampilkannya ketika itu. Walaupun begitu, Suarez meredakan kerisauan peminat Liverpool dengan mengeluarkan kenyataan yang beliau gembira untuk terus kekal di Anfield.

Dua bulan selepas itu, beliau secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain Barcelona.

Antara faktor utama pemergian beliau adalah insiden menggigit Giorgio Chiellini ketika Piala Dunia 2014 dan insiden perkauman Patrice Evra. Media di Britain antara pihak yang paling lantang mengkritik Suarez ketika itu.

Selain itu, Suarez menegaskan Barcelona adalah kelab impiannya sejak kecil. Ada sebarang komen peminat Liverpool ?

4. Kaka (AC Milan ke Real Madrid)

Buku merah jangan lupa bawa sebelum tamat tempoh. Gambar : Youtube

Kaka pernah berjanji yang beliau tidak akan meninggalkan Milan kerana tiada kelab lain yang amat menghargai beliau selain AC Milan. Milan adalah rumah baru beliau dan banyak lagi janji manis yang keluar dari mulut Kaka.

“Tiada apa yang saya kejarkan selain kekal sihat dan berada di kelab yang mana peminat menghargai saya. Milan adalah rumah saya dan amat dekat dengan sekali dengan jiwa saya.”

Enam bulan selepas itu, Kaka mengangkat jersi Real Madrid yang tertera nama beliau ketika diperkenalkan di Santiago Bernabeu disertai senyum lebar di raut wajahnya.

Kaka juga adalah seorang penganut agama Kristian yang kuat. Beliau sering meraikan jaringan gol beliau dengan tangan ke atas sebagai tanda syukur kepada Jesus.

Beliau pernah mengelurkan kenyataan dimana beliau mengabdikan jiwanya kepada Jesus dan badannya kepada Milan.

Tetapi hanya satu janji yang berjaya beliau kekalkan. Eh?

5. Sol Campbell (Tottenham Hotspurs ke Arsenal)

Sayang ku mungkir pada janjimu. Gambar : Sportal

Ayat pendek yang keluar dari Sol Campbell ketika wartawan bertanya adakah beliau akan kekal di Spurs dan menandatangani kontrak beliau. Beliau mungkir janji dan tamat sahaja kontrak beliau, Campbell menyertai musuh ketat mereka, Arsenal secara percuma.

“Saya kekal.”

Mungkin jika Campbell menyertai kelab luar seperti Barcelona, peminat Spurs boleh menerimanya dan memaafkan beliau tetapi menyertai Arsenal adalah satu dosa besar yang tidak akan mereka maafkan selama-lamanya.

Campbell ketika bersama Spurs adalah seorang pemain yang amat bagus. Beliau pemain pertahanan yang mempunyai pakej yang lengkap. Campbell laju, keras dan mempunyai teknik yang bagus walaupun beliau seorang pemain pertahanan tengah.

Ketika mengakhiri penghujung kontraknya, beliau telah dikaitkan dengan pelbagai kelab tetapi seperti yang kerap berlaku, Campbell berkata beliau akan terus kekal. Senario paling buruk yang boleh difikirkan peminat Spurs berlaku selepas kapten kelab kesayangan mereka ini mengambil keptusan untuk berhijrah ke kelab seteru utama mereka.

6. Dimitar Berbatov (Tottenham Hotspurs ke Manchester United)

Dalam bersahaja kau selitkan madah yang terindah.

Dimitar Berbatov adalah pemain yang amat menarik untuk ditonton, walaupun anda peminat pasukan lawan. Beliau seorang pemain yang sangat elegan, cool dan mempunyai teknik yang sangat baik.

“Saya hanya mahu terus kekal di sini, saya gembira berada di sini, dan saya akan membantu kelab ini sehabis daya yang mungkin. Saya masih dalam kontrak dan saya akan memberikan yang terbaik.”

Jadi apabila beliau menyertai Manchester United, punca utama beliau menipu peminat Spurs masih lagi menjadi misteri selepas mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Manchester United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson merupakan kelab yang mempunyai tarikan yang sangat kuat dan sudah pasti pendirian Berbatov berubah dengan sendirinya apabila Red Devils datang memanggil.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga