7 Pemain Di Piala AFF Suzuki Yang Dilabel Sebagai Messi Oleh Media Indonesia

Kita seringkali mendengar pemain bola sepak yang bertubuh kecil, lincah dan licik dilabelkan sebagai jelmaan Lionel Messi mengikut negara kelahiran atau kelab beliau bermain.

Maka lahirlah jolokan seperti Messi Mesir, Messi Nigeria, Messi Argentina, Messi Kedah, Messi Kelantan, Messi Kokdiang dan juga Messi Cherok Tok Kun.

Di Malaysia jolokan Messi ini sinonim dengan Faiz Nasir yang pernah bergelar Messi Kelantan kemudian Messi Terengganu. Adakah Faiz pernah digelar Messi Selangor dan kini kembali bersama Terengganu.

Media Indonesia telah menyenaraikan 7 pemain yang mendapat jolokan Messi dari Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Laos, Malaysia dan Timor Leste.

Ini bermakna Kemboja, Myanmar dan Filipina tidak mempunyai Messi mereka sendiri.

1. Egy Maulana Vikri (Indonesia)

Pemain berusia 21 tahun ini dikenali sebagai Messi Indonesia. Pemain dari Medan itu secara rasmi dimasukkan dalam skuad pasukan kebangsaan Indonesia untuk Piala AFF 2020.

Bagaimanapun, Egy belum dapat beraksi di Piala AFF 2020 kerana masih perlu mempertahankan kelabnya FK Senica di Slovakia.

Karier bola sepak Egy Maulana agak unik kerana kariernya berkembang bersama pasukan Indonie bawah 16, 19 dan 23 tahun sebelum mendapat kontrak profesional bersama kelab.

Pada september 2017, Egy Maulana telah muncul penjaring terbanyak AFF U-19 Youth Championship dengan menjaringkan 8 gol.

Di usia 17 tahun dipenghujung tahun 2017, banyak kelab berlumba-lumba mahu memberikan Egy Maulan kontrak profesional termasuklah dari kelab liga Thailand.

Namun Eropah menjadi pilihan Egy Maulana apabila menjalani percubaan bersama Benfica, Sporting CP, Getafe CF, Espanyol, Legia Warsaw, Saint-Étienne, Ajax Amsterdam, beberapa kelab Itali dan juga Jerman.

Pada Mac 2018, Egy Maulana menyertai Lechia Gdanks dengan kontrak selama 3 tahun dan menyertai pasukan ini pada hari jadinya yang ke-18.

Apa yang menarik adalah Egy Maulana memilih Lechia Gdanks kerana kelab itu menawarkan kontrak yang agak panjang kepadanya tanpa sebarang percubaan walaupun Egy tidak mempunyai langsung pengalaman bersama kelab profesional.

Selepas kontraknya tamat bersama Lechia Gdanks, Egy Maulana menyertai kelab Slovakia, Senica dengan kontrak selama 6 bulan dengan pilihan kontrak tetap selama setahung setengah.

Kerana itulah Egy Maulana masih tidak beraksi bersama Indonesia di Piala AFF Suzuki kerana mahu menjamin kariernya di Eropah terus bersinar.

Namun krisis kewangan kelab Slovakia itu mungkin menamatkan jodoh mereka. Egy Maulana berpeluang beraksi jika Indonesia mara ke separuh akhir.

Pada 7 Julai 2021 yang lalu, usia Egy Maulana baru menginjak 21 tahun. Prospek masa depan Indonesia.

2. Chanathip Songkrasin (Thailand)

Pemain ini digelar Messi Jay. Pemain bertubuh kecil itu adalah salah seorang daripada segelintir pemain Thailand yang bermain di luar negara selepas menyertai Consadole Sapporo Jepun pada 2017.

Pada tahun 2017, Chanathip Songkrasin telah menyertai pasukan yang baru naik ke J League, Hokkaido Consadole Sapporo secara pinjaman selama setahun setengah kerana kecemerlangannya di Piala AFF dan juga di AFC Champions League bersama Muangthong United.

Pada Julai 2018, Chanathip Songkrasin telah ditawarkan kontrak tetap dan menjadikannya pemain tetap Hokkaido Consadole Sapporo bermula 1 Februari 2019.

Sejak itu Chanathip Songkrasin tidak menoleh ke belakang lagi untuk membina reputasi yang gah di Jepun yang merupakan antara liga terbaik di Asia dan menjadi pemain utama pasukan bukan simpanan tau.

Rakan sepasukannya telah memilih Chanathip Songkrasin sebagai pemain paling bernilai musim selepas membantu Hokkaido Consadole Sapporo menamatkan J.League di tangga ke-4 yang terbaik dalam sejarah kelab.

Chanathip Songkrasin juga telah dipilih sebagai salah seorang J.League team of the season 2018 dan menjadi manusia pertama dari Asia Tenggara melakukannya.

Selepas berjaya membimbing Thailand menjadi juara Piala AFF dua kali, Chanathip tidak dinafikan antara bintang bola sepak Asia Tenggara paling berjaya dan terbukti hebat.

3. Adam Swandi (Singapura)

Messi Singapura yang dilabel media Indonesia adalah milik Adam Swandi menjadi pemain penting bagi timnas Singapura di Piala AFF 2020. Dia telah menyumbang satu gol saat Singapura mengalahkan Timor Leste 2-0 yang memastikan tiket ke semifinal.

Pada 2013 Messi Singapura ini telah mengikat kontrak selama dua tahun dengan FC Metz yang ketika itu beraksi di Ligue 2 Perancis dan Adam Swandi telah bermain untuk pasukan bawah 19 tahun di kejohanan pasukan remaja Championnat National.

Adam Swandi telah menarik minat jurulatih FC Metz ketika sesi percubaan selama 10 hari dan terus ditawarkan kontrak.

Sebelum itu Adam Swandi menghabiskan masa selama 45 hari jelajah Eropah untuk menghadiri percubaan bersama Newcastle United, Chelsea dan Atletico Madrid.

Atletico Madrid dan juga Ajax telah menawarkan Adam Swandi kontrak selama setahun namun FC Metz menjadi pilihan kerana lebih yakin dengan tawaran kelab Perancis itu.

Adam Swandi selepas itu kembali ke S League untuk bersama Courts Young Lions dan kini beraksi bersama Home United FC.

4. Paulo Gali (Timor Leste)

Timor Lester dan Brunei merupakan pasukan yang terpaksa beraksi di pusingan kelayakan untuk ke peringkat kumpulan Piala AFF Suzui, dengan penarikan diri Brunei maka Timor Leste mampu untuk beraksi pada edisi 2020 ini.

Walaupun pencapaian Timor Leste tidak begitu baik dalam Piala AFF, negara kerdil ini masih mampu melahirkan pemain muda yang mencuri tumpuan. Salah seorang daripada mereka, Paulo Gali atau Messi Timor Leste.

Jurulatih Timor Leste, Fabio Magrao mendakwa Paulo Gali akan menjadi salah seorang pemain terbaik di Asia dalam beberapa tahun akan datang.

Kehadiran pemain seperti Paulo Gali ini akan menjadi pembuka jalan kepada Timor Leste untuk terus melahirkan pemain yang berkualiti.

Untuk makluman semua, pada 31 disember ini, Paulo Gali akan genap usia 16 tahun. Gila bukan?

5. Nguyen Quang Hai (Vietnam)

Pemain bertubuh kecil molek ini mempunyai corak permainan seperti Lionel Messi. Nguyen Quang Hai mempunyai kemahiran menggelecek yang begitu baik seperti kulit bola itu kelihatan sentiasa melekat pada kaki kirinya.

Kehadiran Park Hang Seo telah membantu Nguyen Quang Hai menggilap dan memenuhi potensi diri. Nguyen Quang Hai telah diangkat sebagai hero Vietnam di kempen penuh bersejarah 2018 AFC U-23 Championship.

Vietnam telah mengecewakan banyak pasukan utama dan pasukan pilihan untuk ke final sebelum tewas kepada Uzbekistan, final pertama diperingkat benua.

Nguyen Quang Hai melakukan debut bersama pasukan kebangsaan Vietnam pada Jun 2017 ketika berusia 20 tahun dan sejak itu tidak menoleh lagi untuk menjadi pemain utama Vietnam.

Di Piala AFF Suzuki 2018, Nguyen Quang Hai membuktikan kehebatan apabila membantu Vietnam muncul juara dengan menewaskan Malaysia di perlawanan akhir yang penuh dramatik.

Lantaran kecermerlangannya itu, Nguyen Quang Hai telah dipilih sebagai salah seorang AFF Cup’s Best XI dan pemain paling bernilai (MVP).

Pemain tengah Vietnam itu mengukuhkan reputasinya diperingkat antarabangsa apabila membawa Vietnam ke suku akhir AFC Piala Asia 2019 dengan menumbangkan Jordan sebelum tewas kepada Jepun di suku akhir.

Nguyen Quang Hai telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak dua kali dan dipilih oleh Jawatankuasa Teknikal AFC untuk berada dalam All Star Squad Piala Asia 2019.

Nguyen Quang Hai juga diiktiraf sebagai salah satu pemain terbaik di Asia Tenggara hari ini. Setakat gelaran Messi Vietnam tu celah gigi je.

6. Safawi Rasid (Malaysia)

Sudah pasti nama Safawi Rashid berada dalam radar pasukan Indonesia, ketika ini Safawi Rasid merupakan penjaring gol terbanyak Piala AFF Suzuki dengan empat gol berkongsi jumlah jaringan yang sama dengan legenda Thailand, Teerasil Dangda.

Menurut media Indonesia, Safawi Rasid pemain yang wajib dirantai dalam perlawanan menentang Indonesia kerana mempunyai kemampuan kaki kiri yang baik seperti Lionel Messi dan naluri untuk mencetak gol yang tinggi.

Safawi Rasid juga pernah merobek gawang sang Garuda dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022.

Sememangnya kaki kiri Safawi Rasid terbukti berbisa apabila gemar melakukan larian lalu disusuli dengan cut inside, boom rembatan padu kaki kiri dilepaskan. Jangan dilupakan sepakan percumanya.

Sepanjang kewujudan Safawi Rasid dalam peta bola sepak Malaysia, penulis tidak pernah lagi mendengar Safawi digelar Messi Malaysia yang paling kerap dikaitkan dengan Messi adalah Faiz Nasir.

Manakala Akhyar Rashid pula satu ketika dulu dilabelkan sebagai Neymar Malaysia. Mungkin media Indonesia tidak tahu bahawa pemain Real Madrid, Marco Asensio dilabel sebagai Safawi Sepanyol.

7. Soukaphone Vongchiengkham (Laos)

Pemain sayap Laos, Soukaphone Vongchiengkham digelar ‘Messi Laos’ kerana memiliki kemahiran bola yang bagus, licik dan juga tangkas serta pantas seperti bintang Argentina yang kini memperkuatkan Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi.

Walaupun Soukaphone Vongchiengkham masih gagal membawa Laos pergi lebih jauh dalam kejohanan Piala AFF Suzuki namun Laos semakin meningkat prestasi mereka tidak lagi mudah untuk menjadi pasukan belasahan seperti sedekad yang lalu.

Laos kini berada di kedudukan terbawah Kumpulan B selepas sentiasa tewas kesemua empat perlawanan yang dimainkan.

BACA:  Ronaldo Dihentam Kerana Menyokong Kenyataan Messi Tak Layak Menang Ballon D'or