7 Pemain Ternama Yang Kembali ke Kelab Pada Hujung Karier

Satu dunia bagaikan bergoncang bila mana kapten Protugal, Cristiano Ronaldo telah mengesahkan kepulangannnya ke pasukan yang dia mula mencipta nama dalam pentas bola sepak antarabangsa, Manchester United. Sebaik sahaja berita ini disiarkan di laman sosial kelab tersebut, internet bagaikan meletup dengan ciapan, status yang dimuat naik serta banter sopan dan tidak sopan daripada para peminat bola sepak.

Akaun Instagram United pula menerima pertambahan pengikut sebanyak 1.5 juta dalam tepoh tidak sampai satu jam – nak cerita betapa girangnya para peminat Cristiano Ronaldo semalam.

Setara mana prestasi Ronaldo bersama United nanti, kita belum pasti. Tetapi di bawah ini terdapat tujuh (tambah satu) orang pemain yang telah kembali ke kelab asal mereka selepas merantau ke kelab lain.

Daripada senarai ini, ada pemain yang memang membantu kelab, dan ada juga hanya nak tambah duit KWSP sebelum bersara daripada sukan ini.

Thierry Henry

Penyokong Arsenal bagaikan berada di alam mimpi apabila penjaring gol terhebat mereka kembalike kelab tersebut secara pinjaman dari New York Red Bull pada tahun 2012.

Pada tahun 1999, Henry menyertai Arsenal selepas dibeli dari Juventus pada harga £10.5 juta, dan sepanjang bersama kelab London tersebut, dia telah memenangi dua gelaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan tiga kali menjulang Piala FA.

Selepas pasukannya tewas kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA pada tahun 2006, Henry bertindak meninggalkan kelab London dan menyertai kelab Catalan, sebelum berkelana ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama kelab New York.

Kepulangan Henry selama dua bulan tidaklah memberikan impak yang besar namun dia telah berjaya membuatkan penyokong Arsenal bagaikan berada di awang-awangan selepas menjaringkan gol ketika menentang Leeds United dalam Piala FA, sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian dalam debut keduanya.

Dalam perlawanan terakhir, Henry telah menjaringkan gol kemenangan ketika pasukannya menumpaskan Sunderland.

Kaka

Pemain tengah Brazil ini benar-benar mencipta nama ketika bermain untuk kelab gergasi Serie A, AC Milan. Bermain untuk kelab tersebut selama enam tahun dari 2003 sehingga 2009, Kaka telah menjaringkan 95 gol dalam 270 perlawnanan, memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada musim 2006-07, menewaskan Liverpool.

Aksinya pada peringkat separuh akhir ketika menentang Manchster United, dilihat sebagai salah satu aksi terbaiknya di mana dia dengan mudah memporak-perandakan barisan pertahanan pasukan lawan, bagaikan seorang gadis memporak-perandakan rumah tangga seseorang dengan mengorat suami orang.

Pada tahun 2009, menerusi projek Galacticos oleh Florentino Perez, Kakak dibeli pada nilai rekod perpindahan tertinggi di dunia €68.5 juta, sebelum rekod ini dipecahkan beberapa hari kemudian oleh Ronaldo.

Walaubagaimanapun, prestasinya bersama gergasi La Liga ini tidak sehebat ketika dia bermain untuk AC Milan di mana dia sekadar menjaringkan 29 gol dalam 120 perlawanan sepanjang empat tahun.

Pada tahun 2013, Kaka kembali ke AC Milan dan telah bermain sebanyak 37 perlawanan dan menjaringkan sembilan gol dalam tempoh semusim, sebelum kembali ke Brazil menyertai Sao Paolo – kelab yang mula mencungkil bakatnya.

Gianluigi Buffon

Tidak dapat dinafikan, Buffon adalah penjaga gol terbaik dunia ketika di kemuncak kariernya. Memulakan kerier bersama Parma dengan melakukan debut pada usia 17 tahun pada tahun 1995, Buffon telah mendapat perhatian kelab-kelab besar lain untuk membelinya, namun pasukan Turin, Juventus, telah sanggup memecahkan rekod dunia bagi pembelian seorang penjaga gol apabila mereka membayar sebanyak €52 juta untuk mendapatkan khidmat pemain ini.

Bersama The Old Lady, Buffon telah memenangi gelaran Serie A dan meletakkan dirinya sebagai penjaga gol nombor satu pasukan kebangsaaan Itali. Selepas 17 tahun bersama Juventus, Buffon mengambil langkah mengubah arah apabila berpindah ke kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain, ketika dia sudah berusia 40 tahun.

Selepas semusim di ibu kota Perancis, Buffon kembali ke Turin selama dua musim dan pada musim panas ini, penjaga gol lagenda ini membuat keputusan untuk kembali ke Parma yang kini bermain di Serie B Itali.

Hasratnya hanya satu – bantu Parma kembali ke pentas tertinggi bola sepak Itali.

Didier Drogba

Siapa yang tidak kenal Didier Drogba, seorang penyerang yang sangat digeruni pemain pertahanan lawan ketika dia mendominasi Liga Perdana Inggeris dari tahun 2004 sehingga 2012.

Dengan fizikal yang gagah perkasa, Drogba sering memperkotak-katikkan pertahanan lawan dalam mengawal bola dan juga melakukan cubaan ke arah gol.

Sepanjang lapan tahun di Stamford Bridge, Dorgba telah menjaringkan 157 gol dalam 341 perlawanan, dan memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali, Piala FA juga empat kali, Piala Liga tiga kali dan satu trofi Liga Juara-Juara UEFA.

Sebaik memenangi UCL pada tahun 2012, Drogba mengambil keputusan untuk mencari sedikit wang lebih apabila bertindak menyertai pasukan Liga Super China, Shanghai Shenhua. Bersama kelab tersebut, Drogba sekadar beraksi sebanyak 11 perlawanan dan menjaringkan lapan gol.

Selepas itu pemain Ivory Coast ini berpindah ke Liga Turki dengan menyertai Galatasaray dan bermain selama dua musim dari 2012 sehingga 2014, sebelm kembali ke Chelsea selama semusim. Meskipun dimamah usia, Drogba masih dapat tampil dalam 40 perlawanan dan menjaringkan 7 gol, sebelum terbang ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama kelab MLS, Montreal Impact.

Fernando Torres

Fernando Torres mula mencipta nama ketika bermain untuk kelab La Liga, Atletico Madrid dan dia dinamakan sebagai kapten kelab pada usia yang cukup muda – 19 tahun.

Pada tahun 2007, selepas kagum dengan aksi pemain ini menjaringkan 91 gol dalam 244 perlawanan buat Atleti, Liverpool telah menyambar Torres dan membawanya ke Anfield dengan nilai perpindahan sebanyak  £30 juta. Tidak membuang masa, Torres terus mencipta impak yang besar buat kelab tersebut dan menjadi igauan ngeri buat para pertahanan lawan.

Sepanjang empat musim, Torres telah menjaringkan 81 gol dalam 142 perlawanan dan mencipta gandingan yang sangat hebat bersama Steven Gerrard.

Pada tahun 2010, pemain ini mengubah haluan dan berpindah menyertai seteru Liverpool di England, Chelsea dalam perpindahan bernilai £50 juta. Meskipun tidak berjaya mengulangi prestatinya di Liverpool, Torres berjaya memenangi UCL pada tahun 2012, dan Liga Europa pada tahun selepasnya.

Tidak mendapat tempat di Chelsea, Torres dipinjamkan ke AC Milan selama separuh musim dan kemudiannya kembali ke Atletico Madrid secara pinjaman selama dua musim, sebelum berpindah secara kekal di kelab yang mana dia mencipta nama.

Tapi tu lah, ketajamannya di depan gol sudah tidak sama ketika dia melangkah keluar suatu ketika dahulu.

Wayne Rooney

Pemain yang digelar sebagai Shrek ini telah mula mencipta nama seawal usianya 16 tahun dan dia benar-benar menggoncang dunia selepas menjaringkan gol pertamanya dalam peringkat senior ketika menentang Arsenal.

Tidak menunggu lama, Manchester United telah membeli pemain ini ketika dia berusia 18 tahun pada harga £30 juta – rekod paling mahal bagi pemain remaja di England pada ketika itu,.

Sepanjang bersama Syaithon Merah, Rooney telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak kelab sepanjang zaman dengan 253 gol dalam 559 perlawanan, dan memenangi kesemua piala yang layak didapatkan oleh sesebuah kelab – Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, Liga Europa Liga Juara-Juara Eropah dan juga Piala Dunia Kelab FIFA.

Selepas 13 tahun, Rooney kembali ke Everton selama semusim dan telah menjaringkan 11 gol dalam 40 perlawanan, sebelum berkelana ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama DC United selama dua tahun, dan kembali ke England untuk beraksi bersama Derby County – kelab yang dia memulakan kariernya sebagai seorang jurulatih.

Robbie Fowler

Penyokong Liverpool yang evergreen pasti masih ingat bagaimana pemain ini mendominasi permainan Liga Perdana Inggeris suatu ketika dahulu. Memulakan karier bersama kelab Merseyside ini, Fowler diangkat sebagai dewa bola sepak di sana dengan ketajamannya di hadapan gol.

Sepanjang tempoh dari 1993 sehingga 2002, Fowler telah menjaringkan sebanyak 171 gol dalam 330 perlawanan buat kelab Anfield tersebut, dan memenangi Piala FA, Piala Liga, Piala UEFA dan Piala Super UEFA.

Pada tahun 2001 dia mengambil keputusan untuk berpindah ke Leeds United dan kekal di kelab tersebut selama dua musim, sebelum bermai selama  empat musim buat kelab Manchester City dan menjaringkan 28 gol dalam 92 perlawanan.

Pada thun 2005, Fowler mencipta kenangan terindah dalam jiwa penyokong Liverpool apabila dia kembali ke kelab yang tidak pernah tidak menyokongnya dan kekal selama dua musim.

Pada musim terakhirnya bersama Liverpool, dia telah berjaya menjaringkal tujuh gol dalam 39 perlawanan, dalam musim yang menyaksikan pasukan tersebut muncul naib juara UCL, selepas tewas kepada AC Milan dalam perlawanan akhir.

Safiq Rahim

Safiq Rahim mula mencipta nama bersama pasukan Selangor sebelum berpindah ke JDT pada tahun 2013, sebahagian daripada revolusi yang dibawa oleh pemilik kelab baru pasukan tersebut.

Bersama JDT dia telah memenangi Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut dan juga Piala AFC pada tahun 2015. Pada tahun 2017 akhirnya kelab ini berjaya memenangi Piala Malaysia dan tagline yang paling diingati yang diucapkan pemain ini dalam perlawanan akhir adalah ‘gua cempiyen siyal’.

Pda tahun 2019 Safiq berpindah ke Melaka United selama dua musim sebelum kembali ke JDT pada tahun 2021 dan sekali lagi berjaya menjulang liga super.

BACA:  Ronaldo Bantu Jadikan Impian Seorang Kanak-Kanak Yang Sedang Sakit Menjadi Kenyataan