74 Tahun Menunggu, Akhirnya Brentford Berjaya Layak ke Liga Perdana Inggeris

Brenford FC menjadi satu lagi kelab dari London untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris(EPL) selepas memenangi pusingan play-off Liga Kejuaraan, mengatasi Swansea. Ini adalah kejayaan kali pertama dalam tempoh 74 tahun kelab ini berjaya bermain di divisyen paling tinggi di England, dan kali pertama sejak EPL ditubuhkan pada tahun 1994.

Pasukan kendalian Thomas Frank ini menggapai impian mereka selepas jaringan daripada penyerang sensasi Ivan Toney dan juga Emiliano Marcondes di Wembley.

Dalam perlawanan tersebut, pemain Swansea Jay Fulton telah dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua sekaligus menyukarkan lagi peluang pasukan dari Wales tersebut untuk memenangi perlawanan tunggal paling mahal dari segi hak penyiarannya.

Brentford akan menjadi kelab yang paling kecil dalam saingan EPL di mana stadium mereka, Stadium Komuniti Brentford hanya mampu memuatkan seramai 17,000 penonton sahaja. Jumlah ini jauh lebih sedikit berbanding kelab-kelab lain terutamanya kelab gergasi seperti Manchester United, yang mana stadium mereka mampu memuatkan 76,000 penonton dalam satu-satu masa.

Pada musim lalu, Brentford hampir berjaya untuk naik ke EPL, namun dikecewakan oleh Fulham dalam perlawanan play-off.

Istimewanya, pengurus Brentford, merupakan pengurus berbangsa Denmark pertama yang berjaya membawa pasukannya naik dari liga bawahan ke liga tertinggi.

“Aku tak tahu kalau aku boleh cerita. Perjalanan ni sangat jauh,” katanya Frank selepas perlawanan menentang Swansea.

“Kelompok pemain ini sangatlah hebat. Semua orang mainkan peranan masing-masing.

“Perasaan dia macam tenang dan rileks dan sedia untuk jadi bengis.

“Sekarang ni, aku nak mabuk dan fikirkan pasal EPL esok!”

Ditubuhkan pada tahun 1889, pasukan yang mempunyai gelaran The Bees atau Lebah-Lebah Itu dalam Bahasa Melayunya, mula bermain di Griffin Park bermula 1904 sebelum berpindah ke Stadum Komuniti Brentford pada tahun 2020. Seteru utama kelab ini adalah Fulham, Queens Park Rangers dan Chelsea – kesemua kelab ini adalah kelab London Barat.

Pada awalnya Brentford sekadar menyertai bola sepak amatur sebelum mereka menyertai Liga London pada tahun 1896 dan muncul sebagai naib juara dalam divisyen kedua, dan kemudiannya divisyen pertama untuk layak ke Liga Southern pada tahun 1898.

Mereka memenangi Divisyen Kedua Liga Southern pada musim 1900-01 dan berjaya dipilih memasuki Football League pada 1920. Bagi mereka yang belum tahu, Football League ni ibarat MFL di Malaysia, cuma lebih lama.

Kali pertama mereka berjaya memasuki aras tertinggi bola sepak di England adalah pada musim 1935-36, selepas menjuarai liga divisyen 2 pada musim sebelumnya. Brentford kekal di divisyen 1 sehingga 5 musim sebelum kembali ke liga divisyen 2.

Kali terakhir mereka bermain di liga divisyen 1 adalah pada musim 1946-47, iaitu musim pertama liga dilangsungkan secara kompetitif selepas perang.  Selepas detik itu, The Bees sekadar bermain turun naik di liga divisyen 2, divisyen 3 dan juga divisyen 4.

Berita : FMT, Wiki

Baca Juga

Baca Juga