Abou Diaby Terharu Dengar Komen Penyokong Arsenal Mengenai Dirinya

Vassiriki Abou Diaby yang lebih dikenali sebagai Abou Diaby tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya selepas mendengar komen serta pendapat penyokong Arsenal mengenai dirinya.

Dalam sebuah rancangan di televisyen Perancis, Abou Diaby telah dijemput sebagai tetamu jemputan dan terdapat satu sesi di mana pendapat peminat mengenai Abou Diaby telah dikeudarakan.

Rata-rata peminat Arsenal itu memuji Abou Diaby yang digambarkan sebagai satu fenomena, awesome, pemain yang sangat berbakat dan hebat.

Mereka bersimpati dengan kecederaan yang membelenggu Abou Diaby dan jika beliau masih beraksi sudah pasti mampu menjadi sehebat Patrick Vieira dan menjadi legenda kelab.

Kamera terus memfokuskan kepada riak wajah Abou Diaby yang jelas kelihatan menahan sebak dan berperang dengan emosi agak tidak menitik air mata jantannya di kaca televisyen.

Bekas pemain Arsenal dan pasukan kebangsaan Perancis itu merupakan pemain tengah yang padu dan mampu merajai kawasan tengah padang yang menjadikan beliau ketika itu dilihat sebagai prospek masa hadapan yang bertaraf legenda.

Seorang pemain yang berkemahiran untuk beraksi secara box-to-box yang mempunyai kemampuan yang tinggi ketika menyerang dan juga bertahan dengan perwatakan agak sendu, sukar difahami dan atletik.

Abou Diaby mampu menggelecek melepasi pemain lawan atau membuat hantaran yang superb kepada rakan diadun pula dengan sentuhan yang padu serta kawalan bola yang melekat dikaki.

Penampilan fizikal dan posisi dengan permainan berkesan telah menyebabkan ramai membandingkan beliau dengan legenda Arsenal, Patrick Vieira. Pengganti yang cocok kali.

Namun masalah kecederaan berulang telah menghantui kerjaya pemain daripada Perancis dan menamatkan kariernya diperingkat tertinggi.

Diaby bermain untuk Arsenal selama 9 tahun bermula dari tahun 2006 sehingga 2015. Malangnya, waktu beliau bersama Arsenal dihimpit dengan kecederaan dan beliau hanya mampu melakukan 180 penampilan sahaja.

Masalah kecergasan semakin meruncing pada musim-musim terakhirnya di Emirates, dan Diaby hanya mampu beraksi sebanyak 22 perlawanan sahaja dari 4 musim terakhir beliau di Arsenal.

Sepanjang kariernya di Arsenal, Abou Diaby telah mengalami 42 kecederaan serius termasuklah kerosakan pada ligamen ACLnya, lima kecederaan otot paha, 11 kecederaan betis; dua kecederaan pergelangan kaki, tiga kecederaan hamstring dan termasuklah gegaran otak.

Kisah Abou Diaby boleh dikatakan antara kisah tersedih dalam sejarah Premier League, pemain berbakat besar dengan potensi yang tidak terbatas namun masalah kecederaan menjadi penghalang.

Aksinya di Anfield pada musim 2012/13 merupakan salah satu aksi terbaik secara individu oleh pemain tengah yang pernah disaksikan dunia bola sepak.

Liverpool pada ketika itu dikuasakan oleh Luis Suarez dan Steven Gerrard namun telah dineutralkan oleh dominasi Abou Diaby di tengah padang menyaksikan Arsenal menang 2-0.

Itulah mampu dijelmakan oleh Abou Diaby dalam padang apabila cergas dan bebas dari kecederaan.

Selepas meninggalkan Arsenal, beliau berkelana ke Perancis untuk bermain dengan Marseille tetapi masalah kecederaan masih lagi berulang.

Beliau hanya mampu bermain 6 perlawanan dalam dua musim dan dilepaskan Marseille pada tahun 2017.

Pada 25 Februari 2019 akhirnya Abou Diaby tewas dengan kecederaan yang berulang lalu mengumumkan persaraannya pada usia 32 tahun.

Patrick Vieira sendiri mengakui bahawa Abou Diaby adalah pemain yang jauh lebih bagus dan serba boleh berbanding beliau yang bertaraf legenda.

“Abou Diaby lebih bagus dari aku, lebih baik dari segi teknikal, menggelecek dan juga menjaringkan gol. Dalam satu perkataan lebih serba boleh dari aku.”

Selain Vieira, pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mendakwa bekas pemain Arsenal yang sering ditimpa kecederaan yang bertubi-tubi, Abou Diaby merupakan pemain yang lebih baik daripada beliau.

Paul Pogba meletakkan Diaby sebaris dengan beberapa pemain ternama dan handalan dunia yang lain seperti Toni Kroos, Andres Iniesta, David Silva, dan Kevin De Bruyne.

Ketika ditemu ramah oleh stesen televisyen Canal+, Pogba telah ditanya siapakah pemain tengah yang lebih baik daripada beliau ketika ini.

“Andres Iniesta, beliau mempunyai karier yang sangat menakjubkan. Luka Modric, Toni Kroos, David Silva, Kevin De Bruyne, Yaya Toure dan mungkin juga Abou Diaby.”

“Dari segi box to box, Diaby merupakan pemain yang hebat tetapi malangnya beliau sering ditimpa kecederaan. Anda boleh lihat kemampuan beliau ketika bermain untuk Arsenal. Beliau merupakan pemain yang cukup hebat, tetapi umum telah melupakan beliau.”

“Dalam pasukan kebangsaan Perancis, beliau pemain yang ‘besar’. Saya sangat menghormati beliau. Saya tidak akan melupakan Diaby kerana saya banyak belajar dari beliau.”

Mungkin karier Abou Diaby tidak seindah pemain bintang yang lain dan dibelenggu kecederaan yang membawa kepada persaraan serta gagal mempamerkan potensi sehingga ke kemuncak namun Abou Diaby masih lagi menjadi contoh pemain box-to-box terbaik sehingga ke hari ini.

BACA:  Abang Pogba Terlibat Dengan Gangster, Pau Adik Sendiri RM58 Juta