AC Milan Mahu Melantik Simon Kjaer Menjadi Ketua Pasukan Selepas Melihat Ciri Kepimpinannya

AC Milan ketika ini sedang mempertimbangkan untuk melantik Simon Kjaer menjadi ketua pasukan, selepas melihat aksi heroic beliau menyelamatkan nyawa rakan sepasukannya, Christian Eriksen.

Rakan sepasukan Kjaer bersama skuad kebangsaan Denmark, Christian Eriksen tumbang ketika aksi bertemu Finland kemarin.

Dan pemain centre-back itu merupakan pemain pertama yang memberikan bantuan kepada Eriksen dalam keadaan yang sungguh tenang.

Bintang berusia 32 tahun itu memastikan rakan senegaranya tidak tertelan lidah sendiri dan memberikan bantuan CPR kepada Eriksen sebelum pihak petugas kesihatan tiba.

Para peminat Milan dengan segera memastikan #KjaerCapitano trending di media sosial selepas melihat insiden tersebut, dan terdapat laporan yang menyatakan permintaan peminat itu bakal dikabulkan oleh pihak kelab.

La Gazetta dello Sport melaporkan yang pihak kelab terharu dengan usaha para peminat yang menunjukkan tanda sokongan mereka pada Kjaer.

Pengurus pasukan Stefano Pioli bersama barisan kejurulatihannya ketika ini sedang dalam perbincangan untuk menjadikan Kjaer sebagai ketua pasukan.

Rakan sepasukan Kjaer, yang juga bermain di posisi centre-back, Alessio Romagnoli merupakan ketua pasukan Milan ketika ini, namun beliau kekurangan minit permainan ketika beraksi dibawah kendalian Pioli.

Gianluigi Donnarumma berkemungkinan calon terbaik untuk diangkat menjadi ketua pasukan, namun penjaga gol Itali itu bakal meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat penghujung musim lalu.

Franck Kessie dan Davise Calabria juga merupakan calon untuk menjadi ketua pasukan, namun aksi heroic Kjaer menjadikan beliau calon terbaik yang dilihat mampu menggalas tugas sebagai seorang pemimpin.

Pemain centre-back itu sudah menjadi ketua pasukan untuk skuad kebangsaannya dan beliau jelas telah menunjukkan mengapa dirinya layak untuk menggalas tugas tersebut.

Selain aksi heroic beliau yang menyelamatkan nyawa Eriksen, bekas pemain pertahanan Sevilla itu juga dipuji kerana tindakan beliau menyuruh pemain membuat tembok mengelilingi rakan sepasukannya yang sedang menerima rawatan di atas padang.

Ia bertujuan untuk memastikan para peminat tidak melihat atau mengganggu doktor dan petugas perubatan untuk memberi rawatan pada Eriksen.

Beliau juga merupakan individu yang paling berperanan ketika menenangkan rakan sepasukannya yang lain, termasuklah memujuk kekasih Eriksen di tepi padang.

Kjaer masih berada di atas padang ketika Joel Pohjanpalo menjaringkan gol kemenangan untuk Finland, selepas perlawanan yang dihentikan itu disambung semula.

Namun tidak lama selepas itu beliau telah dikeluarkan oleh pengurus pasukan kerana merasakan beliau sudah mula beremosi.

Ia merupakan perlawanan yang sukar untuk kedua-dua pasukan selepas berlakunya insiden tersebut, dengan Peter Schmeichel sendiri mengakui para pemain tidak mahu meneruskan perlawanan itu.

Denmark selepas ini bakal bertemu Belgium pada Khamis nanti sebelum bertemu Russia pada Isnin hadapan.

Walaupun tewas perlawanan pertama, Denmark masih berkesempatan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Baca Juga

Baca Juga