Adakah ini Lambaian Terakhir Ole Gunnar Solskjaer?

Pengurus Manchester United yang menjadi kesayangan pasukan lawan, Ole Gunnar Solskjaer telah melambai tangan meminta maaf dan berterima kasih kepada penyokong selepas diaibkan Watford 4-1.

Lantaran itu terdapat satu persoalan, adakah ini lambaian terakhir Ole Gunnar Solskjaer?

Manchester United mempamerkan permainan yang sangat teruk ketika menentang Watford terutamanya pada separuh masa pertama menyaksikan Watford mendahului dua gol tanpa balas.

Pada babak kedua, Donny Van De Beek merapatkan jurang dan menjadi gol semangat Manchester United yang terus menyerang mencari gol penyamaan.

Namun pada minit ke-70, Setan Merah terpaksa bermain 10 orang selepas ketua pasukan, Harry Maguire mengutip kad kuning kedua sekaligus membawa kepada kad merah.

Ketika memasuki masa kecederaan Watford membunuh perlawanan dengan gol ketika dan gol keempat hadir sebelum wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan.

Selepas tamat perlawanan, pemain Manchester United memberi penghargaan kepada peminat yang hadir di stadium keramat Watford, Vicarage Road Stadium.

Kemudian Ole Gunnar Solskjaer dirakam hadir dari belakang mengangkat tangan kemudian menepuk tangan dengan wajah yang sugul sarat dengan emosi.

Reaksi Ole Gunnar Solskjaer itu seperti satu lambaian terakhir, lambaian selamat tinggal yang membawa maksud terima kasih dan minta maaf.

Sepanjang perlawanan ini juga dapat dilihat bahasa badan Ole Gunnar Solskjaer yang nampak tidak selesa dan gelisah tidak seperti selalu tambahan pula selepas ketinggalan dua gol.

Jika ini merupakan lambaian terakhir Ole Gunnar Solskjaer, ini merupakan satu berita duka buat penyokong pasukan lawan dan berita gembira untuk Setan Merah.

Ikon Arsenal, Martin Keown mendakwa dia ternampak “air mata” di mata Ole Gunnar Solskjaer selepas Manchester United tewas kepada Watford dan meramal masanya sudah tiba untuk Ole pergi.

“Melihat Solskjaer, dia hampir menitiskan air mata,” Ujar Martin Keown kepada BBC One.

“Saya tidak cuba menambah garam ke luka tetapi dia menunjukkan tanda-tanda ‘apabila hujan turun ia akan menitik’.”

“Ada riak wajahnya di mana saya fikir, adakah ini akan berakhir?”

Rio Ferdinand pula tanpa berselindung dan dengan pula berkata beliau tidak gembira untuk melihat pengurus kehilangan kerja tetapi keadaan tidak bagus dan perlukan perubahan.

“Saya tidak mengatakan saya suka dan gembira untuk mengatakan bawah seorang pengurus akan kehilangan pekerjaannya.”

“Perkara tidak berjalan lancar jadi mungkin perlu ada perubahan untuk memperbaiki keadaan.”

Jelas disini, Rio Ferdinand juga mahukan Ole Gunnar Solskjaer dipecat atau mungkin lebih bagus jika meletakkan jawatan kerana ini jalan terakhir untuk Setan Merah terus memberi saingan musim ini.

Watford 4-1 Manchester United

Saingan Premier League kembali bersambung selepas memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa untuk kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar dan beberapa negara sudah pun melayakkan diri.

Sudah pasti perlawanan Manchester United menjadi tumpuan dan dunia bola sepak mahu menyaksikan apakah perubahan dan taktika genius yang akan dipamerkan oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus Manchester United hampir sahaja dipecat sebelum diberi 3 peluang yang hanya mencatatkan satu kemenangan. Ahli Lembaga Pengarah pula telah menyatakan sokongan kepada Ole untuk terus kekal.

Scott McTominay terselamat pada awal permainan selepas menerjah tanpa akal Ismaila Sarr untuk sepakan penalti dan tiada kad dari pengadil.

Sepakan Ismaila Sarr berjaya ditepis David De Gea dan pantas disambar untuk gol pembukaan namun dibatalkan kerana pemain sudah memasuki kotak sebelum sepakan dibuat.

Sepakan semula diambil Ismaila Sarr dan David De Gea sekali lagi berjaya menyelamatkan bola bagi menutup aib buat Manchester United.

Selepas 25 minit permainan jelas perlawanan dikuasainya sepenuhnya oleh Watford yang nampak bertenaga dan Manchester United hanya berjaya membuat satu percubaan tanpa percubaan tepat.

Teruk permainan yang dipamerkan Manchester United yang terpaksa bertahan sehingga Cristiano Ronaldo terpaksa turun ke bawah untuk membantu.

Kualiti pemain Watford menafikan mereka menjaringkan gol yang banyak lantaran kualiti penyudah yang agak tumpul terutamanya dari Ismaila Sarr.

Akhirnya Joshua King membuka tirai jaringan dengan satu tolakan mudah selepas menghuru-harakan benteng pertahanan Manchester United pada minit ke-28.

Marcus Rashford cuba membalas dan hampir menyamakan kedudukan sejurus selepas jaringan King namun Ben Foster lebih bersedia menafikan percubaan itu.

Joshua King hampior menggandakan kedudukan pada minit ke-40 melalui satu tandukan bebas yang ditumbuk oleh David De Gea dan rembatan susulan Moussa Sissoko tersasar.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Ismaila Sarr yang mempunyai peluang tidak terbatas akhirnya menggandakan kedudukan dengan satu rembatan padu.

Mana barisan pertahanan Manchester United menghilang? Kiri kanan bocor dengan teruknya. Mudah saja Watford masuk.

Entah apa yang dilakukan oleh pemain Manchester United sangat teruk permainan mereka, tahan bola macam pemain liga super, hantaran ke laut, hilang bola mudah dan positioning ke bulan.

Silap pemain atau Ole Gunnar Solskjaer? Atau ini satu bantahan dari pemain supaya Ole out?

Tiada apa yang mampu dilakukan Ole Gunnar Solskjaer untuk separuh masa kedua melainkan melakukan dua pertukaran dengan mengeluarkan Scott McTominay dan Marcus Rashford.

Donny Van De Beek yang dipinggirkan sekian lama masuk bersama dengan pemain sensasi dan kesayangan ramai, Anthony Martial yang kehebatannya diketahui ramai.

Hanya lima minit diperlukan Donny Van De Beek membuktikan kehebatan apabila menjaringkan gol pertama buat Manchester United dalam perlawanan ini.

Cristiano Ronaldo tidak tamak apabila menanduk bola kepada Van De Beek yang tidak dikawal dan mudah buat pemain Belanda di melakukan satu sundulan aras rendah ke gawang terbuka.

Bruno Fernandes hampir saja menjaringkan gol penyamaan namun percubaannya tersasar dan percubaan Cristiano Ronaldo pula berjaya digagalkan Ben Foster.

Tempoh 15 minit pertama di babak kedua ini teramat jauh bagus permainan Manchester United berbanding keseluruhan permainan di babak pertama.

Permainan bertambah baik dan gol dari Van De Beek nyata menyuntik semangat kebangkitan buat Manchester United sehinggalah minit ke-70.

Harry Maguire telah dilayangkan kad kuning kedua selepas menerjah keras Tom Cleverly, tiada pilihan untuk pengadil melainkan menghalau Maguire dari padang permainan.

Bermain 10 orang seperti tidak memberi kesan kepada Manchester United yang terus menekan Watford untuk mencari gol penyamaan.

Ronaldo berjaya menjaringkan gol penyamaan dengan memperdayakan pertahanan Watford namun dibatalkan kerana jelas offside ketika menerima hantaran Van De Beek.

Pada minit ke-85, Luke Shaw terpaksa dikeluarkan selepas bola terkena kepalanya dan terus digantikan dengan Diogo Dalot.

Sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik Setan Merah gagal disempurnakan Ronaldo yang mampu mengubah keputusan perlawanan.

Ketika Manchester United galak mencari gol penyamaan Joao Pedro membunuh perlawanan dengan gol ketiga di masa kecederaan.

Tidak cukup dengan itu, Emmanuel Dennis memerah limau ke luka dengan gol keempat ketika pengadil hampir saja meniup wisel penamat.

Kekalahan kelima Setan Merah dalam tujuh perlawanan terakhir. Adakah Ole Gunnar Solskjaer akan terus terselamat dengan keaiban terbaru ini?

BACA:  Ole Tolak Tawar Menawar Bakal Terima Pampasan RM42.19 Juta