Adakah Musim Ini Penghujung Era Mohamed Salah di Anfield?

Arne Slot memberi komen sederhana mengenai kemenangan sukar Liverpool di Stadium Vitality.

Pengendali dari Belanda itu membincangkan jurang tipis yang menentukan perlawanan serta “sedikit tuah” yang memihak kepada pasukannya. Dia memuji Bournemouth kerana memberikan saingan kuat kepada Liverpool dan menghargai usaha pemainnya yang berjuang habis-habisan untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya.

Kemudian, Slot berhenti sejenak sebelum senyuman terukir di wajahnya. “Mempunyai Mohamed Salah dalam perlawanan seperti ini memang sangat membantu,” katanya.

Kenyataan itu memang benar. Sekali lagi, Salah menjadi pemisah antara kemenangan dan kegagalan dan membawa Liverpool selangkah lebih dekat ke arah kejuaraan liga.

Salah kekal tenang ketika menanti keputusan VAR yang agak lama. VAR akhirnya mengesahkan Cody Gakpo tidak berada dalam posisi ofsaid dan dia juga telah dikasari oleh Lewis Cook pada babak pertama. Salah dengan yakin merembat bola sepakkan penalti ke sudut bawah gawang.

Pada babak kedua Liverpool menghadapi detik-detik getir tetapi Salah menenangkan keadaan 15 minit sebelum tamat melalui  satu jaringan lencong cantik ke penjuru gawang. Memang benar, kehadiran Salah di atas padang memberikan kelebihan besar buat Liverpool.

Statistik Luar Biasa Mohamed Salah

Rekod Salah pada musim ini cukup mengagumkan. Baru sahaja memasuki bulan Februari, dia sudah mencatat 25 gol dan 17 bantuan dalam 33 perlawanan di semua pertandingan. Tiada penyerang di 5 liga utama Eropah mampu menyaingi statistik ini. Secara purata dia menghasilkan gol atau bantuan setiap 66 minit.

Lupakan sahaja anugerah Pemain Terbaik Tahunan, Salah kini meletakkan dirinya sebagai calon Ballon d’Or.

Dua jaringannya pada minggu lepas meletakkannya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 21 gol, 3 gol di hadapan Erling Haaland. Salah mencapai angka ini dengan expected goals (xG) sebanyak 17.3. Angka itu menunjukkan keupayaannya menyempurnakan peluang lebih tinggi daripada jangkaan.

Ini merupakan kali ke-5 dalam 8 musim di Liverpool Salah menjaringkan lebih 20 gol liga. Kali pertama sejak musim 2021-22.

“Rasanya sangat baik,” kata Salah kepada Sky Sports. **“Menjaringkan gol dan membantu pasukan menang, ia perasaan yang luar biasa.

“Tetapi saya telah banyak kali mengatakan matlamat utama saya musim ini adalah untuk memenangi Liga Perdana bersama pasukan. Kami sedang berada di landasan yang betul.”

Dengan prestasi seperti ini, Liverpool sukar dihentikan. Kali terakhir Salah begitu prolifik adalah pada musim pertamanya di Anfield. Ketika itu dia mencipta pelbagai rekod baharu.

Purata 0.93 gol setiap 90 minit dalam liga musim ini hampir menyamai rekod terbaiknya 0.99 pada 2017-18. Ia sekaligus menutup mulut pengkritik yang meramalkan kejatuhannya pada penghujung musim lalu.

Sebagai perbandingan, ketika dia menjaringkan 44 gol dalam semua pertandingan pada musim 2017-18, ketika itu dia sudah mengumpul 26 gol menjelang Februari.

Musim ini, catatan 0.58 assist setiap 90 minit adalah yang tertinggi sepanjang kariernya di Liverpool. Ia membuktikan dia bukan sekadar seorang penyudah berbisa tetapi juga pencipta gol utama. Walaupun dia tidak lagi memiliki kepantasan seperti dahulu tetapi kebijaksanaan taktikalnya semakin tajam.

Adakah Ini Musim Terakhirnya di Liverpool?

Persoalan besar yang masih berlegar: Adakah ini musim terakhir Mohamed Salah di Liverpool? Kontraknya akan tamat dalam 5 bulan lagi.

Perbincangan mengenai lanjutan kontraknya masih berlangsung. Liverpool mahu mengekalkannya selepas dia menyambut ulang tahunnya yang ke-33 pada Jun nanti tetapi tawaran itu perlu memberi manfaat kepada kelab dari segi kewangan.

Salah semakin hampir untuk membuat pilihan antara menandatangani kontrak baharu di Anfield atau menerima tawaran lumayan dari Liga Pro Saudi. Kelab seperti Al Hilal dilaporkan berminat untuk mendapatkannya sebelum Piala Dunia Kelab.

Jika keputusan dibuat berdasarkan faktor kewangan, Salah akan ke Arab Saudi kerana Liverpool tidak akan mampu menyaingi gaji tinggi yang ditawarkan di sana. Salah pasti mahu mempertimbangkan legasinya dalam Liga Perdana.

Adakah dia benar-benar bersedia meninggalkan pentas utama ketika masih berada di kemuncak prestasi?

Sejak awal musim ini Salah telah mengatasi Jermain Defoe, Robbie Fowler, Thierry Henry dan Frank Lampard dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana sepanjang zaman. Kini dia berada di tempat ke-6 dengan 178 gol.

Salah hanya 6 gol di belakang Sergio Aguero, pemain luar negara dengan jumlah jaringan tertinggi di liga. Jika dia terus menjaringkan gol, dia akan memintas Andrew Cole (187 gol) dalam masa terdekat.

Jika Salah kekal, dia berpeluang untuk memecahkan rekod peribadinya 32 gol liga pada 2017-18, sekali gus melonjak ke empat teratas dalam senarai penjaring sepanjang zaman.

Dengan satu musim lagi, dia mungkin boleh memintas Wayne Rooney (208 gol) dan Harry Kane (213 gol). Jika itu berlaku hanya Alan Shearer (260 gol) yang akan kekal di hadapannya.

Legenda Liverpool yang Abadi

Bagi seorang pemain sayap kanan, jumlah gol yang dicatatkan oleh Salah adalah cukup luar biasa. Ketahanan dan konsistensinya di Liverpool sangat mengagumkan.

Dengan 236 gol dalam semua pertandingan, dia semakin menghampiri rekod Gordon Hodgson (241 gol) yang berada di tempat ke-3 dalam senarai penjaring terbanyak Liverpool sepanjang zaman. Jika dia bertahan 2 tahun lagi di Liverpool, dia boleh mengatasi Roger Hunt (285 gol).

Namun rekod Ian Rush (346 gol) sukar dipecahkan.

Status legenda Salah di Anfield sudah terjamin. Dia sudah dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik Liverpool sepanjang zaman tetapi jika dia kekal lebih lama, warisannya akan menjadi lebih kukuh.

Raut wajah kecewanya ketika nombor 11 naik di papan pertukaran menentang Bournemouth menceritakan segalanya. Walaupun dia mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong pelawat, dia kecewa kerana tidak dapat melengkapkan hatrik. Salah sentiasa dahagakan kejayaan yang lebih besar.

Dia layak mendapat kontrak baharu yang mencerminkan statusnya dalam dunia bola sepak. Tetapi persoalan utama adakah dia benar-benar mahu meninggalkan Liverpool dalam masa terdekat ini?

BACA:  Klopp: Hilang 'Mojo' Punca Sebenar Liverpool Tewas