Adnan Januzaj : Prospek Masa Depan Yang Dinilai 40 Juta Pound Satu Ketika

Era David Moyes boleh dikatakan gagal di Manchester United. Terperosok buat kali pertama di tangga ketujuh liga setelah menikmati era kemasyhuran pengurus terbaik sepanjang zaman, Sir Alex Ferguson.

Di sebalik kisah kegagalan tersebut, Moyes berjaya menggilap seorang bakat yang satu ketika namanya disebut sebagai “Next Ryan Giggs”. Beliau adalah Adnan Januzaj.

Bakat Januzaj sejak kecil lagi dikesan sebagai salah seorang pemain bolasepak prospek masa depan di Belgium. Lantas, Manchester United menyambar untuk diserapkan dalam pasukan akademi.

Bermula dari sini, Januzaj meningkat menjadi seorang pemain yang luar biasa dan berjaya menempuhi diri ke pasukan utama Manchester United.

Terima Kasih David Moyes

“Early peak” pemain ini pada peringkat awal sungguh mengagumkan, musim 2013/2014 adalah musim yang paling diingati peminat Manchester United sehingga menyanyikan satu chant khas untuk Januzaj yang berbunyi,

I wanna tell you,
I might as well do,
About a boy who can do anything,
His name is Adnan,
He comes from Belgium,
Januzaj, Januzaj, Januzaj!

Begitulah aura pemain muda ini berkembang pantas dan mula diminati sehingga diperdebatkan negara mana bakal diwakili Januzaj sama ada Albania,Kosovo, Belgium dan England (pemain yang beraksi di England sebelum berumur 21 tahun layak mewakili England).

Akhirnya, Januzaj memilih untuk mewakili Belgium dan telah dipanggil beraksi oleh Marc Wilmots, jurulatih Belgium untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014. Ternyata David Moyes orang penting dalam mencorakkan karier bolasepak Januzaj.

Kepercayaan kepada pemain muda sejak mengendalikan Everton sewajarnya diberi kredit dan kegagalan mengendalikan kelab sebesar Manchester United adalah cabaran getir mana-mana pengurus di dunia.

PSG Hampir Membida 40 Juta Pound

Bakat Januzaj semakin menyerlah sehingga menarik minat gergasi Perancis, Paris St Germain. Laurent Blanc, pengurus ketika itu telah membuat bidaan secara rasmi sebanyak 15 juta pound pada pintu perpindahan januari tapi pantas ditolak Manchester United.

Media bertiup kencang PSG bakal meningkatkan bidaan kepada 40 juta pound. Manchester United terus membuat keputusan untuk menyambut kontrak Januzaj bagi mengelakkan perkara yang sama terjadi pada Paul Pogba.

Akhirnya, Januzaj menandatangani kontrak lanjutan 75 000 ribu pound seminggu sehingga tahun 2018.

Pemecatan Moyes Malapetaka Bagi Januzaj

Kekalahan demi kekalahan yang ditanggung Manchester United membuatkan kemarahan peminat semakin membuak-buak. Kain rentang yang direntangkan di udara bertulis, Wrong One – Moyes Out” sebelum match di antara Manchester United dan Aston Villa semakin mendesak lembaga pengurusan Manchester United.

Akhirnya, tidak sampai 10 bulan mengendalikan Manchester United, Moyes telah dipecat dan digantikan sementara Ryan Giggs sebagai player-manager ketika itu.

Manchester United mengumumkan bakal melantik Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United berkuatkuasa selepas Piala Dunia 2014 di Brazil. Era Van Gaal telah menyaksikan Januzaj telah terpilih untuk menyarung jersi keramat 11 milik Giggs.

Van Gaal juga merancang untuk menjadikan Januzaj pemain yang mempunyai gaya permainan seperti Arjen Robben.

Serba tidak menjadi di peringkat awal pengurusan Van Gaal, Januzaj gagal untuk menyerlahkan potensinya seperti pada era Moyes. Walaupun berjaya menjaringkan gol setelah setahun kemarau gol, gameplay Januzaj secara keseluruhan dinilai teruk kerana banyak kehilangan bola dan mudah dijatuhkan (diving).

Akhirnya menyaksikan perpindahan pinjaman pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas 2014/2015 ke Borussia Dortmund.

Dortmund Memungkiri Janji, Januzaj Gagal Tempatkan Diri

Karier Januzaj serba tidak menjadi di Dortmund. Kelab kedua terbaik di Bundesliga ini cukup terkenal sebagai kilang menghasilkan bakat bolasepak Jerman seperti Mario Goetze dan Marco Reus.

Januzaj hanya mampu beraksi 3 kali sahaja sebagai kesebelasan utama dan kedua-dua kelab telah mencapai kata sepakat untuk memendekkan tempoh pinjaman yang membawa kepulangan Januzaj ke Old Trafford pada perpindahan musim sejuk.

Karier Januzaj Semakin Merudum, Prospek Masa Depan Kepada Pemain Lelong

Karier Januzaj semakin bertambah buruk apabila pulang ke Old Trafford. Siri kecederaan yang melanda dan hanya diberi peluang beraksi bersama skuad simpanan menjadikan bakat Januzaj disia-siakan.

Walaupun Van Gaal mengetengahkan ramai pemain muda dari akademik seperti Marcus Rashford, Timothy Fonsu Mensah, Cameron Bortwick Jackson dan James Wilson, Januzaj masih gagal menempatkan diri.

Kemasukan Memphis Depay Dan Anthony Martial semakin membantutkan karier dan potensi di posisi tersebut.

Pendapat Penulis Untuk Adnan Januzaj

Januzaj perlu membina kembali karier beliau dengan cara keluar dari Manchester United. Tempoh pinjaman di Sunderland juga boleh dikatakan gagal kerana beliau telah diberi peluang membutikan diri tapi gagal diterjemah di dalam padang.

Manchester United bukan kelab terbaik untuk membina karier kecuali dengan semangat juang yang tinggi seperti ditunjukkan Cristiano Ronaldo yang wajar dijadikan inspirasi. Januzaj juga perlu memperbetulkan sikap di dalam dan luar padang.

Ramai pemain muda seperti beliau yang telah dicanangkan sensasi oleh media pada awal karier mereka hilang potensi yang digarap tanpa halatuju. Sepatutnya pemain muda ini perlu diberi penekanan disiplin yang tinggi untuk mengawal cabaran di luar padang sebagai cara meningkatkan mutu permainan.

Contoh pemain yang gagal memenuhi potensi seperti Anderson, pernah memenangi Anugerah Golden Boy 2008 gagal memenuhi potensi yang kerana masalah disiplin yang tidak ditangani dengan baik.

Bagi pandangan peribadi penulis, Adnan Januzaj seorang “overrated player” atas faktor telah disensasikan oleh media kerana beliau produk yang muncul dari salah satu kelab terbesar di dunia.

Kenyataan media Jose Mourinho baru-baru ini juga telah menimbulkan teka-teki masa depan Januzaj. Peminat bolasepak rata-rata telah mengenali corak pengurusan Mourinho yang gemar membeli pemain bintang berbanding membina pemain bintang.

Budaya bolasepak moden mendambakan kejayaan segera melalui kuasa wang menjadikan kelab yang tidak mempunyai sejarah meningkat secara mendadak.

Semoga karier Adnan Januzaj bertambah baik pada masa depan. Beliau baru berumur 21 tahun, umur yang masih belum terlambat untuk bangkit menjadi salah satu pemain terbaik di dunia.

Manchester United perlu meletakkan klausa khas seperti Memphis Depay andai ingin melepaskan pemain ini. Beliau wajar untuk membuktikan bakat beliau kepada dunia sekali lagi.

Cadangan kelab untuk Januzaj mengembalikan karier :

1) Monaco
2) Benfica
3) Sevilla
4) Roma

******

Penulis adalah seorang yang mengguna nama pena @apizjanuzaj

******

Artikel ini telah ditulis oleh apizjanuzaj untuk disiaran oleh The Sukan

Baca Juga

Baca Juga