Adnan Saidin Lagenda Libas Dunia

Setiap sukan mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Sukan badminton dengan gaya bertahan yang menarik, smash yang kencang, serta footwork yang pantas. Bola sepak pula dengan skill yang dilakukan para pemain membuatkan ramai penonton terpukau.

Kemampuan melakukan sesuatu yang menarik menjadi daya tarikan dalam permainan yang dimainkan. Kualiti permainan yang baik hanya dapat dilakukan oleh pemain yang tertentu sahaja.

Perkara utama yang paling terkesan dengan kemampuan pemain ialah akan dilabel sebagai lagenda. Segala kejayaannya dalam arena yang dilibatinya akan dikenang dan dijadikan idola kepada masyarakat dunia.

Maka dengan itu, seluruh peminat sepak takraw semestinya tidak akan terlepas mengenali seorang lagenda yang lahir dalam sukan sepak takraw. Seorang pelibas yang kaya dengan seni libasnya disertakan kelajuan bola libasnya yang menjadi igauan setiap lawan.

MULA MENGENALI SEPAK TAKRAW

Adnan Saidin bukanlah memiliki bakat yang luar biasa apabila mempunyai libasan yang memukau. Beliau juga seperti orang lain yang berjaya kerana beliau bermula dari bawah. Beliau mula belajar bermain sepak takraw ketika beliau masih berumur 10 tahun.

Anak kelahiran Alor Setar ini bejinak-jinak pada usia kanak-kanak dan remaja sebelum bergiat aktif dalam sukan warisan ini.

MEWAKILI NEGERI DAN NEGARA

Kemampuannya bermain dengan penuh bakat memberikan dirinya peluang untuk melibatkan diri pada peringkat yang lebih tinggi. Beliau mendapat peluang untuk mewakili negeri dan negara pada tahun 1976. Pada waktu inilah banyak kejayaan yang beliau kecapi selain mencapai peringkat terbaik dalam kariernya.

Pada waktu ini juga beliau mula dikenali di seluruh dunia yang mengamalkan sepak takraw terutama di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara. Beliau pernah beberapa kali secara tidak sengaja mencederakan pihak lawan sehingga ada yang mengalami kesesakan nafas akibat beberapa kali terkena bola libasan beliau ketika melakukan hadangan.

Tidak kurang juga ada yang mengalami pendarahan ketika menghadang bola beliau. Kejayaan demi kejayaan telah dikecapinya ketika bergelar pemain. Tidak kira sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Antara kejayaan yang dikecapinya ialah

  1. Memenangi pingat emas sukan Sea pada tahun 1979-1985.
  2. Mendapat gelaran pemain terbaik Asia pada tahun 1984 ketika bergandingan bersama Raziman Hassan dan Azman Ismail.
  3. Gelaran Raja Sepak Takraw Asia pada tahun 1986

BERSARA SEBAGAI PEMAIN SEPAK TAKRAW

Kejayaannya pada tahun 1986 itu merupakan kejayaannya yang paling besar sebelum beliau mengambil keputusan untuk bersara pada tahun itu juga.

Kejayaannya itu adalah sesuatu yang diluar jangkaannya kerana beliau hanya bermain bagi mengharumkan nama negara yang ketika itu bertarung dengan musuh tradisi, Thailand pada peringkat akhir.

Ketika itu Malaysia berjaya mengatasi Thailand. Anugerah itu disampaikan oleh Dato’ Seri Najib yang merupakan menteri belia dan sukan pada ketika itu.

Setelah bersara, beliau tetap aktif dalam sukan ini. Beliau juga telah dilantik sebagai jurulatih negeri kelahirannya pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.

Sebagai kesimpulan, ketahuilah setiap yang bergelar lagenda bermula daripada bawah. Usaha dan kesungguhan yang menjadi perkara utama dalam membentuk diri menjadi seorang yang berkualiti.

Oleh itu, bersediakah anda menjadi lagenda seterusnya?

Nota : Artikel ini telah di tulis oleh AHMAD NUR AMMAR.

Baca Juga

Baca Juga