Afiq Fazail Mahu Aksi Lebih Baik Bagi Perlawanan Kedua Menentang Korea Utara

Bagi seorang pemain muda, peluang untuk mewakili pasukan senior kebangsaan bukanlah satu tugas yang mudah.

Ditambah pula harapan berjuta rakyat Malaysia yang mahukan pasukan bolasepak mereka mempamerkan aksi yang cemerlang dan mampu meraih kemenangan.

Itulah perkara yang terpaksa dilalui Afiq Fazail ketika Malaysia tewas 4-1 di tangan Korea Utara semalam dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 yang diadakan di Stadium Buriram.

Afiq melakukan debut rasmi beliau bersama pasukan kebangsaan dan terus diberi kepercayaan untuk membantu mengemudi jentera tengah di samping Nazmi Faiz dan Syameer Kutty Abba.

Malangnya, perlawanan pertama beliau berakhir dengan kekalahan dan menjadi pengalaman pahit yang beliau terpaksa hadapi sepajang kariernya.

Walaubagaimanapun, pengalaman beraksi dalam perlawanan berskala besar begini pasti akan membantu Afiq menjadi pemain yang lebih baik selepas ini.

Pemain muda Johor Darut Takzim (JDT) ini diletakkan bermain di bahagian tengah dalam formasi 4-5-1. Vingada menugaskan beliau untuk menyekat sebarang gerakan dari tengah pasukan lawan dan membantu bahagian pertahanan negara ketika bertahan.

Segalanya seperti tidak kena buat Malaysia dalam perlawanan tersebut dan Korea Utara masuk ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa dengan kelebihan dua gol tanpa balas.

Syameer Kutty dikeluarkan masuk separuh masa kedua dan Kiko Insa kembali diletakkan di bahagian tengah. Afiq pula akhirnya dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 23 minit lagi dengan pemain Pahang, Nor Azam Azih dimasukkan untuk menambah kreativiti pada bahagian serangan.

Malangnya, Korea Utara berjaya menjaringkan dua gol lagi pada separuh masa kedua dan Malaysia hanya mampu meraih gol saguhati menerusi Safawi Rashid untuk menjadikan kedudukan akhir 4-1.

Berbalik kepada persembahan Afiq dalam perlawanan tersebut, beliau dilihat sibuk untuk sepanjang perlawanan kerana Korea Utara melancarkan serangan bertali arus ke kubu Malaysia. Afiq jarang mendapat peluang untuk merencana gerakan serangan kerana sibuk membantu barisan pertahanan.

Permainan beliau pada perlawanan tersebut jelas berbeza dengan apa yang selalu dialaminya ketika bermain dengan JDT dimana kelab yang diwakilinya sering mempunyai penguasaan bola. Afiq Fazail dipetik berkata kepada pemberita selepas tamat perlawanan:

“Memang perlawanan semalam amat buruk buat kami tetapi ini adalah pengalaman baru buat saya. Kami bermain menentang pasukan yang amat bagus dan saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya sendiri. Masih banyak perkara yang harus saya pelajari. Pasukan lawan amat berbeza, dari segi saiz dan teknik yang mereka miliki. Mereka mempunyai kualiti yang berbeza tetapi kami harus kembali bersatu bagi menampilkan persembahan yang lebih meyakinkan pada perlawanan kedua nanti.”

Debut rasmi Afiq Fazail dalam perlawanan semalam merupakan satu penghargaan hasil persembahan cemerlang beliau bersama JDT musim ini. Afiq bukan sahaja berjaya menembusi pasukan utama JDT, tetapi telah bermain banyak perlawanan yang melibatkan JDT dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Pujian buat Afiq kerana beliau adalah salah seorang pemain yang mampu keluar dengan kredit dari perlawanan Korea Utara kerana berjaya menampilkan permainan yang baik walaupun ianya perlawanan pertama beliau bersama Malaysia.

Baca Juga

Baca Juga