Aidil Zafuan Sedia Berjuang Andai Khidmatnya Diperlukan

Senarai 29 pemain ke kem latihan pusat Harimau Malaya telah didedahkan semalam dan sepertinya khidmat Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak masih ditagih oleh Kim Pan-gon.

Walau nama beliau tidak tersenarai dalam senarai 29 pemain itu, namun nama Aidil tetap tersenarai dalam senarai menunggu untuk dipanggil.

Pemain yang telah memenangi sembilan kali gelaran Liga Super Malaysia itu jelas sekali mempunyai pengalaman luas yang sangat ditagih oleh Kim Pan-gon.

Kerana itu jugalah mungkin beliau tetap dipanggil dan namanya berada dalam senarai menunggu.

Bercakap dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Aidil Zafuan mendedahkan bahawa:

“Jika di JDT kita memang main lebih kurang sama dengan skuad kebangsaan.”

“Kalau orang tanya err, kalau saya secara peribadi, formasi ini adalah baru bagi saya, because saya dibesarkan bermain sebelum ini dengan 4-4-2 dan jarang bermain dengan tiga defender.”

Kapten Marvel Malaysia itu juga turut mendedahkan yang beliau sentiasa bersedia untuk berjuang andai Kim Pan-gon memerlukan khidmatnya.

“So apa pun itu bukan alasan untuk saya tak boleh bagi full komitmen untuk pasukan, yang penting saya perlu fokus, apa yang dirancang oleh pasukan itu bergantung kepada coach lah.”

“Kalau sekiranya dia memerlukan khidmat saya, saya sedia beri yang terbaik untuk skuad kebangsaan.”

Beliau jelas sekali sentiasa bersedia untuk kembali beraksi andai Kim Pan-gon menagih khidmatnya.

Senarai yang didedahkan itu juga sepertinya tidak diterima dengan baik oleh para peminat, apa lagi ketika melihat nama De Paula turut ada dalam senarai tersebut.

Tidak pasti bila Kim Pan-gon melihat aksi De Paula musim ini hingga tergamak beliau menyenaraikan nama pemain naturalisasi itu dalam senarai pemain ke pusat latihan Harimau Malaya.

Tak ada minit permainan dan ditambah memiliki sejarah buruk bersama skuad Harimau Malaya, jelas sekali ramai peminat kecewa melihat namanya ada dalam senarai ini.

Mohamadou Sumareh (JDT) dan Liridon Krasniqi (Odisha) turut berada di dalam senarai 29 pemain yang dipanggil oleh Kim Pan-gon untuk kem latihan pusat kali ini.

Daripada senarai 29 pemain yang mendapat panggilan kali ini, 14 pemain adalah pemain JDT termasuk Syahmi Safari.

Walau bagaimanapun tiada tempat untuk pemain kelahiran United Kingdom, Nathaniel Shio Hong Wan yang telah mempamerkan aksi super mantap bersama JDT di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia.

Turut berada di dalam senarai adalah tiga tonggak Negeri Sembilan, Khair Jones, Khuzaimee Piee, dan penjaga gol  Syihan Hazmi yang turut mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam saingan Liga Super.

Selepas terpaksa diketepikan dari beraksi bertemu Singapura dan Filipina sebelum ini, bintang PJ City, Darren Lok bakal mampu membuktikan kemampuan sebenar beliau dipentas bola sepak antarabangsa kerana nama beliau turut tersenarai.

K. Kogileswaran dan Kalamillah Al-Hafiz turut disenaraikan dalam senarai ini bersama Khairulazhan Khalid (Selangor), Faisal Halim (Terengganu), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman), Dominic Tan (Sabah), Azam Azih (Sri Pahang), Dion Cools (SV Zulte Waregem), Junior Edstal (Chonburi), dan Norshahrul Idlam Talaha (Melaka United).

Kim Pan-gon turut memiliki senarai 11 pemain dalam senarai menunggu untuk dipanggil sertai skuad Harimau Malaya pada ketika ini dengan membariskan pemain-pemain seperti:

Aidil Zafuan, Ramadhan Saifullah, Natxo Insa, Sharul Nazeem, Shahrel Fikri, Zhafri Yahya, A. Selvan, Khatul Anuar (PG), Rizal Ghazali, Nurshamie Iszuan & Arif Fadzillah.

Sumber: Astro Arena

BACA:  Perbezaan Pemain Malaysia dan Singapura Yang Bermain di Luar Negara Menurut Shukor Adan