Selepas 13 Tahun Akhirnya Fabregas Mengaku Membaling Pizza Ke Muka Ferguson

Cesc Fabregas akhirnya mengaku bahawa beliaulah lelaki misteri yang membaling pizza ke muka pengurus Manchester United yang merupakan pasukan paling hebat di muka bumi , Sir Alex Ferguson.

Kejadian tersebut yang digelar Pizzagate kekal menjadi misteri sejak tahun 2004 sehinggalah Cesc Fabregas yang kini merupakan pemain Chelsea mengakui beliaulah insan misteri itu.

Insiden ini telah menjadi perbualan hangat seluruh dunia bola sepak pada ketika itu kerana Manchester United yang power berjaya menewaskan Arsenal yang masih belum menjadi lemah dah lembik dengan jaringan dua gol tanpa balas.

Rooney penjaring gol. Imej : Reuters

Kemenangan Manchester United itu juga telah menamatkan rekod menakjubkan 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal yang mengharungi musim invinsible. Kecewa dan terkedu dengan keputusan itu telah menjadikan pemain menjadi mudah tersinggung.

Kekecohan berlaku dalam terowong antara pemain bintang ketika itu membabitkan Rio Ferdinand, Martin Keown dan Sol Campbell. Mereka dilihat saling tolak menolak, rempuh-merempuh dan menjerit antara satu sama lain seolah-olah tiada pedoman dalam diri.

Dalam insiden tersebut sekeping pizza terbang telah melayang dan menampar muka kemerah-merahan Sir Alex Ferguson telah membuatkan mereka yang berada dalam terowong itu tergamam.

Ferguson terpaksa menukar jaket untuk temuramah kerana pizza tersebut telah menodai jaket beliau.

Muka gembira Fergie sebelum dilempang pizza. Imej : Press Association)

Ashley Cole dalam autobiografinya telah memperincikan kejadian tersebut :

“Semua mata mengalihkan pandangan dengan mulut terlopong melihat pizza singgah ke muka Ferguson yang bermuka ungu tua yang terkenal itu dan pizza itu telah melorot jatuh ke sut hitam yang kelihatan kemas dan segak di badan Fergie.”

Selepas kejadian Ferguson membuat kenyataan :

“Mereka lihat individu yang membaling pizza ke muka aku adalah Cesc Fabregas tapi hingga sekarang aku tak tahu siapa penjenayah pizza yang sebenar.”

Martin Keown juga mengesahkan siapa yang melempar tanpa menyebut nama :

“Seperti aku ceritakan dalam radio beberapa tahun lalu, dari apa yang aku faham, perbuatan ini dilakukan oleh lelaki Sepanyol yang mempunyai teknik yang hebat.

“Bila membuat balingan pizza pun beliau masih mempunyai teknik yang hebat. Beliau baling macam main Frisbee.”

Bertahun-tahun spekulasi berputar dan berkumandang bahawa lelaki Sepanyol yang bernama Cesc Fabregas merupakan petualang dan dalang dalam kejadian Pizzagate.

Akhirnya bekas pemain Arsenal berusia 30 tahun itu merungkaikan segalanya.

Dalam rancangan League of their Own terbitan Sky pada tahun 2017, pengacara rancangan tersebut James Corden telah menyoal Fabregas.

“Bolehkah kita menutup cerita kes pizza terbang buat selamanya? Adakah anda dalang yang membaling pizza tersebut?

YAAAA!!!

Tanpa segan silu dan penuh yakin dengan sekali lafaz Fabregas mengakui satu kebenaran sambil menuduh Martin Keown sebagai pembohong :

“YA!, Martin Keown pembohong sebab masa tu aku nampak Keown depan mata aku sibuk duk menumbuk orang, jadi dia tidak nampak apa-apa.”

“Tiba-tiba aku dengar bunyi bising dan masa tu aku fikir apa yang berlaku? Lalu aku keluar dengan sekeping pizza yang dibawa berlari jauh menyusur terowong yang bising, aku nampak Sol Campbell, Rio Ferdinand, Martin Keown… mereka sedang menolak antara satu sama lain macam darai.”

“Aku nak join sekali tapi aku tak tau lagu mana dan aku terus baling pizza tersebut. Aku hanya baling tanpa berniat mensasarkan kepada siapa.”

Sambil berpaling ke arah kamera Fabregas membuat permohonan maaf kepada Ferguson :

“Aku memohon kemaafan dari mu Sir Alex, sesungguhnya aku tidak berniat untuk melakukannya.”

Akhirnya selepas 13 tahun misteri Pizzagate  yang terjadi pada 2004 telah terungkai pada tahun 2017 dan pesalah utama telah diketahui dengan pengakuan dari Cesc Fabregas.

Kini peristiwa itu telah pun berusia 16 tahun.

Sumber : Mirror

BACA:  Manchester United Tidak Tewas Tetapi Kemenangan Ditangguhkan