Aksi Keji Pemain Vietnam Berlakon Seolah Dipukul Sedangkan Beliau Hanya Ditiup Angin

Aksi berlebih-lebihan Xuan Manh Pham berlakon kesakitan walau tidak disentuh oleh pemain Thailand dikecam teruk oleh para peminat.

Xuan Manh Pham melakukan aksi keji tersebut ketika pertemuan separuh akhir kedua yang menemukan antara Thailand bertemu Vietnam malam semalam.

Perlawanan separuh akhir kedua itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, seterusnya mengesahkan tempat untuk Thailand beraksi di pentas perlawanan akhir saingan AFF Suzuki Cup bertemu Indonesia.

Vietnam turut dengan misi untuk mencari tiga gol dan mereka bahkan sangat yakin misi tersebut akan mampu dicapai pada malam semalam.

Tidak dinafikan anak-anak buah Park Hang-seo tidak henti-henti melancarkan serangan untuk menguji gawang gol Thailand, namun sayangnya tiada gol yang berjaya dijaringkan.

Kecekapan kedua-dua penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom dan penjaga gol simpanan Siwarak Tedsungnoen yang dibawa masuk pada hujung aksi babak pertama jelas sekali menjadi penghalang untuk Vietnam mencari gol awal dalam perlawanan ini.

Skuad Naga Emas itu banyak merencana gerakan bahaya yang boleh menghasilkan gol untuk mereka namun sayang tiada satu pun yang membuahkan hasil.

Thailand walau nampak sedikit didominasi, namun mereka juga sebenarnya berjaya melancarkan beberapa siri serangan merbahaya ke kubu Vietnam dalam perlawanan ini.

Aksi berlebih-lebihan Xuan Manh Pham

Pada minit ke-82 permainan, Park Hang-seo telah melakukan dua pertukaran terakhir dengan memasukkan Van Xuan Le dan Xuan Manh Pham, lalu mengeluarkan Ho Tan Tai dan Nguyen Thanh Chung.

Kedua-dua pemain ini diharapkan bakal memberikan impak untuk membantu Vietnam mendapatkan jaringan yang mereka cari.

Walau bagaimanapun, telah berlaku satu insiden panas di hujung minit permainan, selepas Xuan Manh Pham berlakon seolah-olah beliau di siku di muka, namun hakikatnya angin sepoi-sepoi bahasa sahaja yang tertampar mukanya.

Theerathon Bunmathan ketika itu berlari anak melepasi Xuan Manh Pham dan beliau jelas dan nyata langsung tidak menyentuh pemain Vietnam itu ketika melepasinya.

Namun begitu, sebaik Theerathon Bunmathan melepasinya, Xuan Manh Pham terus tersungkur dan memegang mukanya seolah-olah beliau baru saja makan penampar pemain Thailand itu.

Park Hang-seo dan barisan kejurulatihan Vietnam berdiri tegak di garisan tepi padang memaki pengadil secara berjemaah mengharapkan pemain Thailand itu dihukum.

Para pemain di atas padang juga turut sama bertekak dan keadaan pada ketika itu dilihat agak huru-hara, dan mujur saja pengadil perlawanan berjaya mengawal keadaan dengan baik.

Perlawanan tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan, dan Thailand berjaya mara ke perlawanan akhir menerusi aggregate 2-0.

Dua gol Chanatip Songkrasin cukup bawa Thailand ke final

Chanatip Songkrasin membuktikan mengapa beliau dianggap ‘Messi Thailand’ selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan bertemu Vietnam ketika aksi leg pertama awal minggu lalu.

Beliau berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu Thailand menewaskan Vietnam dengan keputusan 2-0 dalam aksi peringkat separuh akhir pertama saingan AFF Suzuki Cup.

Kedua-dua pasukan ini merupakan calon kegemaran untuk memenangi kejohanan pada tahun ini, namun mereka telah dipertemukan di peringkat separuh akhir.

Aksi separuh akhir ini dianggap final sebenar oleh para peminat kerana ia menemukan dua gergasi di rantau Asia Tenggara ini.

Vietnam layak ke peringkat separuh akhir sebagai naib juara kumpulan B, sementara Thailand pula mara sebagai juara dari saingan kumpulan A.

Apa yang menariknya, kedua-dua pasukan layak ke peringkat separuh akhir dengan mereka tidak mencatatkan sebarang kekalahan ketika aksi peringkat kumpulan.

Thailand memiliki rekod 100% di peringkat kumpulan dengan mereka mencatatkan empat kemenangan dari empat perlawanan.

Mereka juga hanya mencatatkan satu sahaja bolos dari kesemua empat perlawanan tersebut dan turut merekodkan 10 gol.

Vietnam pula dari empat perlawanan peringkat kumpulan, mereka berjaya merekodkan tiga kemenangan dan hanya mencatatkan satu sahaja keputusan seri.

Lebih menakjubkan lagi, skuad kendalian Park Hang-seo itu berjaya merekodkan clean sheet dari kesemua aksi peringkat kumpulan, dan turut cemerlang merekodkan sembilan gol.

Kedua-dua pasukan ini sudah sememangnya dianggap calon kegemaran sejak dari awal lagi dan selepas melihat aksi persembahan mereka di peringkat kumpulan, ia makin mengukuhkan dakwaan yang menganggap merekalah dua pasukan terhebat di rantau ini.

Messi Thailand jaringkan gol yang menakjubkan

Perlawanan yang menemukan kedua-dua pasukan ini sangat menarik untuk ditonton dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi saling berbalas serangan.

Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 permainan menerusi Chanatip Songkrasin yang memanfaatkan kesilapan dari pemain Vietnam sendiri.

Hasil dari satu serangan balas yang dilakukan oleh Thailand dan kesilapan pemain pertahanan yang membuka ruang kepada Chanatip, ditambah pula penjaga gol yang keluar terlalu awal, mudah untuk ‘Messi Thailand’ itu meledak gol pembukaan dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, bukan gol pertama ini yang menarik untuk disaksikan, sebaliknya gol kedua Thailand lah yang sangat menarik untuk dibincangkan.

Vietnam terkenal dengan gaya permainan bertahan yang luar biasa dan tidak keterlaluan untuk menganggap kualiti bertahan mereka adalah antara yang terbaik di benua Asia ini.

Kerana kehebatan barisan pertahanan mereka inilah Vietnam mampu layak hingga ke aksi separuh akhir tanpa dibolosi sebarang gol dari pasukan lawan.

Walau bagaimanapun, kebijaksanaan Chanatip Songkrasin tidak boleh dipertikaikan lagi dengan beliau mampu merencana serangan yang mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Vietnam.

Beliau bermula dengan melakukan satu sentuhan mencari Teerasil Dangda yang kemudiannya segera menolak semula bola mencari Chanatip yang sedang berlari menuju ke dalam kotak penalti.

Chanatip kemudiannya menolak bola mencari Sarach Yooyen yang kemudiannya tenang menolak semula bola ke arah ‘Messi Thailand’ yang sudah masuk ke kotak penalti Vietnam itu.

Pemain Hokkaido Consadole itu kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol Vietnam, seterusnya menghasilkan gol kedua Thailand dalam perlawanan ini.

Ia jelas sekali gol yang sungguh cantik dan menakjubkan dan tidal keterlaluan untuk mengatakan gol itu persis gerakan tiki-taka yang pernah dipopularkan oleh generasi emas Barcelona suatu ketika dahulu.

Chanatip Songkrasin hampir mencatatkan hat-trick dalam perlawanan ini, selepas Thailand dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan pada minit ke-85 permainan.

Sayang sekali beliau sekadar menyepak perlahan di bahagian tengah dan mudah diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam, Nguyen Manh Tran.

Kemenangan ini dan keputusan seri pada aksi leg kedua membantu Thailand untuk mara ke perlawanan akhir bertemu Indonesia.

Sumber: Twitter

BACA:  5 Pasukan Dengan Nilai Tertinggi di Piala AFF Suzuki