Aksi Kelakar Haris Seferovic Bantu Hidupkan Peluang Barcelona Untuk Ke Pusingan Seterusnya

Harapan untuk Barcelona mara ke aksi pusingan kalah mati saingan Champions League kembali hidup selepas pemain Benfica, Haris Seferovic melakukan aksi dungu yang mengakibatkan kelabnya gagal kutip tiga mata.

Gergasi Catalan itu berpotensi untuk mendapat tempat beraksi di pusingan 16 terbaik, walaupun mereka gagal mencatat kemenangan bertemu Benfica di Nou Camp.

Aksi pertama Barca di bawah kendalian Xavi dalam saingan Champions League berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, namun para pemain mempersembahkan aksi persembahan yang sangat menghiburkan.

Kedua-dua pasukan sebenarnya berkesempatan untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan ini namun sayangnya peluang yang ada gagal dimanfaatkan.

Pemain pertahanan Barcelona, Ronald Araujo bahkan turut berjaya menjaringkan gol namun ia dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan offside.

Beliau berjaya menjaringkan gol pada 10 minit terakhir permainan, namun selepas merujuk VAR, ternyata keputusan dari penjaga garisan tepat.

Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, Benfica memiliki kesempatan emas untuk memperoleh gol kemenangan, seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.

Andai kesempatan itu disudahi dengan jaringan, mereka secara tak langsung sudah hampir pasti mengesahkan tempat untuk beraksi di pusingan 16 terbaik.

Gergasi Portugal itu melancarkan serangan balas dan berdepan dengan situasi dua lawan satu antara pemain Benfica dengan penjaga gol Barcelona.

Darwin Nunez membawa bola ke arah kotak penalti Barcelona, sebelum beliau berjaya melorongkan bola cantik menemui Haris Seferovic yang ketika itu sedang mempunyai ruang lebih selesa untuk meledak gol.

Penyerang kebangsaan Switzerland itu kemudiannya berjaya menewaskan Marc- Andre Ter Stegen dengan menyungkit bola tersebut.

Sebaik berjaya melepasi Ter Stegen, beliau berdepan dengan situasi gol kosong dan ia bolehlah dianggap kesempatan emas untuk Seferovic menjaringkan gol kemenangan.

Namun berbanding memastikan bola berakhir dalam jaring gawang gol, seterusnya mendiamkan penyokong di Nou Camp, Seferovic menendang bola meliar melepasi gawang gol.

Reaksi Jorge Jesus di tepi padang cukup untuk membuktikan bagaimana kecewanya seluruh kem Benfica dengan kesilapan dungu yang dilakukan oleh Seferovic itu.

Kesilapan beliau benar-benar mengecewakan seluruh penyokong Benfica dek kerana kemenangan akan menjanjikan tempat untuk mereka di pusingan seterusnya.

Namun untuk kem Barcelona pula, kesilapan Seferovic sebenarnya menghidupkan semula peluang mereka untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Champions League.

Seandainya skuad muda Xavi itu berjaya menewaskan Bayern Munich selepas ini, maka mereka bakal berjaya melepasi aksi peringkat kumpulan, untuk mara ke pusingan kalah mati.

Tidak kira apa sekalipun keputusan yang dicatatkan oleh Benfica ketika bertemu Dynamo Kyiv, Barcelona akan tetap layak seandainya mereka berjaya menewaskan Bayern Munich.

Namun satu hal yang pasti, untuk menewaskan Bayern Munich bukanlah satu hal mudah untuk dilakukan oleh Barcelona yang dianggap sebagai perempuan simpanan gergasi Bundesliga itu.

Skuad Barcelona di bawah kendalian Xavi sepertinya mempamerkan aksi persembahan berbeza dan mereka lebih baik berbanding ketika dikendalikan oleh Ronald Koeman sebelum ini.

Suasana di bilik persalinan dan padang latihan juga dikatakan semakin membaik dengan para pemain gembira dengan cara Xavi mengendalikan kelab.

Melihat kepada perubahan ketara yang ditunjukkan oleh skuad Barcelona pada ketika ini, tidak mustahil rasanya untuk mereka menewaskan Bayern Munich, seterusnya mendapatkan tempat beraksi di pusingan kalah mati.

Seandainya Barcelona berjaya untuk layak ke pusingan kalah mati, mungkin Seferovic tidak akan berani angkat muka di padang latihan Benfica.

Sumber: GMS

BACA:  Bernardo Silva Mahu Meninggalkan Man City Musim Panas Ini