Aksi Masterclass Frenkie De Jong Merajai Tengah Padang Punca Jadi Dambaan Man Utd

Frenkie De Jong sememangnya diketahui mempunyai kebolehan yang bagus selaku pemain tengah dan dalam perlawanan Liga Negara Eropah menentang Belgium, pemain Barcelona ini sekali lagi menampilkan aksi yang cemerlang sekaligus menjawab persoalan kenapa dia dikejar oleh Manchester United.

Dalam bahasa yang mudah, Frenkie De Jong boleh diangkat sebagai seorang pemain tengah yang elit dan berada satu tahap lebih tinggi daripada pemain lain.

Sepanjang perlawanan menentang Belgium, pemain berusia 25 tahun ini menampilkan pelbagai variasi dalam sisi permainannya di mana dia mampu melakukan hantaran jauh seperti Andrea Pirlo, boleh menggelecek pemain lawan persis Zinedine Zidane serta memenangi perebutan bola di udara mirip Virgil Van Dijk.

Dia juga merekodkan 94 peratus hantaran sempurna dengan jumlah 77 hantaran – membuktikan dia adalah pemain yang mempunyai visi yang tinggi di atas padang.

Frenkie De Jong merekodkan satu bantuan gol – iaitu gol pertama perlawanan yang dijaringkan oleh Steven Bergwijn, mencipta empat peluang gol dan merampas bola sebanyak enam kali di bahagian tengah padang.

Kompilasi aksi bertaraf masterclass Frenkie De Jong ini dirangkumkan dalam video di bawah.

Berapa kali korang replay video tu? Mantap kan?

Aksi Frenkie De Jong ini menjadi jawapan kepada persoalan kenapa pengurus baru Manchester United, Erik Ten Hag, berminat untuk membawa pemain ini ke Old Trafford dan dia dikhabarkan telah pun menerima lamaran rasmi pasukan Syaithon Merah.

Untuk rekod, Frenkie de Jong merupakan antara pemain penting yang membantu Ajax untuk mara sehingga peringkat separuh akhir saingan Champions League musim 2018/19 ketika di bawah kendalian Ten Hag.

Gergasi Belanda itu berjaya menyingkirkan Real Madrid dan Juventus pada ketika itu dan mereka juga hampir sahaja untuk mara ke pentas perlawanan akhir, sebelum dikecewakan pada minit terakhir perlawanan oleh Lucas Moura sekaligus berjaya membawa Tottenham Hotspur bermain di pentas final.

Barcelona kemudiannya mengeluarkan dana bernilai €86 juta pada penghujung musim tersebut, untuk menandatangani Frenkie De Jong. Walaupun mempunyai reputasi yang tinggi sebagai pemain tengah muda yang bagus, Frenkie De Jong jarang diberikan peluang untuk membuktikan bahawa dia mampu mengatasi masalah Barca di atas padang.

Pada suatu masa, Frenkie De Jong pernah dilabel bagaikan bermain sambil membawa 50kg ubi kentang di atas belakangnya, selepas Blaugarana tewas tiga gol tanpa balas kepada Bayern Munich dalam pentas Champions League.

Komen ini diutarakan oleh dua orang bekas pemain Belanda – Ron Vlaar dan Dirk Kuyt yang nyata kesal dan mengeluh dengan prestasi pemain harapan itu dan bintang Liverpool itu berharap De Jong perlu memulihkan semula permainannya.

“Menentang Bayern Munich dia tidak mencari peluang walau seketika untuk melihat jika ada peluang untuk melakukan rembatan,” Ujar Kuyt di stesen TV RTL 7.

“Saya ingin melihatnya, kerana dia sepatutnya terus menjadi pemain hebat yang berada di puncak Eropah. Permainan bermula dengan penuh berani [menyerang] dan jika sesiapa mempunyai keberanian dalam permainannya, itu adalah Frenkie de Jong.

“Sudah sifatnya sentiasa mampu mengubah permainan, tetapi dia tidak mencari kedudukan untuk menjaringkan gol.”

Kualiti yang ada pada De Jong pada pandangan Kuyt sangat tinggi dan percaya pemain itu dapat mengubah perlawanan namun hampa kerana De Jong tidak berusaha mencari ruang dan peluang untuk menjaringkan gol.

Sementara itu, bekas pemain pertahanan Aston Villa, Vlaar berkata, De Jong kelihatan seorang lelaki yang mempunyai beban yang berat di bahunya, Vlaar percaya perpindahan dari Nou Camp akan memberi manfaat kepada pemain bernilai £65 juta itu.

Vlaar berkata:

“De Jong kini bermain bola sepak seperti dia mempunyai lima puluh kilo kentang di belakangnya. Anda tahu apa yang dia boleh bawa, tetapi bersama Barcelona ia tidak kelihatan.”

“Saya rasa dia benar-benar tidak berada pada tempatnya sekarang. Satu perubahan? Ke kelab lain? Saya fikir Frenkie akan bermain bola sepak secara berbeza untuk pasukan seperti Bayern Munich.”

Pada tahun 2019, Frenkie De Jong telah menggegar dunia bersama beberapa orang lagi rakannya seperti Dusan Tadic, Donny Van De Beek dan Matthijs de Ligt apabila tersenarai dalam calon 30 akhir Ballon d’Or.

Frenkie de Jong telah diundi untuk berada dikedudukan ke-11 di atas Kevin De Bruyne, Sergio Aguerodan Antoine Griezmann lantaran kecemerlangan beliau lalu telah menarik minat Barcelona.

Adakah De Jong terkena sumpahan Ballon d’Or sama seperti Donny Van De Beek dan Matthijs de Ligt yang terus berada di prestasi yang biasa-biasa saja selepas dinobatkan antara yang terbaik di dunia?

Bila kali terakhir pemain muda dari Belanda menggegar dunia selepas Robbin Van Persie, Arjen Robben dan Wesley Sneijder? Hanya Memphis Depay yang hanya berjaya menggegar media sosial sebagai the next Ronaldo sebelum munculnya De Jong dan rakan-rakan.

Apapun, mimpi ngeri De Jong di Catalan mungkin akan berakhir jika dia berjaya diselamatkan oleh Erik Ten Hag. Andai dia berjaya tiba di Old Trafford, berikan dia jersi nombor 18 yang pernah dipakai oleh legenda kelab – Paul Scholes.

Ini kerana Frenkie De Jong akan menjadi legenda Manchester United. Percayalah.

Sumber : SB

BACA:  Frenkie De Jong Main Bola Macam Pikul 50kg Kentang Atas Belakang