Aksi Perak Bermain Lebih 50 Hantaran Tanpa Dicabar Sebelum Ditumbuk Pemain Selangor II

Mungkin tidak ramai yang tahu, tetapi semalam telah berlangsungnya perlawanan Liga Premier antara pasukan Selangor II menentang Perak FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Perak yang tampil dengan nafas baru selepas pasukan ini dibeli oleh syarikat telco terkemuka, XOX, menguasai perlawanan sejak wisel permulaan ditiup menerusi formasi 4-3-2-1 yang digunakan oleh Yusri Che Lah.

Misi mencari mata keempat pasukan, selepas dipotong mata oleh FIFA, diambil serius oleh barisan pemain yang diketuai oleh Indra Putra Mahyudin.

Pada minit kesepuluh, Aqil Hilman memberi amaran kepada penjaga gol Selangor apabila berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti, namun rembatan tersebut lemah selemahnya, selemah iman umat akhir zaman.

Selepas itu pasukan Perak menerusi jentera tengah yang diketuai oleh Luciano  Guaycochea terus mendominasi perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus.

Pada minit ke-15, hantaran lintang daripada Afif Asyraf dari sebelah kiri padang, disambar oleh Indra Putra yang kemudiannya melepaskan rembatan padu. Selangor bernasib baik kerana rembatan tersebut ditahan oleh pemain pertahanan mereka lantas menyelamatkan gawang pasukan daripada dibolosi awal.

Perak terus menguasai perlawanan namun gagal menemukan sebarang jaringan apabila wisel separuh masa ditiup, meskipun mereka mendapat peluang keemasan pada minit ke-44.

Sepakan percuma Luciano dari sebelah kanan padang berjaya mencari kepala Sunday Afolabi yang menanduk ke tengah kotak penalti berhampiran kotak enam ela, menemukan Indra Putra yang tidak dikawal.

Meskipun hanya berhadapan penjaga gol Selangor, Indra Putra mengambil keputusan untuk melepaskan satu rembatan padu sekuat hati, sehingga menyebabkan bola terbang tinggi, mungkin sampai ke Kompleks Sukan UiTM, atau kalau kuat sikit mungkin hinggap di Kolej Teratai.

Turun pada separuh masa kedua, Perak mengekalkan momentum separuh masa pertama di mana mereka terus menguasai perlawanan tanpa memberi peluang kepada pemain Selangor mendapatkan rentak.

Pada minit ke-67, Perak sekali lagi mensia-siakan peluang untuk mendapatkan jaringan pertama. Luciano sekali lagi melakukan hantaran sempurna ke dalam kotak penalti menerusi sepakan percuma tepat ke kotak enam ela dan berjaya menemukan kepala Firdaus Saiyadi, namun pemain berjersi nombor 14 ini gagal menanduk tepat ke gawang walaupun tidak dicabar mana-mana pemain Selangor.

Masalah Selangor di sini adalah gagal melakukan man-to-man marking (penjagaan lelaki-kepada-lelaki) dengan baik bila mana berhadapan dengan sepakan percuma, atau set piece.

Penantian para penyokong Perak untuk meraikan gol berakhir pada minit ke-77. Gerakan serangan balas ini bermula apabila pemain Selangor gagal mendada bola dengan baik di dalam kawasan Perak, lantas disambar oleh Aiman Yusni. Aiman kemudiannya memberikan bola kepada Firdaus Saiyadi yang dengan segera menolak bola kepada Wan Zack Haikal.

Wan Zack kemudian melambung bola kepada pemain import, Stipe Plazibat, yang begitu bijak melakukan satu sentuhan kepada Firdaus yang sudah melakukan larian di dalam kotak penalti.

Firdaus kemudian dengan tenang menolak bola ke tengah dan disambar oleh Ferris Danial yang melakukan larian ke arah bola. Ferris Danial dengan tenang menewaskan pertahanan Selangor lalu menjaringkan gol pertama perlawanan.

Selepas jaringan tersebut, Perak menguasai perlawanan dan menyimpan bola dengan bijak daripada dirampas pemain Selangor. Kemuncaknya pada minit ke-92, di mana anak buah Yusri Che Lah ini berjaya mengayamkan pemain Selangor dengan melakukan 50 hantaran tanpa berjaya dirampas pemain lawan!

Setiap kali Perak berjaya melakukan hantaran, sorakan penyokong mengikut sama.

Mungkin geram tidak mendapat bola, pemain Selangor, Iqmal Ramlan, bertindak menumbuk pemain Perak, Luciano. Tumbukan padu ini mengundang kad merah kepadanya, dan juga nyanyian Selangor sudah koyak daripada penyokong Perak.

Tidak lama selepas insiden ini, pengadil meniup wisel penamat dan kemenangan berpihak kepada Perak. Sekian berita.

BACA:  Liga Super 2020: JDT 6-1 Selangor