Pemain antarabangsa Belgium, Toby Alderweireld mendakwa beliau tidak pernah mempunyai niat untuk meninggalkan Tottenham Hotspurs pada jendela perpindahan lalu walaupun hangat dikaitkan dengan beberapa buah kelab ternama.
Alderweireld pernah bermain untuk Ajax dan Atletico Madrid pada usia mudanya. Beliau mempamerkan prestasi yang baik ketika dipinjamkan kepada Southampton pada musim 2014/2015. Lantaran itu, Spurs cepat bertindak dan membayar £11.5 juta kepada Atletico Madrid untuk mendapatkan khidmat Alderweireld pada tahun 2015.
Sejak menyertai Tottenham, Alderweireld telah berkembang untuk menjadi salah seorang pemain pertahanan ternama dalam Liga Perdana Inggeris.
Walau bagaimanapun, sejak kemasukan Davinson Sanchez musim lepas, beliau sering memanaskan bangku simpanan memandangkan Mauricio Pochettino lebih gemar menggunakan gandingan Jan Vertoghen dan Sanchez apabila bermain sistem 4 pemain pertahanan.
Pelbagai spekulasi mula timbul mengenai masa depan Alderweireld di White Hart Lane dengan Manchester United antara kelab yang paling berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Keadaan menjadi semakin panas memandangkan kontrak Alderweireld hanya berbaki kurang dari setahun walaupun Spurs mempunyai klausa untuk melanjutkan kontrak selama setahun lagi.
Beberapa sumber melaporkan Alderweireld merupakan pemain pertahanan yang paling dikehendaki Jose Mourinho pada jendela perpindahan musim panas lalu tetapi kedua-dua buah kelab gagal mencapai persetujuan mengenai yuran perpindahan.
“Semua orang berkata saya terdesak untuk meninggalkan Tottenham Hotspurs. Sebenarnya, perkara itu tidak benar sama sekali.” Ujar Alderweireld ketika diminta mengulas mengenai masa depannya.
“Pada musim panas lalu, saya faham Tottenham mahu menyimpan saya. Jadi, saya perlu berjuang untuk kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Untuk berada dalam kesebelasan utama sekali lagi bagaikan satu kemenangan bagi saya.”
“Saya hanya mahu membantu Tottenham sebaik mungkin dengan kualiti yang ada pada saya. Mengenai masa depan saya, semua perkara yang diperkatakan dalam akhbar bukannya tepat setiap masa.”
Alderweireld berada di bangku simpanan ketika perlawanan pembukaan Spurs menentang Newcastle bulan lalu. Namun begitu, beliau kembali mendapat kepercayaan Pochettino dan dinamakan dalam kesebelasan utama untuk tiga perlawanan liga yang seterusnya.
Tottenham tewas mengejut di tangan Watford dalam perlawanan terakhir mereka seterusnya meleburkan rekod 100% kemenangan mereka sebelum ini.
Lawan Spurs seterus ini merupakan pasukan pendahulu liga, Liverpool yang masih mengekalkan rekod 100% kemenangan setelah melalui empat perlawanan. Perlawanan tersebut akan berlangsung di Wembley memandangkan stadium baru Spurs tidak sempat siap untuk menjadi hos perlawanan itu.