Alex Song Akui Beliau Sertai Barcelona Kerana Duit

Alex song telah mengakui bahawa beliau meninggalkan Arsenal ke Barcelona adalah kerana duit dan tidak peduli tentang minit permainan mahupun kerjayanya.

Selepas beraksi lebih 200 perlawanan untuk Arsenal, Song menandatangani perjanjian bersama Barcelona pada tahun 2012.

Beliau hanya sempat beraksi selama satu musim sahaja di Nou Camp dan beraksi 20 perlawanan untuk memenangi saingan La liga. Dan itu lah satu-satunya Piala utama yang berjaya beliau julang.

Setelah lapan tahun berlalu akhirnya pemain kebangsaan Cameroon itu jujur tentang sebab utama beliau membuat keputusan untuk berpindah.

Beliau ketika itu lagi sudah tahu sekiranya pergi sertai Barcelona, belum pasti lagi mendapat minit permainan dan sudah pasti akan lebih banyak menghabiskan masa memanaskan bangku simpanan.

Menerima pendapatan £15,000 seminggu ketika mula-mula sertai Arsenal, beliau merasakan sudah pasti akaun banknya akan semakin sihat dan kehidupannya juga semakin mewah.

“Ketika sepanjang karier saya di Arsenal, saya sukar untuk menyimpan duit walaupun £100,000, sementara semua orang berfikir saya adalah jutawan,”

Kata Song kepada bintang bola keranjang Toronto Raptors, Pascal Siakam menerusi siaran langsung Instagram.

“Ketika Barcelona menawarkan saya kontrak, dan saya melihat berapa banyak saya boleh dapat, saya tidak berfikir dua kali. Saya cuma berfikir isteri dan anak-anak saya akan nikmati hidup lebih selesa dan bahagia bila saya bersara dari dunia bola sepak nanti.”

“Saya bertemu dengan sporting director Barcelona dan dia beritahu saya bila sertai Barcelona saya tidak akan beraksi banyak perlawanan.”

“Tetapi saya tidak pedulikan semua itu, apa yang saya tahu waktu itu saya akan jadi seorang jutawan.”

“Saya selalu kata apabila seorang individu berusia 20 tahun memandu Ferrari, dia seorang yang miskin, kerana ketika sudah mencapai usia itu dia masih tidak mencapai apa-apa. Tetapi seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu Bently dia adalah yang paling layak untuk dihormati.”

Antara detik paling diingati ketika Song menyarung Jersi Barcelona adalah ketika beliau salah faham menyangka Carles Puyol menyuruhnya untuk menjulang Piala kejuaraan La Liga.

Beliau yang berdiri disebelah Eric Abidal yang baru sahaja kembali selepas melakukan pembedahan hati, merasakan dirinya yang dipanggil sedangkan Puyol memanggi Abidal.

Menyedari kesalah fahamannya itu, Song pastinya berasa sangat sangat janggal dan mungkin juga malu. Beliau terus menepuk tangan untuk menutupi kesilapannya namun sudah terlambat untuk menyelamatkan beliau dari dimalukan Oleh dirinya sendiri.

BACA:  Pasukan Terburuk Eropah Kumpul Bekas Pemain Arsenal Untuk Selamatkan Musim Mereka