‘Ambo seroh ko pemaing jah la’ – mungkin itu yang diperkatakan oleh Zahasmi mengenai peluang The Red Warriors untuk beraksi di suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini kini yang bergantung sepenuhnya keputusan pertemuan terakhir menentang T-Team di Kota Bharu, 4 November ini.

Bagi pengendali Kelantan, Zahasmi Ismail, dia menyerahkan kepada anak buahnya untuk menentukan nasib pasukannya ketika slot terakhir itu turut menjadi rebutan Felda United dan T-Team.

Zahasmi - jurulatih Kelantan
Zahasmi – jurulatih Kelantan

“Bagi saya, peranan pemain itu sendiri penting kerana mereka akan tentukan sama ada Kelantan layak atau tidak. Namun, saya lihat pemain tetap bersemangat untuk meraih kemenangan pada aksi terakhir itu.

“Saya tidak mahu memikirkan pertemuan Selangor menentang Felda United kerana apa yang penting sekarang kita kena menewaskan T-Team,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pada masa sama, Zahasmi memberitahu, pasukannya juga perlu menantikan aksi pertembungan antara Selangor menentang Felda United di Shah Alam untuk mencongak nasib mereka ke suku akhir.

Menurutnya, dia berharap tidak berlaku pakatan antara juara 32 kali itu dengan Felda United memandangkan skuad Mehmet Durakovic sudah pun mengesahkan tempat lebih awal ke suku akhir.

“Memang kita perlukan kemenangan dan begitu juga Felda United. Jadi saya berharap Selangor tampil bermain seperti biasa dan menunjukkan satu permainan yang positif pada pertemuan itu,” katanya.

Pada masa sama, pengendali berusia 48 tahun itu memberitahu, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya skuad kendaliannya tersingkir awal pada kempen Piala Malaysia musim ini.