Amorim Pertahan Kenyataan, Rooney Anggap Sasaran United “Naif”

Ruben Amorim Pertahan Kenyataan Manchester United Sasar Kejuaraan Liga Perdana

Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mempertahankan kenyataannya bahawa sasaran kelab untuk memenangi Liga Perdana Inggeris selepas komen beliau dianggap “naif” oleh penjaring terbanyak sepanjang zaman United, Wayne Rooney, susulan kekalahan mereka kepada Fulham dalam saingan Piala FA.

United tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Fulham pada Ahad lepas selepas Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee gagal menyempurnakan sepakan penalti. Kekalahan itu menamatkan harapan United untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas mereka menewaskan Manchester City dalam perlawanan akhir tahun lalu di bawah bimbingan Erik ten Hag.

Skuad kendalian Amorim kini berada di tangga ke-14 liga, 14 mata di belakang kelompok 4 teratas dan 34 mata di belakang pendahulu, Liverpool. Satu-satunya peluang mereka untuk memenangi trofi musim ini adalah dalam saingan Liga Europa.

Pengendali berusia 40 tahun itu menegaskan dalam temu bual selepas perlawanan bahawa kelab masih berusaha untuk mengembalikan kegemilangan mereka dalam merangkul kejuaraan liga.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi Liga Perdana,” katanya kepada BBC Sport. “Saya tahu kami sedang mengalami kekalahan tetapi sasaran kami tetap untuk menjuarai liga sekali lagi. Saya tidak tahu berapa lama ia akan mengambil masa.

“Kami mempunyai matlamat dan kami akan terus bergerak ke hadapan tidak kira apa yang berlaku. Sukar untuk diramalkan tetapi anda mula memahami pemain menjadi lebih baik dan kami lebih mengenali liga ini. Kita akan lihat di masa hadapan.”

Rooney, yang bertugas sebagai pengulas untuk BBC Sport semasa perlawanan itu, menganggap kenyataan Amorim sebagai “naif.”

“Pengurus tidak diberikan masa yang panjang dalam 10 hingga 15 tahun terakhir,” katanya. “Sebagai pengurus, anda perlu bersikap mementingkan diri dan berkata ‘Jika saya tidak melakukannya sekarang, saya mungkin tidak akan mendapat masa itu.’

“Saya rasa agak naif untuk mengatakan mereka sedang menyasarkan kejuaraan Liga Perdana kerana jika melihat situasi mereka sekarang, ia masih terlalu jauh untuk dicapai.”

Musim luruh lalu, pengarah sukan INEOS, Sir Dave Brailsford mengumumkan kepada kakitangan United mengenai pelancaran “Mission 21”, satu program untuk membina skuad yang mampu merangkul kejuaraan liga ke-21. United juga mempunyai projek “Project 150”, yang bertujuan untuk menyambut ulang tahun ke-150 kelab pada tahun 2028 dengan menjuarai liga.

Ketika ditanya dalam sidang media selepas perlawanan mengenai komen Rooney, Amorim mempertahankan kenyataannya – walaupun beliau mengakui bahawa beliau mungkin tidak lagi berada di United ketika kelab itu kembali menjuarai liga.

“Itulah matlamat kami (untuk memenangi liga),” kata Amorim. “Tetapi menjadi naif adalah jika kita fikir kita boleh melakukannya musim ini atau menjadi pencabar utama musim depan. Saya faham keadaan ini dan saya tahu semua orang boleh memberikan pendapat mereka. Saya juga pernah menjadi pengulas selepas saya bersara sebagai pemain, jadi saya tahu betapa mudahnya membuat ulasan dari luar.

“Sasaran kami adalah untuk memenangi Liga Perdana. Mungkin ia tidak akan berlaku semasa saya di sini. Tetapi matlamat kelab dan pihak pengurusan adalah untuk menjuarai liga seperti yang pernah kami lakukan sebelum ini bersama legenda-legenda kelab. Kami mahu kembali ke tahap itu, tetapi ketika ini kami sedang melalui fasa yang sukar.

“Saya bukan naif, sebab itulah saya berada di sini, sebagai jurulatih Manchester United pada usia 40 tahun.”

Dalam perlawanan menentang Fulham, Bruno Fernandes menjaringkan gol penyamaan untuk United selepas Calvin Bassey meletakkan Fulham di hadapan pada babak pertama. Namun, tiada pasukan yang berjaya mencari gol kemenangan dalam masa sebenar mahupun masa tambahan.

Selepas perlawanan, Amorim mengakui bahawa pasukannya berdepan masalah dalam penyudahan peluang.

“Hari ini kami mencipta beberapa peluang, tetapi dalam beberapa perlawanan sebelum ini, nampaknya kami hanya mampu mencipta ancaman menerusi situasi bola mati,” katanya.

“Jadi langkah pertama adalah mencipta peluang. Hari ini kami berjaya melakukannya, tetapi kami perlu meningkatkan aspek penyudah untuk membantu penyerang dan barisan serangan menjaringkan gol.”

Manchester United akan kembali beraksi menentang Real Sociedad pada Khamis dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Europa.

BACA:  Hazard: Jika Diberi Pilihan, Saya Mahu Kembali Bekerjasama Dengan Mourinho