Amutu mahu kecewakan Sime Darby

PENYERANG import The Red Warriors, Austin Amutu bertekad mahu memastikan kemenangan milik pasukannya apabila berdepan Sime Darby pada aksi pertama pusingan kedua saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Amutu berkata, dia sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Lions XII di pentas final Piala FA bulan lalu dan fokusnya kini adalah membantu pasukannya meraih tiga mata dalam saingan liga domestik.

“Kami kena bekerja lebih keras di sana (Selayang) untuk mendapatkan kemenangan. Paling penting bagi Kelantan adalah meraih tiga mata kerana ini akan membantu kami memperbaiki kedudukan dalam carta.

“Memang kami akan bermain di gelanggang lawan tetapi saya tidak peduli semua itu. Keputusan (pindaan perlawanan) sebelum ini tidak menjejaskan apa-apa, malah memberi ruang buat kami melakukan persiapan rapi untuk bertemu mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kelantan begitu dahagakan tiga mata dan kemenangan ke atas pasukan tangga tercorot itu sememangnya menjadi sasaran peribadinya tatkala pasukannya sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran ketika ini.

Penyerang skuad bawah 23 tahun Nigeria itu turut memberi isyarat, dia begitu bersungguh-sungguh mahu berada dalam kesebelasan utama pilihan pengendali, Mohd Azraai Khor Abdullah meskipun belum pulih 100 peratus daripada kecederaan lamanya.

“Setakat ini mungkin sekitar 80 (peratus), saya tak boleh kata sudah pulih sepenuhnya tetapi saya beri jaminan kecederaan ini tak akan ganggu perancangan pasukan. Malah, saya bersedia bermain untuk tempoh 90 minit pada malam esok,” katanya.

Tambahnya, dia yakin tidak akan berdepan masalah untuk memikul tugas bersama penyerang import Colombia, Erwin Carrillo bagi merobek gawang Sime Darby pada pertemuan itu.

Mengulas lanjut pertemuan tersebut, Amutu yang menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super setakat ini mengakui dia dan rakan sepasukannya tidak boleh memandang rendah terhadap keupayaan skuad kendalian Ismail Zakaria itu.

“Saya melihat aksi Sime Darby ketika seri 1-1 dengan Kelantan pada aksi suku akhir Piala FA, April lalu. Saya beritahu secara jujur, pasukan ini cukup bagus dan wajar dihormati meskipun dibarisi ramai pemain muda dan kurang ternama,” katanya.

Sumber : Sinar Harian 

Baca Juga

Baca Juga