Analisis : Bagaimana Liverpool Akan Bertarung Tanpa Separuh Pemain Pasukan Utama

Peminat Liverpool pasti berada dalam keadaan sedikit resah sekarang ini sambil bertanya, ‘bilakah Jurgen Klopp boleh turunkan pasukan terkuat mereka lagi?’

Sekarang ini kelab gergasi Liga Perdana Inggeris tersebut berdepan banyak ketidakpastian, banyak isu yang terpaksa dihadap oleh Klopp. Nak buat sebarang rancangan pun agak sukar dengan keadaan macam ni.

Kalau ikutkan, Klopp akan sakit kepala pada bulan Januari memandangkan Liverpool bakal melalui tempoh sukar di mana mereka terpaksa bertarung tanpa Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita ketika berlangsungnya Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Cameroon.

Tapi masalah dilihat tiba dengan lebih awal, dua minggu dari tempoh yang sepatutnya, dan semuanya disebabkan pandemik. Jadi, tidak hairanlah Klopp dilihat berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Tottenham tempoh hari.

Dua mata berharga telah hilang dalam misi mencabar kejuaraan daripada Manchester City tapi dalam keadaan begini, keputusan tersebut boleh membuatkan Liverpool menarik nafas lega.

Telah pun kehiliangan Virgil van Dijk, Fabinho dan Curtis Jones yang dijangkiti Covid-19 pada hari Khamis, senarai pemain yang hilang menjadi semakin panjang apabila Thiago pula disahkan positif virus tersebut pada hari Sabtu.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua pemain tengah Sepanyol tersebut dijangkiti Covid-19.

Kapten Jordan Henderson telah turut serta bersama skuad ke London tetapi dihantar pulang selepas mengalami demam yang teruk. Keputusan ujian Covid-19 adalah negatif tetapi impaknya adalah jentera tengah Liverpool sangatlah berlubang sekarang ini. Sekali lagi, Klopp terpaksa melakukan pertukaran saat akhir dalam barisan pemain yang diturunkan.

Andrew Robertson pula terpaksa disisihkan menjelang hari Krismas nanti kerana dia digantung tiga perlawanan selepas melakukan kekasaran yang disulami emosi ke atas Emerson Royal.

Kad merah tersebut adalah yang kelapan dikutip oleh pemain Liverpool sejak Klopp tiba di Anfield dan yang pertama sejak Alisson memegang bola di luar kotak penalti ketika menentang Brighton dua tahun lalu.

Robertson akan turun padang semula dalam perlawanan menentang Chelsea pada 2 Januari tetapi Klopp akan sakit kepala dalam tiga perlawanan – menentang Leicester City (dua kali) dan Leeds United.

Apakah Salah dan Mane akan diturunkan dalam perlawanan di Stamford Bridge?

AFCON sendiri sebenarnya menjadi satu pertandingan yang masih lagi samar-samar, dengan penganjur masih lagi bertarung untuk meneruskan pertandingan tersebut walaupun mendapat tekanan untuk menganjurkannya pada bulan Jun. Ada juga yang mencadangkan supaya pertandingan ini dibawa ke Doha.

Liverpool juga turut berdepan kemungkinan kehilangan Takumi Minamino – salah seorang daripada pemain back up di bahagian serangan, sekitar hujung January – memandangkan pasukan perlawanan kelayakan Piala Dunia pasukan kebangsaan Jepun menentang China dan Arab Saudi telah disusun semula.

Siapalah yang tahu apakah lagi cabaran besar yang terpaksa dihadap Klopp? Ada banyak kemungkinan.

Kalau ikutkan, Klopp bukanlah tak biasa dalam menghadapi detik sukar macam ni. Pada musim lalu, keupayaan untuk mengekalkan kejuaraan liga telah diganggu oleh krisis kecederaan, sampaikan pada satu tahap pasukan ini tidak mempunyai pemain pertahanan tengah pasukan utama yang boleh diturunkan.

Cabaran kini adalah bagaimana untuk mengharungi ombak yang kuat tanpa hilang hadiah utama seperti musim lalu?

Mereka tidak boleh benarkan Manchester City bawa lari trofi liga buat kesekian kalinya pada musim ini.

Masalah Klopp adalah bilangan pemain yang boleh dipilih untuk diturunkan semakin berkurangan, manakala bilangan perlawanan pula semakin meningkat sekaligus boleh membawa kepada risiko keletihan dan kecederaan.

Dia tidak dapat menurunkan kesemua pemain tengah utamanya ketika menentang Spurs – Fabinho, Henderson dan Thiago. Akibatnya, dia terpaksa turunkan trio tengah yang sekali lagi dijangka akan diturunkan dalam perlawanan Piala Carabao pada hari Rabu menentang Leicester City.

Menentang Spurs, Liverpool sangat lemah ketika bertahan. Pertahanan tengah Joel Matip dan Ibrahima Konate telah dibiarkan terdedah dek kekurangan perlindungan di hadapan mereka.

Banyak kali dalam perlawanan tersebut, pemain lawan tidak dikejar semula ketika menyerang sekaligus membolehkan mereka melancarkan serangan balas berkali-kali.

Tapi kalau ikutkan memang tak mengejutkan pun memandangkan Tyler Morton diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama dalam liga dengan James Milner dan Keita langsung tidak dapat turun sejak Oktober.

Para pemain Liverpool, dalam perlawanan tersebut, tampak seperti tidak melakukan persediaan untuk menentang Spurs, dan jelas sekali mereka bagaikan tidak pernah bermain bersama.

“Ini adalah detik yang sukar,” akui Klopp.

“Aku tak tahu pasukan mana yang aku boleh turunkan sebab aku selalu kena tunggu waktu pagi untuk dapatkan keputusan ujian (Covid-19). Situasi ni tak mudah , tapi kita akan main bola selagi mana orang suruh kita main.”

Sumber : The Athletic

BACA:  Klopp: Hilang 'Mojo' Punca Sebenar Liverpool Tewas