Perjalanan Liga Perdana Inggeris semakin hampir masuk ke separuh jalan, dengan Manchester City mendahului carta liga mengatasi pencabar terdekat, Chelsea dan Liverpool dengan jurang perbezaan mata yang tidak besar.
Dengan kata lain, satu kesilapan daripada pasukan kendalian Joseph Guardiola ini akan terus menyebabkan pasukannya tergelincir seperti mana yang telah berlaku kepada Chelsea tempoh hari.
Secara keseluruhan City telah menjaringkan 40 gol dan hanya bolos sembilan kali. Hanya Liverpool sahaja yang mencatatkan jumlah jaringan yang lebih besar daripada City – 45 gol.
Meskipun tidak mempunyai penyerang nombor 9 yang tulen, City dilihat bagaikan tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan gol kerana mereka mempunyai pemain tengah yang cukup berbisa dan mampu mengubah keputusan perlawanan.
Akan tetapi, jika dibandingkan antara pasukan-pasukan lain, pasukan manakah yang mempunyai barisan tengah yang paling sedap?
Manchester City
Kekuatan pasukan Manchester City tidak dapat dinafikan lagi, kerana lebih separuh daripada mereka mampu untuk bermain sebagai penyerang. Tengok senarai nama pemain tengah pasukan ini pun sudah cukup untuk melelehkan air liur, kan?
Bermula dengan bahagian bertahan, City mempunyai Rodri dan Fernandinho di mana kedua-dua pemain ini berkongsi tugas dengan begitu cemerlang pada musim lalu. Apabila Rodri yang diturunkan, City kurang menerima serangan balas daripada pihak lawan kerana terlebih dahulu berjaya dipintas pemain ini.
Fernandinho juga tidak kurang hebatnya di mana dia sangat tangkas di dalam menjadi benteng kepada pasukan pertahanan, tambahan pula dia mampu untuk membuat hantaran tepat dan juga bijak dalam menganalisa situasi. Orang lama, kan?
Jika dilihat pada bahagian tengah menyerang pula, barisan tengah City memang sangat menakutkan pasukan lawan. Gundogan boleh bermain deep, melakukan larian di belakang pemain lawan dan jaringkan gol, ataupun hanya berada di tengah padang semata-mata. Boleh dikatakan sentuhan pemain inilah yang menggerakkan permainan City.
#18 Ilkay Gundogan (Manchester City)
In 2021: 17 goals, six assists. Won Premier League and Carabao Cup. pic.twitter.com/ji9z2xEZ1X
— BeksFCB (@Joshua_Ubeku) August 30, 2021
Bernardo Silva adalah watak penting ketika mereka menjulang trofi liga pada musim 2018-19 dan juga memainkan peranan yang tidak kurang hebatnya ketika mereka sekali lagi menjulang liga musim lalu. Selain pemain tengah, dia juga boleh bermain sebagai penyerang.
Kevin De Bruyne tak payah cerita. Padu nokhorom pemain ini.
Tahun ini City membawa masuk Jack Grealish yang mampu mengkucar-kacir dan mengkucu-kuca pertahanan lawan baik di bahagian tengah atau di sebelah kiri. Foden pula mampu bermain sebagai number 8 dengan begitu baik.
Sebagaimana satu dunia maklum, Mahrez mempunyai gelecekan yang laju dan tangkas. Tahu-tahu dia sudah lakukan rembatan, tahu-tahu dah gol.
Raheem Sterling ialah Raheem Sterling.
Pasti Pep Guardiola pening kepala nak pilih siapa untuk diturunkan dalam setiap perlawanan.
Manchester United
Ole Gunnar Solskjaer kerap menurunkan barisan pemain dalam formasi 4-2-3-1, dengan dua pasangan pivot Scott Mctominay dan Fred. Sekali sekala pasangan ini dipecahkan dan diisi oleh pemain veteran, Nemanja Matic.
Selepas Ole dipecat dan digantikan oleh Ralf Rangnick, formasi pasukan United telah berubah kepada 4-2-2-2 dengan gaya permainan yang lebih aggresif ketika ketiadaan bola.
Seperti yang kita selalu lihat, McTominay akan mempamerkan permainan terbaiknya apabila dia ditugaskan sebagai pemain tengah box-to-box, di mana dia kerap lakukan larian yang mampu membantu barisan serangan dan pertahanan. Jika bertemu pasukan yang bermain secara terbuka, kerap juga pemain ini berjaya menjaringkan gol.
Di bawah Rangnick, McTominay dilihat lebih fokus di bahagian melindungi pemain pertahanan daripada ditembusi.
Fred and Mctominay stats 👇👇👇 pic.twitter.com/seCmSXcgJg
— StatmanBains 🇩🇪 (@StatmanBains) May 9, 2021
Sejak ketiadaan Ole, Fred tiba-tiba berubah menjadi seorang pemain tengah yang mantap dan mampu mempamerkan prestasinya seperti mana dia menyarung jersi Brazil. Gaya permainannya juga tiba-tiba menjadi lebih baik, terutamanya dalam bab pergerakan tanpa bola (off the ball movement).
Paul Pogba membawa harapan besar apabila dibeli semula oleh kelab empat tahun lalu. Pada hari yang baik, pemain ini boleh dikatakan sebagai pemain tengah terbaik dunia di mana dia mampu melakukan hantaran jauh yang tepat dan tidak terjangka oleh manusia. Adakalanya Pogba cuba diletakkan di posisi tengah bertahan, tetapi ternyata posisi tersebut bukanlah yang sesuai dengan pemain ini.
Apabila Pogba menjadi, maka Bruno Fernandes juga akan turut cemerlang di atas padang kerana kedua-dua pemain ini saling melengkapi. Banyak bermain sebagai perancang utama pasukan, Bruno sering melakukan hantaran dan gerakan yang membuka kepada gerakan berbahaya rakan sepasukan, selain kemampuannya untuk menjaringkan gol dengan begitu baik.
Jadon Sancho pada awalnya kurang mendapat tempat di bawah rejim Ole dan jika diturunkan, dia seringkali terpaksa mengisi posisi sayap ataupun penyerang sebelah kiri. Bersama Rangnick, Sancho diletakkan di posisi nombor 10 berpasangan dengan Bruno Fernandes dan setakat ini, dia dilihat cukup selesa dan mampu bermain dengan begitu baik – sebaik tanda harganya ketika dibeli dari Borussia Dortmund.
Sendu di United, wira bersama England. Gambar : LingardJesse Lingard boleh dianggap sebagai Syafiq Ahmad versi England di mana dia gagal mendapat tempat bersama skuad dalam liga, tetapi bersinar bersama pasukan kebangsaan. Donny van de Beek pula lebih selesa bermain di posisi nombor 10, namun dia terperosok jauh di belakang Bruno dan Pogba. Dengan gaya permainan yang ringkas dan one-touch football, van de Beek mungkin sesuai untuk diturunkan dalam perlawanan menentang pasukan yang suka parking bas.
Juan Mata, meskipun sudah berusia dan tidak mempunyai kelajuan, dia kadangkala mampu mencipta detik magis dalam perlawanan tertentu.
Liverpool
Juara musim 2019-20 ini mungkin telah kehilangan pemain berpengalaman, Gigi Wijnaldum, yang telah berhijrah ke pasukan gergasi Liga Perancis, Paris Saint-Germain, tetapi Liverpool boleh dikatakan sebagai pasukan yang mepunyai barisan tengah yang kuat.
Fabinho adalah antara pemain tengah bertahan yang terbaik di dalam liga di mana dia cukup efisien dalam memberikan perlindungan kepada barisan pertahanan, selain mampu melakukan terjahan yang bersih dan baik terhadap pemain lawan. Apabila Fabinho ada di tengah padang, pasukan anak didik Jurgen Klopp ini dilihat lebih efektif dalam membantutkan serangan lawan dan kembali melakukan serangan.
Kecederaan telah menghalang pemain antarabangsa Brazil ini daripada beraksi lebih banyak perlawanan paad musim lalu dan ini dapat dilihat di mana pasukan ini sangat terumbang ambing di bahagian tengah, menambah luka yang telahpun parah selepas kehilangan Virgil Van Dijk.
Thiago Alcantara sudah boleh melupakan musim pertamanya di England pada musim lalu. Pada mulanya dia telah disahkan positif Covid-19, kemudian terpaksa melalui episod kecederaan lutut yang serius. Dia kembali kepada pasukan yang sudah sedia tempang dan sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk mengekalkan kejuaraan liga, tetapi bagaimana Thiago menamatkan saingan sehingga ke perlawanan terakhir wajar dipuji di mana dia boleh dikatakan sebagai pemain yang memulakan pergerakan pasukan menerusi hantaran yang bijak daripadanya.
🔴 Statistics when Fabinho and Thiago Alcantara are in the midfield of Liverpool pic.twitter.com/Q6erQybu3a
— 😹 (@liverpool_xtra) May 22, 2021
Kemudian pasukan The Reds ini mempunyai kapten yang cukup cemerlang dalam kepimpinannya, Jordan Henderson. Dengan adanya pemain ini d atas padang, dia telah menjadi tunjang semangat kepada para pemain lain, selepas banyak terlepas aksi separuh masa kedua musim lalu akibat kecederaan celah kangkang.
Naby Keita pada awal musim dilihat mampu menjadi pemain tunjang di barisan tengah Liverpool tetapi nasibnya malang apabila ditimpa kecederaan jangka masa panjang. Pun begitu, Liverpool masih lagi mempunyai pemain tengah yang masih muda tetapi mampu untuk bermain di bawah tekanan yang tinggi seperti Harvey Elliot dan juga Curtis Jones.
Kedua-dua pemain ini telah mempamerkan gaya permainan yang cukup matang dan mempersonakan. Elliot ditimpa kecederaan baru-baru ini tetapi sudah berada dalam fasa recovery dan menjelang tahun baru nanti, dia pasti sudah bersedia untuk diturunkan oleh Jurgen Klopp.
Chelsea
N’Golo Kante sudah tentu tidak perlu diperkenalkan lagi kepada para peminat bola sepak di seluruh dunia. Mana tidaknya, perangainya yang tawadduk dan merendah diri di luar padang, bertukar menjadi seorang pemain yang tidak kenal erti penat dan lelah ketika mengejar dan mendapatkan bola.
Biasanya Kante dimainkan sebagai pemain tengah bertahan atau pemenang bola, tetapi mutakhir ini, pemain Perancis tersebut turun diturunkan di posisi nombor 10 di hadapan Jorginho. Tidak mengecewakan, Kante tampil cemerlang di posisi tersebut.
Sebab utama Tuchel meletakkan pemain kesayangan ramai ini di posisi yang lebih ke hadapan berbanding biasa adalah untuk memenangi bola di bahagian awal pasukan lawan memandangkan pemain ini mampu berlari lebih laju daripada keretapi.
🇪🇸 Saul Niguez
🇮🇹 Jorginho
🇫🇷 N’Golo Kante
🇭🇷 Mateo Kovacic
🏴 Mason MountChelsea’s 2021/22 midfield options are wild. 😬 pic.twitter.com/lQmIUunZ8t
— Sporting Index (@sportingindex) September 1, 2021
Jorginho pula hadir ke London sebagai pemenang Ballon d’Or dan juga juara Eropah. Kepintarannya dalam menutup ruang daripada dimanipulasi pemain lawan telah menjadi satu lapisan keselamatan yang ekstra kepada barisan pertahanan mereka. Sebaik mendapat bola, ketepatannya dalam melakukan hantaran menjadi kunci kepada gerakan yang menghasilkan gol kepada pasukan The Blues.
Meskipun mengalami sedikit penurunan prestasi sejak kebelakangan ini, kualiti yang ada padanya boleh membuatkan pemain ini bangkit pada bila-bila masa sahaja.
Andai kedua-dua pemain di atas mengalami kecederaan ataupun digantung, Saul Niguez dan Mateo Kovacic bersedia bila-bila masa sahaja untuk menggalas tugas mereka. Niguez mungkin tidak pernah merasai tempo saingan EPL namun bersama Atletico dan Sepanyol, dia telah membuktikan bahawa dia adalah antara pemain terbaik dalam merampas bola dari kaki lawan.
Pun begitu, malang buat Niguez apabila dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan di England. Kovacic, pada hari baiknya, boleh dikatakan sebagai jelmaan Frank Lampard.
Jika Thomas Tuchel berhajat untuk menurunkan pasukan dengan tiga pemain tengah, dengan mudah dia boleh memilih mana-mana pemain yang mampu bermain di posisi number 8 dengan begitu baik daripada Mason Mount, Kai Havertz dan Hakim Ziyech. Jika formasi berubah kepada 4-2-3-1, Christian Pulisic, Callum Hudson-Odoi dan Ross Barkley dijangka tidak mempunyai masalah untuk bermain di posisi ini, dengan Mount dan Havertz ditolak ke atas bagi memfokuskan kepada serangan pasukan.
Limpahan pemain tengah berbakat dan berwibawa ini semestinya menyukarkan Tuchel untuk membuat pilihan terbaik kesebelasan utama pasukannya dalam setiap perlawanan.
Arsenal
Daripada senarai ini, Arsenal boleh dikatakan mempuyai barisan tengah yang paling tidak kuat. Tetapi selepas memulakan musim ini dengan penuh suram dan durjana, para pemain Arsenal sudah mula mengerti apa yang dimahukan oleh pengurus, Mikel Arteta.
Gandingan Granit Xhaka dan Thomas Partey di bahagian tengah dilihat cukup ampuh untuk menahan asakan pemain-pemain serangan pasukan lawan, dan pada masa yang sama, Xhaka memang diketahui mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol dari jarak jauh.
Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli pula sering melakukan kerja hakiki seorang sayap – membantu serangan dan juga pertahanan. Jika salah seorang daripada mereka ini keletihan atau hilang punca, Eddie Nketiah masih lagi mampu menjadi pengganti yang boleh diharapkan.
Pembelian secara kekal pada musim panas, Martin Odegaard, sememangnya telah mengubah hala tuju Arsenal pada musim ini. Odegaard dilihat bermain dengan begitu matang dan menjadi perancang utama pasukan. Gandingannya bersama Emile Smith Rowe dan pemain tengah yang dilihat sangat berbahaya dan mampu memporakperandakan barisan tengah pasukan lawan.
Kesimpulan
Jika dilihat kepada senarai pemain di atas kertas dan juga prestasi mereka pada musim lalu, City dan Chelsea boleh dikatakan dua pasukan di EPL yang mempunyai barisan tengah yang terkuat. Tetapi, Chelsea mempunyai sedikit kelebihan dari segi pemain tengah bertahan memandangkan mereka mempunyai Kante dan Jorginho – pasangan yang cukup serasi dalam membendung serangan pasukan lawan, selain mampu menjana serangan pasukan sendiri dengan begitu baik.
Sumber rujukan : The Athletic