Analisis : Statistik Menunjukkan Liverpool Adalah Pasukan Paling Berbahaya Dalam Sepakan Penjuru

Juara Liga Perdana Inggeris musim 2019-20, Liverpool, membuka kempen liga pada musim ini dengan begitu baik sekali apabila mereka telah menang empat kali, dan hanya sekali sahaja telah tercicir dua mata.

Pada hujung minggu lalu, pasukan The Reds dengan mudah menewaskan Crystal Palace tiga gol tanpa balas, lantas meramas persada liga buat sementara waktu sebelum disanggah oleh Chelsea yang kemudiannya turut menang dengan jumlah gol yang sama.

Dalam perlawanan di Anfield tersebut, kesemua gol di Anfield berpunca daripada sepakan penjuru, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada lima gol daripada set-piece ini.

Malah, kalau nak ikutkan, sejak daripada liga musim lalu, anak buah Klopp ini telah menjaringkan sebanyak 16 gol daripada sepakan sudut – paling banyak dalam rekod liga, mengatasi Chelsea dan Everton, masing-masing di tangga kedua dengan 13 gol dan ketiga dengan 12 gol.

Carta jaringan berpunca daripada sepakan sudut. Gambar : The Athletic

Kalau dilihat dengan lebih mendalam, kesemua gol Liverpool dari sepakan sudut pada musim ini adalah berpunca daripada bola tampanan, atau dalam bahasa Mat Saleh disebut second ball,  bukan sentuhan pertama terhadap bola yang dihantar dari sudut padang. Kali terakhir Liverpool melakukannya adalah pada musim lalu di mana penjaga gol, Allision Becker, bertindak menanduk bola pada minit akhir ketika pasukan ini berkunjung ke West Bromwich Albion.

Ketika bertemu Palace, gol pertama hasil jaringan Sadio Mane adalah tolakan mudah dari dalam kotak enam ela selepas penjaga gol lawan gagal menampan kemas bola tandukan daripada Muhammad Salah.

Salah kemudiannya menjaringkan gol kedua perlawanan apabila menendang bola ke sudut sukar gawang hasil daripada bola muntah yang datang dari tandukan Virgil Van Dijk yang lemah.

Begitu juga dengan gol Naby Keita.

Tendangan sudut daripada Salah telah ditampan keluar oleh penjaga gol Palace dan kemudiannya bola melantun kepada Keita. Keita tanpa segan silu kemudiannya telah melakukan volley dengan teknik yang cukup kemas, lantas membawa bola ke dalam gol lawan buat kali ketiga.

Gol ketiga Liverpool hasil volley daripada Keita. Gambar : The Athletic

Adakah Liverpool bermasalah apabila sepakan sudut mereka gagal disudahi dengan sentuhan pertama daripada para pemain di dalam kotak penalti lawan?

Jawapannya sudah tentulah tidak.

Dengan gol yang hadir daripada second ball, dalam bahasa mudahnya Liverpool boleh dikatakan sangat berbahaya ketika mereka mendapat set-piece ini di mana selagi bola tidak sampai ke garisan tengah, maka gol lawan masih belum tentu selamat.

Kehilangan Virgil Van Dijk dan Joel Matip untuk sebahagian besar saingan liga pada musim lalu telah memperlihatkan kelemahan The Reds di bahagian pertahanan, namun kembalinya kedua-dua pemain ini pada musim ini bukan sahaja menambah kekuatan barisan terakhir pasukan bagi melindungi penjaga gol semata-mata, malah mereka juga menambah ancaman kepada lawan bila mana mereka mendapat sepakan penjuru.

Di antara kedua-dua pemain ini, Matip seringkali menimbulkan kekacauan di dalam kotak penalti lawan dengan gerakan dan ‘pancingan’ yang boleh mengelirukan pemain lawan.

Pada hari ini, kelab-kelab di EPL semakin sedar kepentingan set-piece, di mana situasi bola seperti ini mampu untuk menaikkan kebarangkalian untuk pasukan mendapatkan gol.

Sebagai pasukan Abang Long dalam liga, Liverpool telah lama sedar akan perkara ini dan untuk mencari kelebihan semampu mungkin, pembantu jurulatih Peter Krawietz dan Pep Lijnders secara konsistennya telah mengatur dan merangka siri latihan berkenaan set-piece, berdasarkan kelemahan pasukan yang mereka akan lawan dalam minggu ke minggu.

Pada masa yang sama, Liverpool telah berjaya mendapatkan khidmat daripada jurulatih lontaran ke dalam dari Denmark, Thomas Gronnemark untuk membantu mereka untuk menambah peluang untuk mendapat hasil dari garisan tepi padang.

Kesimpulannya, setiap pasukan perlu melakukan persediaan ekstra setiap kali mereka bertemu bekas juara liga ini, terutamanya ketika situasi bola mati. Kelalaian dalam sekelip mata akan membawa padah. Akhir sekali, jangan bermain telefon ketika memandu.

Rujukan untuk menulis artikel ini diambil dari : The Athletic

BACA:  Mo Salah Yakin Beliau Sempat Cergas Bagi Hadapi Piala Dunia 2018 Bersama Egypt