Ancelotti Puji Semangat Juang Real Madrid dalam Kemenangan Dramatik ke atas Manchester City
Carlo Ancelotti hanya mempunyai satu pesanan selepas kemenangan dramatik Real Madrid ke atas Manchester City: “Este es el camino” – “Inilah jalannya.”
Sepanjang musim ini, jurulatih Real Madrid itu sering mengingatkan para pemainnya untuk bekerja lebih keras dan berkorban demi kejayaan. Dan pada malam yang sejuk di Manchester, mereka menemui cara untuk melakukannya.
Sebagai seorang yang telah menjuarai Liga Juara-Juara 2 kali sebagai pemain dan 5 kali sebagai jurulatih, tidak banyak perkara yang boleh mengejutkan Ancelotti. Namun, cara Real Madrid bangkit untuk mencipta kemenangan 3-2 ke atas City benar-benar membuka matanya.
Kegembiraan meletus selepas Jude Bellingham menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan. Kylian Mbappe yang baru sahaja dikeluarkan, melompat dari bangku simpanan dan berlari masuk ke padang untuk meraikan bersama rakan sepasukannya.
Biasanya, Ancelotti lebih berhati-hati dengan euforia sebegini tetapi kali ini beliau turut menyertai anak buahnya dalam meraikan kejayaan mereka.
“Saya tidak menyangka pasukan ini mampu berkorban sebegitu rupa pada masa ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan. “Hari ini terbukti bahawa pasukan ini boleh bermain dengan keseimbangan yang baik – jika mereka sanggup berkorban. Dan malam ini, semua pemain telah melakukannya.”
Namun, kemenangan ini juga memberi amaran supaya tidak terlalu terbawa-bawa dengan emosi. 2 gol lewat – 1 dari pemain gantian Brahim Diaz dan 1 lagi dari Bellingham – mengubah keputusan daripada ketinggalan 2-1 kepada kemenangan 3-2.
Manchester City sendiri sedang melalui fasa yang tidak menentu dan Pep Guardiola secara terbuka mengakui bahawa pasukannya masih bergelut selepas melalui beberapa bulan yang sukar.
Tanda Kebangkitan Madrid
Ancelotti melihat kemenangan ini sebagai satu penanda aras penting selepas Madrid juga mengalami beberapa kesukaran.
Pada minggu lalu, selepas kekalahan 1-0 kepada Espanyol Ancelotti mengingatkan pemainnya di pusat latihan bahawa mereka perlu bekerja lebih keras ketika bertahan. Sebelum perlawanan seri 1-1 menentang Atletico Madrid pada hari Sabtu, beliau memberitahu wartawan kejayaan pasukan musim ini bergantung kepada usaha kolektif.
“Ini termasuk pemain-pemain serangan kami,” tegasnya.
Dari awal musim, ramai tertanya-tanya sama ada barisan serangan Madrid yang dibarisi Mbappe, Bellingham, Rodrygo dan Vinicius Junior boleh berfungsi dengan baik. Walaupun mereka memimpin La Liga, pasukan ini sering kelihatan goyah apabila berdepan lawan yang kuat.
Kekalahan besar kepada Barcelona (4-0 di La Liga, 5-2 di Supercopa de España) dan Liverpool (2-0 di Liga Juara-Juara) menunjukkan kelemahan Madrid ketika bertahan.
Namun, menentang City malam tadi, Madrid kelihatan lebih tersusun dan berdisiplin. Walaupun mengalami kesukaran pada beberapa bahagian permainan, mereka tetap memberikan saingan sengit kepada pasukan tuan rumah.
Madrid Kekal Fokus Walaupun Diuji Manchester City
Walaupun Manchester City bukan berada di tahap terbaiknya, mereka masih cukup berbisa untuk menyukarkan Real Madrid. Dengan Guardiola menurunkan barisan pemain yang berpengalaman, Madrid terpaksa bekerja lebih keras untuk mengawal permainan.
Apa yang benar-benar mengagumkan Ancelotti adalah bagaimana para pemainnya sentiasa berpegang dengan tugas masing-masing, secara individu dan berpasukan.
Namun, harus diingat bahawa Madrid tidak bermain seperti Atletico Madrid di bawah Diego Simeone atau Liverpool ketika berada di puncak prestasi mereka di bawah Jurgen Klopp.
Ada satu ketika pada separuh masa pertama, selepas Erling Haaland menjaringkan gol pada minit ke-19, Ancelotti jelas berang dengan Mbappe kerana gagal menekan lawan. Begitu juga dengan Vinicius Jr yang beberapa kali membuatkan jurulatihnya kecewa.
Tetapi secara keseluruhan Ancelotti gembira dengan usaha para pemainnya.
Rodrygo yang ditugaskan bermain di sayap kanan, bermain lebih bertahan daripada kebiasaannya dan bekerja keras untuk membantu pasukan. Begitu juga Bellingham yang telah menyesuaikan permainannya untuk memberi ruang kepada Mbappe beraksi di bahagian serangan.
Kecemerlangan Pemain Simpanan dan Barisan Pertahanan Sementara
Ancelotti turut memuji barisan pertahanannya yang terpaksa beraksi tanpa pemain utama seperti Dani Carvajal, Antonio Rudiger, Eder Militao dan David Alaba.
Sebagai ganti, beliau meletakkan Federico Valverde di posisi bek kanan dan Aurelien Tchouameni sebagai pertahanan tengah, bersama Raul Asencio, pemain muda berusia 21 tahun yang baru sahaja membuat 2 penampilan di Liga Juara-Juara sebelum ini.
Tchouameni yang sering dikritik sebelum ini, menampilkan aksi luar biasa di posisi baharu. Ancelotti memuji persembahannya sebagai “spektakular”.
Namun begitu, perlawanan ini juga memperlihatkan kelemahan di kedua-dua bahagian pertahanan. Madrid dan City sama-sama mengalami masalah kecederaan di barisan pertahanan, menjadikan perlawanan ini lebih terbuka dengan banyak peluang gol dicipta.
Guardiola sendiri mengakui bahawa ini adalah persembahan terbaik Madrid menentang pasukannya. Walaupun begitu, keadaan City yang tidak stabil musim ini menyukarkan perbandingan.
Namun, statistik membuktikan bahawa Madrid memang menguasai perlawanan ini. Mereka mencatat 20 percubaan ke arah gol, lebih banyak daripada mana-mana pasukan pelawat yang bermain di Etihad Stadium sejak Guardiola mengambil alih pada 2016.
Gol penyamaan Mbappe pada minit ke-60 berlaku selepas hantaran cantik Dani Ceballos. Mbappe membuat sentuhan yang agak canggung tetapi cukup untuk mengelirukan Ederson.
Kebangkitan Madrid di Saat Akhir
Ceballos sendiri bermain dengan baik sepanjang perlawanan namun melakukan kesilapan besar apabila menjatuhkan Phil Foden di dalam kotak penalti pada minit ke-80.
Haaland menyempurnakan penalti itu, memberikan City kelebihan 2-1 dan kelihatan seperti mereka akan membawa kelebihan itu ke Santiago Bernabeu untuk perlawanan kedua.
Namun, Madrid tidak pernah mengalah.
Mereka terus menyerang tanpa henti, sementara City mula kehabisan tenaga dan semakin goyah di bahagian pertahanan.
2 minit selepas dimasukkan, Brahim Diaz menjaringkan gol penyamaan selepas menerima hantaran daripada Vinicius Jr dan Bellingham.
Madrid menghidu peluang. Mereka tahu City sedang panik.
Dan akhirnya, kesilapan Mateo Kovacic membolehkan Vinicius Jr memintas bola sebelum menghantar kepada Bellingham yang dengan tenang menyempurnakan gol kemenangan dari jarak dekat.
Kemenangan Penting bagi Pasukan Muda Madrid
Reaksi selepas gol itu menunjukkan betapa pentingnya kemenangan ini kepada Madrid.
Walaupun kebanyakan pemain muda mereka sudah mempunyai pengalaman memenangi Liga Juara-Juara, mereka kini beraksi tanpa beberapa tonggak utama.
Sejak kemenangan musim lalu di Wembley, mereka kehilangan Toni Kroos (bersara) dan Nacho (pindah ke Al Qadsiah di Arab Saudi).
Pemain-pemain seperti Modric (hampir 40 tahun), Carvajal, Rudiger, Militao dan Alaba tidak dapat beraksi.
Tetapi Madrid tetap mencari jalan untuk menang – seperti yang mereka selalu lakukan.
“Kami membuktikan bahawa semuanya mungkin jika kita sanggup berkorban,” kata Ancelotti.
“Apabila semua orang memberikan usaha terbaik, pasukan akan menunjukkan prestasi yang sebenar. Inilah jalannya.”
Madrid kini menjadi pilihan utama untuk mara ke pusingan 16 terbaik, tetapi Ancelotti pasti akan mengingatkan pasukannya bahawa mereka masih perlu bekerja keras untuk melangkah lebih jauh.