Andre Gomes Enggan Layan Spekulasi Kaitkan Beliau Dengan Perpindahan Ke Old Trafford

Pemain tengah Barcelona, Andre Gomes enggan melayan spekulasi yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Manchester United pada jendela perpindahan yang akan datang.

Pemain antarabangsa Portugal ini mengharungi permulaan karier yang sukar di Barcelona sejak berpindah ke kelab tersebut dari Valencia pada musim panas 2016.

Barcelona membelanjakan €35juta untuk membawa Gomes ke Nou Camp tetapi malangnya, persembahan beliau musim lepas agak mengecewakan.

Manchester United-bound ?

Kesukaran Gomes untuk menyesuaikan diri dalam pasukan Barcelona telah menimbulkan spekulasi perpindahan, dengan rakan senegaranya, Jose Mourinho berminat untuk membawa beliau ke England. Terdapat juga laporan tidak rasmi dari Itali yang mengaitkan Gomes dengan perpindahan ke AC Milan.

Walaupun Barcelona mempamerkan prestasi yang cemerlang musim ini dan tidak pernah tewas lagi dalam La Liga setakat ini, Gomes masih lagi gagal untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan secara kerap. Beliau sering dilihat dimasukkan sebagai pemain gantian pada lewat permainan sahaja.

Walaubagaimanapun dalam perlawanan terakhir Barcelona, beliau diberikan peluang untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Leganes. Barcelona menang 3-1 hasil hatrik Lionel Messi tetapi persembahan Gomes dalam perlawanan tersebut juga wajar diberi pujian.

Gomes hanya watak sampingan dalam skuad yang dipenuhi bintang

Ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan, Gomes telah ditanya wartawan apa rancangan beliau pada musim panas yang akan datang tidak lama lagi.

“Buat masa sekarang, saya tidak berfikir lagi mengenai masa depan saya bersama Barcelona. Saya sedang menikmati setiap saat bermain di sini kerana peluang bermain bersama Barcelona merupakan impian hampir setiap pemain di luar sana.”

Sebelum ini, Gomes pernah mengakui beliau tidak menikmati bolasepak di Barcelona kerana kurangnya waktu permainan diberikan kepada beliau dan kritikan yang dilontarkan terhadapnya juga telah banyak menjejaskan keyakinan beliau.

“6 bulan pertama saya di Barcelona berjalan dengan baik tetapi selepas itu segalanya berubah. Mungkin ini bukan perkataan yang tepat tetapi situasi saya ketika itu bertukar menjadi macam ‘neraka’ kerana saya mula merasai tekanan yang hebat.”

“Tekanan terhadap pasukan saya sudah biasa. Tetapi tekanan yang difokuskan terhadap saya seorang, saya tidak biasa. Perasaan yang saya alami ketika perlawanan sangat buruk.”

Dibeli pada zaman Luis Enrique, Gomes gagal mempamerkan prestasi yang setimpal dengan harganya

Mood Gomes makin bertambah baik sejak kebelakangan ini dimana beliau telah dikerah pengurus pasukan, Ernesto Valverde untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah berpengaruh Barcelona, Sergio Busquests.

Gomes gembira menerima pujian dari persembahan terkininya  dalam pasukan utama tetapi  menegaskan beliau tidak akan meniru corak permainan pemain lain dan hanya mahu menjadi diri sendiri.

“Hanya ada satu Sergio Busquests sahaja di Barcelona. Saya bekerja sehabis keras yang mungkin supaya pengurus tahu yang beliau boleh meletakkan harapan di bahu saya.”

BACA:  Bayern Munich Bincang Beli Raphael Varane Januari Ini